Pages

Subscribe:

Labels

Showing posts with label artikel pcm. Show all posts
Showing posts with label artikel pcm. Show all posts

Saturday, May 16, 2015

[Tribut Buat Guru]

GURU.

Apakah yang terlintas di fikiran anda saat membincangkan perihal seorang guru?


(Gambar: Filem Dead Poets Society lakonan mendiang Robin Williams)

Mungkin sahaja anda sedang membayangkan watak  Mr.John Keating (Dead Poets Society) menghidupkan semangat para muridnya melalui penghayatan puisi. Bagi mereka yang meminati drama Jepun, watak Yankumi (Gokusen) yang berjaya membimbing murid-murid yang bermasalah sudah pasti tidak asing buat mereka. Malah boleh jadi anda teringatkan beberapa orang guru yang memainkan peranan besar dalam membentuk personaliti anda selaku seorang mahasiswa sains kesihatan pada hari ini.

MUALLIM ATAU MURABBI?   

Bagaimana kita hendak mengenal peribadi seorang guru, samada dia seorang muallim atau seorang murabbi?

Kedua-dua istilah ini seakan-akan sama taraf penggunaannya, tetapi hakikatnya berbeza.
Seorang muallim, tugasnya seperti kebanyakan guru atau cikgu, iaitu mengajar dan mensyarahkan silibus-silibus akademik kepada para muridnya melalui pembelajaran di dalam kelas.

Berbeza dengan seorang muallim, seorang murabbi bukan sekadar mengajar dan mensyarahkan silibus-silibus akademik, malah dia memberikan tumpuan yang penuh terhadap perkembangan muridnya dari sudut yang lain, supaya muridnya itu benar-benar menjadi seorang manusia yang berguna. Memetik kalam saudara Ameen Misran (Langit Ilahi),

“A person who nurtures, breeds, feeds, grows, guard and teach an entity until the process of nurturing, breeding, feeding, growing, guarding and teaching is complete and successful.”

Saya pernah mendengar analogi ringkas bagaimana untuk membezakan seorang muallim dengan seorang murabbi.
 Anda ingin belajar cara-cara membuat kek coklat dengan dua orang guru yang berbeza. Guru A menyuruh anda menyalin senarai bahan-bahan yang diperlukan dan menunjukkan langkah-langkah membuat kek tersebut untuk anda buat sendiri setibanya di rumah nanti. Ini adalah sifat seorang muallim.
Manakala Guru B pula menemani anda dari saat mendapatkan bahan-bahan yang diperlukan sehingga anda benar-benar selesai menyiapkan kek coklat yang enak. Segala kekurangan dan kesilapan sepanjang proses membuat kek tersebut akan dibetulkan oleh guru tersebut. Guru B adalah contoh seorang murabbi yang baik.

Justeru, semua guru ialah muallim, tetapi bukan semuanya layak digelar murabbi. Walaubagaimanapun, kita selaku murid seharusnya beradab dengan para guru yang telah banyak berkorban demi kebaikan kita.



ADAB-ADAB SEORANG MURID.
  
Semasa sekolah rendah dahulu, kita sangat menjaga adab terhadap para guru dan berusaha mengelakkan diri dari melakukan perkara-perkara yang boleh menyakiti hati mereka. Masuk sahaja sekolah menengah, saya mendapati ada kelakuan-kelakuan yang kurang beradab mula menular para pelajar seperti memberi gelaran yang tidak elok kepada guru, bersikap kurang ajar apabila ditegur kesalahan dan sengaja tidak menyiapkan tugasan yang diberi atas alasan yang tidak munasabah. Keadaan ini bertambah parah setibanya di universiti, yang mana kita semakin kurang menitikberatkan adab terhadap doktor yang mengajar dan membimbing kita.

Ikut resmi padi, makin berisi makin tunduk, jangan ikut resmi lalang, semakin tegak tiada berisi.”

Seharusnya dengan peningkatan ilmu dan kematangan akal, kita akan menjadi seorang yang lebih mengutamakan adab dalam bergaul dengan orang lain. Suatu perkara yang perlu dimuhasabah jika berlaku sebaliknya.

Hujjatul Islam Imam al Ghazali r.a ada menyenaraikan adab-adab seorang murid dalam kitabnya yang masyhur iaitu Bidayatul Hidayah. Antaranya ialah:
1.       Apabila bertemu gurunya, hendaklah dia memberi salam kepadanya terlebih dahulu.
2.       Jangan banyak bercakap di hadapan guru.
3.       Jangan bercakap sebelum guru bertanya kepadanya.
4.       Jangan bertanya kepada guru sebelum meminta izin.
5.       Jangan mengisyaratkan kepada guru dengan menyalahi pendapatnya kerana menyangka bahawa diri lebih mengetahui daripada gurunya.
6.       Jangan berbisik dengan orang yang duduk di tepi ketika guru memberikan pelajaran.
Professor Hesham Daba, pensyarah Jabatan Farmakologi Kuliah Perubatan Universiti Mansurah pernah memberitahu penulis tentang tiga perkara penting yang perlu ada pada seorang doktor, iaitu knowledge (pengetahuan), skills (kemahiran) dan attitude (sikap). Oleh itu, marilah kita berusaha untuk menjaga adab dengan sesama manusia bagi membentuk peribadi doktor muslim yang baik.

TRIBUT BUAT GURU.

Sambutan Hari Guru pada 16 Mei setiap tahun merupakan satu tanda penghargaan terhadap guru-guru yang terlalu banyak pengorbanannya kepada umat manusia, bermula dari ibubapa selaku guru pertama dalam hidup sehinggalah para doktor dan pensyarah yang mengajar kita pada hari ini. Mereka adalah wasilah yang penting dalam  pembangunan modal insan.  Tanpa mereka, siapalah kita.

Berburu ke padang datar
Dapat rusa belang kaki
Berguru kepala ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi
Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.
Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.
Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.
Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulangi ilmu
Panggilan keramat “cikgu” kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.
  • Usman Awang, 1979

Terima kasih guru-guruku!

‘Ammar b Mohamad Ziyadi
Tahun 6 PERUBATAN Konvensional
Universiti Mansurah


Wednesday, December 7, 2011

::aku , mesir dan pcm::

Haih . Sekian lama sudah tidak menaip entri baru . Entri – entri sebelum ini pun tiru tampal sahaja . Satu muhasabah untuk diri sendiri , As-Syahid Imam Hassan Al Banna pernah menyatakan dalam Risalah Taalim :

Anda hendaklah berkemampuan untuk membaca dan menulis dengan baik. Perbanyakkanlah membaca tulisan-tulisan, akhbar, majalah atau sebagainya yang ditulis oleh Ikhwan. Anda sendiri hendaklah mempunyai sebuah perpustakaan walaupun kecil. Anda hendaklah meningkatkan penguasaan ilmu dan kemahiran anda jika anda merupakan orang yang berkepakaran. Anda hendaklah menguasai keseluruhan permasalahan Islam secara mendalam sehingga anda mampu memahami dan memberikan jawapan yang tepat sesuai dengan kehendak fikrah anda.

Jelas . Penulisan merupakan salah satu metode dakwah yang popular kebelakangan ini , khususnya dalam kalangan mereka yang bergiat aktif dalam medan dakwah seperti Ustaz Hasrizal (saifulislam.com) , Ustaz Nasrudin Hassan (eperjuangan.com) serta tidak lupa juga ‘amilin – ‘amilin dari lain – lain pelusuk dunia . Kemunculan media baru ini memberi impak yang cukup besar dalam arus kehidupan sekarang . Siapa sangka , dengan media baru , seorang pemimpin diktator boleh digulingkan ? Walaubagaimanapun , setiap gelas perlu ada isinya untuk diminum . Tidak boleh kita sekadar menulis mengikut logik akal tanpa adanya ilmu . Dalam memberi , kita juga mesti bersedia untuk menerima . Orang yang mahu mentarbiah , perlu sentiasa bersedia untuk ditarbiah .

Selain daripada nasihat al Imam di atas , saya juga menyeru sahabat – sahabat untuk meneliti nasihat – nasihat lain yang sangat berguna dalam Risalah Taalim tersebut .

Cukuplah untuk muqadimmah . Memandangkan saya menaip entri ini dalam fatrah imtihaan (masih berbaki satu kertas) , maka saya tidak berhajat untuk menaip entri panjang . Sekadar ingin bercerita dan meluahkan pendapat mengenai isu – isu yang berlaku di sekeliling saya . Yosh .

PILIH-HANG-RAYA   

Saya rasa keberadaan saya di bumi Mesir merupakan satu anugerah yang terindah pernah saya miliki sepanjang saya hidup . Bukan sahaja saya menuntut ilmu perubatan , malah saya juga berpeluang mencari ilmu – ilmu lain yang mematangkan kehidupan . Sungguh , kalau sepanjang enam tahun di Mesir anda hanya fokus pada medik anda sangat sangat sangat dan tersangatlah rugi .

Situasi saya ketika ini berada di tengah – tengah dua pilihanraya yang hangat , iaitu pilihanraya umum Mesir dan juga pilihanraya PERUBATAN Cawangan Mansurah untuk sesi 2011/2012 . Untuk pilihanraya Mesir , berdasarkan status FB Ustaz Nasrudin Hassan :

Ikhwan bertanding 45 kerusi ulangan, menang 34 kerusi dan kalah 11 kerusi. Peringkat Pertama di 9 Muhafazat drpd 168 kerusi, Ikhwan dapat 44 kerusi atas tiket Parti Hurriyah wal Adalah dan 36 kerusi atas tiket parti bebas so = 80 kerusi. Salafi dapat 28 kerusi atas tiket Parti An Nuur dan 5 kerusi atas tiket parti bebas so = 33 kerusi. Parti Wasot dpt5 kerusi atas tiket parti. Total golongan Islam dapat 118 kerusi drpd 168 kerusi. Ada satu dua lagi calon bebas yang disokong oleh oleh Ikhwan menang dan satu parlimen dalam 5 kerusi dibatalkan. Insyaallah akan diulang pada January ini.

Alhamdulillah , kemenangan nampaknya berpihak pada Islam setakat ini , InsyaAllah moga – moga Mesir akan menjadi permulaan untuk kembalinya pemerintahan Islam di seluruh dunia . Parti Hurriyah wal Adalah yang menjadi proksi kepada gerakan Islam Ikhwanul Muslimin juga saya nampak diterima ramai dalam kalangan masyarakat setempat . InsyaAllah moga – moga mereka meneruskan kemenangan untuk pilihanraya di muhafazah Mansurah dan lain – lain Januari ini .

Berbalik kepada pilihanraya PCM , seperti tahun lepas kerusi pengerusi merupakan kerusi yang paling hangat , walaupun sekarang musim sejuk . Kali ini , kerusi pengerusi dipertandingkan dengan penyertaan dua orang calon yang tidak asing lagi dalam kalangan pelajar – pelajar di Mansurah khususnya , iaitu :







Iskandar dan Abu Ubaidah . Personaliti – personaliti yang tidak perlu diperkenalkan lagi di kalangan mahasiswa/wi di Mansurah . Kedua – duanya pernah menjawat sebagai AJKT PCM untuk sesi lepas . Kali ini , mereka bertanding untuk menjawat sebagai pengerusi bagi sesi 2011/2012 yang sebelum ini dipegang oleh Azizi Jusoh .

Saya tidak berminat untuk berkempen untuk mana – mana pihak , sebaliknya ingin berkongsi pengalaman 2 tahun lebih bergiat dalam wadah PCM .

PCM yang ditubuhkan pada sekitar 2006 bertujuan untuk menjaga kebajikan mahasiswa/wi perubatan di muhafazah Mansurah . Setelah beberapa tahun mengalami jatuh bangun menghadapi pelbagai mehnah dan tribulasi , kini PCM boleh dianggap semakin matang dalam pembawakannya , terutamanya untuk sesi lepas di bawah pimpinan Azizi Jusoh . Apa yang saya nampak , PCM bukan lagi satu badan yang hanya menjaga kebajikan mahasiswa/wi semata - mata , tetapi kini ia menjadi satu platform bagi mahasiswa/wi untuk bersuara , menyatakan serta berkongsi pendapat masing – masing dan juga badan yang menjalankan amal Ijtimai’e (kerja – kerja masyarakat) .

Ada yang berkata , PCM ini sama macam JAKIM , polis dan sebagainya , itu suatu muhasabah yang perlu dilakukan . Namun , apa yang kita tahu apabila mereka berpendapat sedemikian , ini bermakna mereka membenarkan tentang kewujudan usaha – usaha dakwah dan amar makruf nahi mungkar yang dijalankan PCM selama ini . Kerja – kerja dakwah merupakan jalan para nabi , mustahil jika tidak dihadiri mehnah dan tribulasi . Bukan bermakna dakwah kita terlalu jumud dan tidak berstrategi , dan mungkin ada juga kesilapan daripada pihak PCM sendiri , namun yang pasti prinsip – prinsip Islam berdasarkan Al Quran dan as Sunnah yang menjadi asas kepada PCM tidak mungkin akan digadaikan hanya untuk memuaskan hati sesetengah pihak , tidak kira siapa pendokongnya . Apa – apa pun , masih terlalu awal untuk kita berpuas hati dengan pencapaian yang kita ada , perjalanan masih panjang dan PCM harus sentiasa muhasabah kenapa agenda kesatuan yang diidam – idamkan masih belum tercapai .

Apa yang pasti , PCM takkan mampu bergerak tanpa adanya penyokong dan pendokong yang terus konsisten memberikan segala yang mereka ada untuk kebaikan semua . PCM bukan lagi seperti persatuan memasak dan sebagainya , tetapi PCM sedang mematangkan diri untuk menjadi sebuah gerakan mahasiswa sebagaimana GAMIS di Malaysia . Kita di Mesir lebih bernasib baik kerana ketiadaan AUKU yang melumpuhkan mahasiswa/wi , tetapi mengapa kita lebih ketinggalan berbanding mereka ? Sama – sama kita muhasabah . Sebarang cadangan , kritikan dan aduan , salurkanlah kepada saluran yang betul seperti di Majlis Tahunan Cawangan dan sebagainya , dan yang penting tidak kira sekuat mana sokongan anda terhadap mana – mana calon , ia tidak bermakna kalau anda tidak keluar mengundi . Jadi , sila keluar mengundi :P

Bulughul Maram -Ibnu Hajar Al-Ashqolani- Kitab Jami' Dari Ibnu Umar رضي الله عنه bahwa Rasulullah صلی الله عليه وسلم bersabda: "Orang mukmin yang bergaul dengan manusia dan bersabar dengan gangguan mereka lebih baik daripada yang tidak bergaul dengan mereka dan tidak sabar dengan gangguan mereka." Riwayat Ibnu Majah dengan sanad hasan. Hadits tersebut ada dalam riwayat Tirmidzi, namun ia tidak menyebut nama dari sahabat. Nombor: 1560

Sekian karutan untuk kali ini . Buku Parasitology sedang menunggu saya untuk dating .