Pages

Subscribe:

Labels

Showing posts with label karutan. Show all posts
Showing posts with label karutan. Show all posts

Thursday, January 16, 2014



Jantung.


Sudah melewati minggu terakhir di jabatan kardiologi. Jadual kelas yang nampak padat, tetapi hakikatnya ada kelas yang 'sekadar memenuhi jadual.' Menguji kesabaran mereka yang berjalan ke hospital pada awal pagi tetapi sesi pembelajaran tidak wujud. Juga terdapat sesi tayangan video tanpa suara mengenai ECG, dan kami diarah untuk buat sendiri skripnya.

Mahu tidak mahu berada di jabatan ini tidak boleh mengharapkan suapan ilmu daripada doktor semata. Buku dan nota perlu dihadam sebaiknya, media internet khususnya Youtube perlu dirujuk untuk mendapatkan penerangan cara melakukan pemeriksaan dan mendengar bunyi-bunyi jantung.

Aku sebenarnya tidak cemerlang dalam bab kardiovaskular. Tatkala membincangkan perihal penyakit injap (valvular diseases), aku perlu mengambil masa untuk membayangkan pengaliran darah dalam jantung sekiranya berlaku 'stenosis' atau 'regurge'. Malah aku selalu keliru di mana kedudukan 'great vessels'. Lambat buat keputusan, habis sang pesakit nanti.

Minat boleh dibina. Masih ada masa untuk memikirkan pengkhususan, yang penting benda-benda wajib kena kuasai.

- InsyaAllah akan menghadapi peperiksaan minggu ini, sebelum bermusafir ke tanah air.

- Motivasi itu perlu.

Muzik.


Dua hari ini jalanan cukup bingit dengan alunan muzik TEA (lagu yang memuji kehebatan askar) dari corong-corong speaker kenderaan. Terdapat juga video-video yang mempamerkan makcik-makcik yang lengkap menutup aurat tetapi bergelek macam tak ingat dunia diiringi lagu tersebut. Gembira baru lepas mengundi agaknya.

Jika kamu tidak malu, buatlah apa yang kamu mahu. Pesan junjungan besar kitasalallahu alaihi wassalam.

Alunan muzik itu, seolah-olah telah meracuni pemikiran sebahagian daripada mereka. Macam tengok cerita kartun pula. Namun tidak dinafikan, input-input yang kita terima melalui pendengaran dan pemandangan kita itulah yang akan diterjemahkan menjadi output atau perbuatan kita.

Coretan senja.

Islamik.


"Kejap, kau, sini kejap."

Ah. Ada apa pulak ni.

"Kau tengok ni," katanya sambil menunjuk ke arah jalan yang sesak teruk. 

"Aku nak kau bagitahu semua kawan-kawan kau, yang kami tak dipaksa pun untuk semua ini. Ini suara hati kami. Aku tahu kamu orang Malaysia suka Dr.M, aku pernah baca komen-komen dekat internet, sebab kamu semua lebih islamik daripada kami, tapi kamu kena tahu yang orang Mesir bukannya islamik macam kamu. Ya, kamu cakap bagilah Dr.M peluang, tapi dia telah buat banyak kesalahan yang besar. Apa-apapun, kami mengalu-alukan kedatangan kamu ke Mesir," bersungguh pemuda tidak dikenali itu menerangkan.

Tiada apa yang bermain di minda, kecuali satu: Fasih betul bahasa Inggeris dia.

Hari ini dan esok merupakan hari pengundian untuk perlembagaan baru. Samada setuju atau tidak. Maka berhati-hatilah dalam tempoh ini.

Doakan keamanan Mesir dan ahlinya.

- Oke saya sudah menyampaikan mesej kamu, wahai pemuda tidak dikenali.

- Hari ini sudah berapa kali dengar lagu puji askar.

- Haritu pernah seorang tukang letrik datang rumah. Borak-borak, ajak dia datang Malaysia. Dia kata tak mahu, sebab dia bukan syarqiyyah (penyokong Dr.M)

- Elakkan berbual pasal politik depa. Depa bukan nak dengar kalau hangpa ada hujah kukuh pun.

- Dr.M di atas bukan Dr.M di Malaysia ya.

Thursday, January 9, 2014

Tulis.


Dunia semakin canggih. Laman-laman sosial semakin bertambah bilangannya bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Tidak cukup dengan Facebook, ada yang memilih untuk membuka akaun Blogger, Twitter, Instagram dan bermacam-macam lagi sebagai medium untuk berinteraksi dengan kawan-kawan yang jauh mahupun yang dekat.


Perkembangan tersebut secara tidak langsung menjadikan penulisan salah satu medium yang popular dalam segenap lapisan masyarakat, tidak kira dalam kalangan mereka yang berpendidikan tinggi mahupun remaja belasan tahun. Tulisan-tulisan mereka bukan sekadar hanya menjadi cakap kosong di laman sosial, malah ada tulisan-tulisan yang dikumpulkan menjadi sebuah buku yang bermanfaat.

Sebagai seorang pengguna aktif laman sosial khususnya Facebook dan Blogger, saya sendiri tidak ketinggalan untuk sentiasa menghasilkan tulisan-tulisan bagi memastikan idea-idea yang berlegar di minda tidak dibazirkan begitu sahaja. Seorang penulis yang saya kagumi pernah berkata, seorang penulis perlu sentiasa berimaginasi kerana dari imaginasi tersebut lahirnya idea yang perlu diolahkan dan pemikiran akan terus berkembang dari semasa ke semasa. Selaku seorang muslim saya juga percaya bahawa penulisan yang bermanfaat akan memberikan ganjaran kepada sang penulis walaupun penulisnya sudah meninggal dunia.

PENGGUNAAN BAHASA YANG TEPAT


Terdapat beberapa perkara yang ingin saya kongsikan berkenaan cara-cara untuk menjadi penulis yang aktif di laman sosial. Perkara pertama yang perlu anda cakna ialah dari segi penggunaan bahasa yang tepat. Meskipun kita bukanlah pelajar sastera, tetapi menjaga tatabahasa dalam penulisan dan menulis dengan bahasa penuh adalah sangat penting dalam menghasilkan tulisan yang baik. Perkara ini umpama menjaga adab ketika berkomunikasi dengan orang lain. Sayang sekali sekiranya anda mempunyai idea yang bagus untuk disampaikan tetapi penggunaan bahasa yang kurang tepat mencacatkan tulisan anda.

BAGAIMANA MAHU MULA MENULIS?


Di laman sosial anda bebas untuk mencoretkan apa sahaja selagi mana ia tidak bercanggah dengan undang-undang dan melampaui batasan agama. Tepuk dada, tanya iman. Bagi menghasilkan sesuatu karya yang baik, maka idea-idea yang baik amatlah diperlukan. Membaca adalah salah satu cara yang penting dalam mendapatkan idea. Bagi saya, seorang penulis yang baik harus mempunyai sudut pandangan yang pelbagai dalam sesuatu perkara. Katakan anda mahu menulis dengan aktif, sekurang-kurangnya satu ‘status’ yang anda mahu kemaskini dalam laman Facebook anda setiap hari. Antara cara yang mudah bagi mencapai matlamat tersebut adalah dengan menulis tentang perkara yang paling bermakna anda saksikan pada hari tersebut, dan selepas itu berikan pandangan yang pelbagai mengenainya. Sebagai contoh, perkara yang paling bermakna anda saksikan pada hari ini ialah seorang pakcik tua yang tempang cuba melintas jalan untuk menuju ke masjid. Huraikan dan berikan pandangan dari sudut agama dan sosial mengenainya. Pada awalnya anda mungkin terasa segan untuk menulis tentang kehidupan anda sendiri, tetapi percayalah selagi mana apa yang kita tulis tidak mengaibkan diri kita sendiri dan mampu memberi manfaat kepada orang lain, tiada apa yang perlu dirisaukan.

LIKES SEBAGAI CULAAN


Mendapat ‘likes’ yang banyak dengan tulisan kita bukan objektif utama kita menulis. Tajdidkan niat selalu agar setiap tulisan kita hanya kerana Allah. Fungsi ‘likes’ yang boleh kita manfaatkan ialah sebagai culaan terhadap para pembaca. Kita mempunyai teman yang ramai di Facebook dan masing-masing mempunyai pemikiran yang berbeza. Dalam menyampaikan dakwah, kita perlu memahami bagaimana pemikiran target dakwah kita supaya kita mampu menghasilkan tulisan yang mampu menyentuh hati mereka dan selesa dibaca. Orang tak makan budu, kita beri makan nasi kerabu. Hakikatnya budu itu tetap ada dalam nasi kerabu.

Semoga tulisan yang ringkas ini bermanfaat kepada semua. Sekadar berkongsi apa yang ada.

(Ini dia taklifan yang dituntut sebab datang lewat meeting)


Siap dalam masa sejam sepuluh minit kut dalam keadaan penat.

14 November 2013.

Friday, November 29, 2013


Buku.


"Buku-buku yang kita beli itu walaupun banyak, kita akan baca juga satu hari nanti."

"Beli buku banyak tak kisah, tetapi sila baca. Allah akan tanya esok-esok nanti tentang amanah kita terhadap buku-buku tersebut."

Dua mutiara kata yang aku kutip daripada senior-senior Mansurah tentang buku, dan aku menjadikannya sebagai tanda aras aku dalam membeli dan membaca.

Ada masanya buku yang tak pernah mula baca lagi, aku capai juga sebagai rujukan untuk pembentangan dalam usrah, perkongsian dalam program dan sebagainya. Pada masa yang sama masih banyak lagi buku yang tak sempat dibaca index pun, dan perkara itulah yang mengingatkan aku supaya bersederhana dalam berbelanja walaupun kemampuan itu ada.

Aku jarang pinjam buku orang melainkan keadaan benar-benar mendesak seperti peperiksaan atau buku itu memang susah nak dapat. Bagi aku, setiap buku yang aku beli ada memori yang tersendiri. Setiap kali meneliti muka hadapan yang tercatat nama, tarikh dan tempat aku mendapatkan buku tersebut, seolah-olah ada 'flashback'. Mungkin buku yang dibeli itu stok terakhir di kedai, buku itu dibeli ketika bermusafir ke tempat yang asing atau dihadiahkan oleh insan-insan yang istimewa dalam hidup.

Maka, dalam kesempatan ini juga aku ingin maklumkan, sesiapa yang ada pinjam buku-buku yang aku sertakan muka depannya ini, mohon pulangkan. Aku sudah lupa ia berada di tangan siapa. Dan kepada peminjam buku-buku lain (walaupun buku teks akademik sekalipun), jagalah sebaik mungkin seperti harta anda sendiri. 

- Oke, buku perubatan menanti untuk dibaca. Jangan diskriminasi.

- "You are what you read."

Sunday, November 24, 2013

::hiburan::

Mula mengenali Dr Muhaimin Sulam semasa membaca travelognya yang berjudul "Aku Melayu di Bumi Inggeris." Tak pernah tahu pun sebenarnya dia salah seorang yang memegang jawatan di pusat. :P (Disebabkan pandangannya dalam buku itu tidak 'bias' kepada mana-mana parti). Bacaan santai yang sedikit sebanyak membawa kita untuk berpandangan lebih jauh.

Setuju apabila kelompok seni diberikan tempat yang sepatutnya dalam menyebarkan dakwah Islam, diberikan kefahaman Islam dan seterusnya menggunakan bakat yang mereka ada. Tak semestinya menjadi penceramah semata.

"Di mana lagi ulama seperti Pak Hamka dalam PAS yang mampu menulis novel roman cinta seperti Tenggelamnya Kapal Van der Wijc dan Di bawah Lindungan Kaabah? Islam bukan sekadar diungkapkan dengan kalimah al Quran dan Hadis semata-mata tetapi yang lebih penting bagaimana Islam diterjemahkan dalam nilai wahyu," katanya.

"Biarkan mereka sebagai pemuzik, pelukis, penyanyi, pelakon, penulis dan sang karyawan lain-lain menghasilkan karya yang dapat membangunkan umat, menghidupkan jiwa yang mati, menyuntik semangat juang.

“Kita masih mengharapkan Bob Lokman dapat menghasilkan lirik-lirik berbisanya seperti ‘Isabela’, ‘Taman Rashidah Utama’ dengan nafas perjuangan."

Heavy metal? Tentunya tak sama dengan black metal, thrash metal serta metal-metal yang lain, aku sendiri rasa tak pandai nak ulas. Kalau dari segi untuk menarik golongan muda dengan kugiran, aku berpendapat lebih elok jika dimainkan lagu-lagu yang terkenal zaman ayah-ayah kita muda dahulu (dengan syarat lirik yang baik dan tidak bercanggah dengan syariat). Sebab tak semua orang dengar Led Zeppelin, Metalicca atau Iron Maiden (sekadar memetik nama-nama yang aku biasa dengar, tak pernah dengar pun lagu-lagunya). Asalkan dari segi tempat penonton lelaki perempuan diasingkan, tiada nyanyian perempuan dan menepati syariat Islam.

Kalau tengok ceramah UAI, beliau sendiri pun ada petik lirik lagu-lagu rock zaman dahulu juga. Benda itu bukan matlamat, tetapi sebagai sampingan sahaja.

"Kami berhibur, kami ikuti syariah"

Wallahualam.

Sabtu.


Pernah dahulu Malaysia dilanda 'fobia' terhadap mereka yang berpakaian kuning, sehinggakan orang pakai baju kuning pergi solat pun kena tangkap. Semuanya disebabkan satu acara besar yang dihadiri ribuan rakyat.

Di Mesir kala ini perkataan 'empat' (dalam bahasa Arab) adalah sesuatu yang boleh jadi membangkitkan semangat atau sensitif, bergantung pada pemikiran individu tersebut. Di kuliah selalu ada sahaja pensyarah yang pro dan anti terhadap perkara ini, mereka yang anti selalunya akan mengulas pendapat mereka dalam bahasa Arab, kononnya supaya kami tidak faham (boleh je faham sikit-sikit lawak murahan yang mereka bualkan) kepada pelajar-pelajar Arab, yang pro pula tidak bercakap banyak, sekadar menunjukkan tanda tidak setuju terhadap individu yang telah menyebabkan kematian dan kecederaan ramai penduduk Mesir.

Mungkin mereka yang anti perkataan empat ini 'allergik' untuk buat TVF, sebab kena dengar perkataan 'empat, empat' yang disebut pesakit 

Difahamkan juga sudah ada unit yang ditubuhkan pihak polis khas untuk menangkap dan merampas apa-apa sahaja yang berkaitan dengan perkataan 'empat' ini. (Pernah ada orang kongsi gambar). Mungkin kenderaan pacuan empat roda juga akan dirampas? 

- Sekadar catatan spontan, gara-gara duduk di kelas lama akibat menunggu pengajar yang masuk lewat dan dihidangkan dengan 'stand-up comedy.'

- 'Empat' yang dimaksudkan adalah yang berkaitan dengan tapak tangan hitam dengan gambar latar kuning.

- Ramai yang aktif mengulas isu gerakan islam tempatan malam ini, jadi aku tulislah pasal apa yang berlaku sekitar tempat aku bermastautin. Sekurang-kurangnya seimbang orang kata. 

Wallahualam.

Saturday, November 16, 2013

::ganjaran::


Ganjaran.



"5A dapat Mini-Cooper? Pergh!"

Teringat kenangan UPSR dahulu, yang mana aku mendapat sebuah televisyen 21 inci jenama Pensonic sebagai hadiah kerana mendapat 5A. Maka dapatlah aku yang berumur 12 tahun ketika itu melepaskan ketagihan terhadap Final Fantasy IX dan pelbagai games lain. (Sebelum UPSR kena kuarantin dari main Playstation)

Manusia itu sifatnya ingin dihargai. Setiap perkara yang dilakukan mereka mengharapkan sesuatu darinya, senang kata, ganjaran. Tak ada manusia yang sanggup bekerja masuk pejabat pukul 8 pagi dan keluar pada jam 5 petang tanpa dibayar apa-apa.

Mereka yang membuat kerja-kerja kemasyarakatan sekalipun tidak dapat lari daripada fitrah ingin dihargai. Ya, kita diajar dan sering diperingatkan agar sentiasa tajdid niat supaya ikhlas dalam menyumbang, tetapi kita harus ingat bahawa mereka yang berkorban masa, tenaga dan wang ringgit ini juga manusia seperti kita. Jauh dalam sudut hati mereka suatu penghargaan diharapkan biarpun sekadar ucapan terima kasih. Maka organisasi harus bijak dalam menjaga hati ahli.

Baik atau buruk memberi ganjaran itu, terpulang pada cara kita mengendalikannya. Aku kagum melihat seorang pelajar Mesir yang memberi ganjaran kad 'top-up' prabayar kepada mereka yang menjawab soalan semasa beliau memberikan tazkirah selepas Zohor. Sewaktu kecil dahulu pun aku dilatih untuk berpuasa dengan ganjaran RM1 untuk sehari berpuasa pada bulan Ramadan. Di sini manfaatnya memberi ganjaran sebagai motivasi untuk beramal.

Sebagai muslim, kita beriman bahawa Allah memberikan ganjaran syurga bagi mereka yang taat dan neraka bagi mereka yang ingkar. Ya, kita beramal semata-mata kerana Allah, namun tidak salah jika kita beramal kerana kita mengimpikan untuk masuk ke syurga-Nya dan kita takut terhadap azab neraka-Nya.

"Err, apa komen tentang budak yang dapat Mini-Cooper tu?"

Entah, bagi aku selagi ayah dia mendapatkan kereta itu dengan cara yang halal, tiada masalah kut. Cuma kalau aku jadi budak tu mungkin aku nak kereta lain lah kut, Lancer Evolution ke 

Thursday, November 14, 2013

::nota-nota IV::

Sekian lama tidak mengemaskini blog, maka saya akan meneruskan kompilasi status-status FB yang saya tulis sekitar Mac sehingga April.

Rehat.

Solat itu rehat buat mukmin. 
Lapangkan fikiran, lupakan sebentar kerja-kerjamu, fokusmu hanya pada Rabbul 'Izzati. Dialah yang mengurniakan kudrat buatmu untuk melakukan segala amalan. 

Islam itu, ditegakkan semula oleh mereka yang bangun sebelum subuh!


----------------------------------------------------------------------------------------
Bersyukurlah.

Kesibukanmu merancang dan melaksanakan perkara-perkara yang makruf menghalang dirimu daripada bergelumang dengan perkara-perkara mungkar.

Senyum.


----------------------------------------------------------------------------------------

Kata.
Buat amal kebaikan ada orang mengata, buat kemungkaran pun ada orang mengata. Maka pilihlah nak buat yang mana, asal tidak ditegah agama.

Hidup ini terlalu pendek untuk mencari redha seluruh manusia. Carilah redha Tuhan, nescaya hidup kita tidak akan sia-sia.

Kata biar terasa.


------------------------------------------------------------------------------------------
Bencinta.
Aku mencintai orang-orang soleh sekalipun aku bukan sebahagian daripada mereka, aku berharap mendapatkan syafaat dari mereka. Aku benci orang yang gemar melakukan maksiat, sekalipun aku juga pernah melakukannya.

- Imam Syafie r.a


-------------------------------------------------------------------------------------------

Hebat.
Bagaimana ulama' berfikir. Kita kadang-kadang baru pandai baca terjemahan alQuran dan hadis dah rasa hebat. Jumpa hadis takde baris, senyap kita.

"Kau ikut mana, al Quran dan hadis ke kata-kata ulama?"

Kesal juga mendengar kenyataan sebegini. Ya, kita ikut alQuran dan hadis, dan kita thiqah kepada para ulama' kerana mereka lebih mendahului kita dalam bab ini. Andai tidak bersetuju dengan pendapat mereka, pastikan kita tidak bersetuju secara ilmiah juga bukan dengan mencaci atau menghina.

Wallahualam.


---------------------------------------------------------------------------------------------
Tiket.

Walaupun sudah berada dalam satu persatuan yang mengamalkan gerak kerja Islami, tetapi soal ikhtilat (pencampuran antara lelaki dan perempuan ajnabi) tidak boleh diambil ringan.

Penggerak persatuan haruslah memahami dan menjaga sebarang perkara yang boleh membawa kepada ikhtilat yang tidak menepati syariat. Berbincanglah dengan yang berlainan jantina sekadar urusan yang perlu. Sifir mudahnya, urusan yang mana anda yakin anda boleh jawab di hadapan Allah di akhirat kelak tentang kepentingannya.

Tidak sepatutnya anda menjadikan persatuan sebagai 'tiket' untuk membenarkan ikhtilat mudah-mudah. Setiap perkara ada hadnya. Jangan sampai persatuan jadi fitnah.

Indahnya hidup bersyariat, 'BARU ADA STYLE', bukan?

Pesanan buat diri dan para sahabat yang dikasihi sekalian.


------------------------------------------------------------------------------------------------

Keselamatan.

"Apabila engkau tidak mampu melaksanakan kewajipanmu terhadap agamamu ketika engkau bergaul dengan manusia atau engkau tidak selamat daripada membuat maksiat maka hendaklah engkau beruzlah (iaitu mengasingkan diri daripada orang ramai) dan itu adalah yang terlebih baik bagimu, maka di situlah letaknya keselamatanmu. Dan apabila was-was selalu datang menarik hatimu untuk membuat perkara-perkara yang tidak diredhai oleh Allah ketika engkau beruzlah maka hendaklah engkau tidur dan inilah sebaik-baik keadaanmu kerana sudah menjadi pegangan kita di dalam kehidupan ini apabila kita tidak mampu mendapatkan keuntungan dan kemenangan maka biarlah kita redha dengan lari dalam mencari keselamatan. Maka alangkah hinanya orang yang dapat menyelamatkan agamanya dengan menganggurkan dirinya kerana tidur adalah saudara mati yang bermakna pengangguran hidup dan mencontohi benda-benda yang jamid (yang tidak bergerak)."

- Bab Adab-Adab Selepas Terbit Matahari Sampai Ke Waktu Gelincir Matahari, Bidayatul Hidayah, Al Imam Hujjatul Islam Al Ghazali r.a

Kalau tak mampu menang, sekurang-kurangnya pastikan diri terselamat.


---------------------------------------------------------------------------------------------

Kata.

Mata mengadu, "Tangan, saat bilakah kau akan bertindak? Kau mampu menulis tentang kelakuan buruk itu buat peringatan ramai, tetapi mengapa kau tak mampu menyapa dan menjabat tangan sang pelaku? Dan lidah, begitu ringan kau mengajak mereka ke arah kebaikan, tetapi mengapa dirimu kaku saat kemungkaran jelas di hadapan? Mujur sang hati masih setia memainkan peranan lantaran cahaya keimanan yang selemah-lemah. Apa kita sudah berpuas hati dengan kondisi sebegini?"

Tuhan, aku tidak ingin terus lemah sebegini.


----------------------------------------------------------------------------------------

Thursday, July 4, 2013

::jatuh::

Isyak.

Rakaat keempat tadi, sebelum membacakan doa qunut nazilah, kedengaran dentuman yang sangat kuat beberapa kali. Dalam hati aku tertanya-tanya, shotgun atau meriam buluh?

Selesai solat, bergegas pulang ke rumah, melewati kedai-kedai yang memasang televisyen. Hati kurang enak sebab nampak mercun dinyalakan di Tahrir.

Dan sekarang, mereka sedang meraikan pengunduran presiden mereka yang mereka undi sendiri, dengan cara yang semestinya tidak mencerminkan peribadi muslim.

Tahniahlah. Sila buat pemilihan presiden setiap tahun ye. Kalau boleh jadikan muzaharat sebagai aktiviti riadah. Kami memang suka tengok korang punya drama.

-Sungguh, aku tidak mampu membayangkan kalau undang-undang darurat dihidupkan kembali seperti mana tahun satu dahulu. Buat program persatuan pun ada polis pantau, nama Hassan al Banna pun jadi Pak Hassan. SB jaga seorang demi seorang. Nauzubillah.-



Saturday, April 13, 2013

::ubah::



Seluruh penduduk Thneedville bergantung sepenuhnya kepada syarikat O'Hare yang menjadi satu-satunya pembekal oksigen di bandar mereka. Tiada sebatang pokok pun ditanam di bandar tersebut. Ted sedar, pertemuannya dengan Once-ler untuk mengetahui bagaimana untuk mendapatkan pokok bukan sekadar untuk memikat hati Audrey, tetapi demi kepentingan masyarakat juga. 

Bertahun lamanya O'Hare mempengaruhi pemikiran penduduk Thneedville. "Perkara terakhir yang kamu mahukan di sini ialah pokok-pokok, sungguh kotor! Mengeluarkan cecair melekit ke merata tempat. Adanya pokok, maka semut-semut beracun dan lebah-lebah yang menyengat akan wujud. Fikirkan tentang keselamatan anak-anak kita. Dan seperti yang kita tahu, pokok-pokok mengeluarkan dedaun, kemudian dedaun ini akan jatuh di mana-mana sahaja!" Andai masyarakat tahu bahawa pokok-pokok dapat membekalkan oksigen dengan percuma, maka periuk nasi O'Hare akan terjejas.

Demi masa depan, maka seluruh penduduk Thneedville harus melakukan perubahan, bermula dengan satu-satunya benih pokok yang wujud, dan bersedia menghadapi apa jua risiko ke arah kehidupan yang lebih baik.

"Jangan bicara soal perjuangan andai takut menghadapi risiko."

Apa jua pilihan tidak pernah lepas dari kekurangan. Kita memilih untuk datang menyambung pengajian di Mesir, maka kita harus tabah melayan kerenah masyarakat yang berbeza dari tempat kita. Kita memilih seseorang menjadi pasangan hidup kita, maka kita harus sedar dia juga seorang manusia yang tidak lepas dari melakukan kesilapan maka perlu timbul rasa tanggungjawab untuk saling melengkapi.

Yang penting, jangan takut untuk membuat keputusan, walaupun pilihan kita itu dimomokkan dengan persepsi yang buruk oleh mereka yang takutkan perubahan, lebih tepat lagi mereka yang takutkan kekalahan.

"Unless someone like you cares a whole awful lot, nothing is going to get better. It's not." - Dr. Seuss

Friday, December 28, 2012

::nota-nota II::

Edisi bulan Disember. 
Koleksi penulisan di Facebook.



Mendengar.

"Tak dengar tazkirah selama tiga hari, hati akan mati."

Sekarang semuanya serba canggih, video/audio kuliah agama mudah didapati di laman sesawang, hanya di hujung jari kata orang. Bagi saya, ini merupakan satu gejala yang sihat dan sudah tidak ada sebab lagi untuk seseorang itu tidak mendapat pengisian agama kecuali dirinya sendiri yang lalai.

Tetapi sekali-sekala cubalah untuk keluar dari zon selesa. Keindahan berada di majlis ilmu itu jauh sangat kalau dibandingkan dengan duduk seorang-seorang depan komputer. Berdampingan dengan orang-orang soleh, bukankah salah satu ubat hati? Sayap-sayap malaikat mengelilingi, mana nak cari?

Unit-unit dakwah dalam persatuan berbincang berjam-jam untuk buat sesuatu program ilmiah bukan nak curi masa ahli, tetapi demi kebaikan ahli juga.


--------------------------------------------------------------------------------------------------

Rotan.

Benda yang biasa 'singgah' di telapak tangan sewaktu zaman persekolahan dahulu. Tak siap kerja sekolah, ada masalah disiplin dan sebagainya. Mungkin generasi sekarang tak sempat merasa.

Tak sangka rotan, kau kembali dalam hidupku.

"Aku bagi kamu masa selama 7 hari, kenapa kamu hanya boleh hafal satu dari tiga surah? (An-Naba, An-Naziat, 'Abasa)?" kata sang guru.

Lantas mulut masing-masing terkumat-kamit menghafal, dan aku sendiri tak sangka dalam tempoh yang singkat itu aku mampu melakukannya.

Proses pembelajaran dan pentarbiyahan yang efektif akan berjaya dicapai apabila kita berjaya membuang sifat MANJA dari dalam diri kita.

"Bersabar dalam proses pembelajaran sebagaimana kisah Nabi Musa dan Khidir," ayat yang bermain-main dalam minda sewaktu kuliah ENT selama 2 jam tadi.


------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Mampu.

"Allah beri kita kemampuan yang mana kita hanya guna 30% sahaja daripadanya."

Kalam daripada Syeikh Ali semasa pengajian bahasa Arab minggu lepas buat aku tersentak. Kita selalunya terlalu merendah diri sehingga kita rasa banyak benda yang kita tak mampu buat. Potensi yang ada dalam diri itu tidak dimanfaatkan sepenuhnya.

Mungkin selama ini kerja kita dalam persatuan hanya jadi AJK makanan yang menyediakan makanan dalam program-program, atau AJK teknikal yang mengendalikan 'P.A system', atau kerja-kerja belakang tabir yang lain, tetapi siapa tahu kebolehan kita sebenarnya lebih mantap daripada mereka yang selalu berada di hadapan.

Kesimpulannya? Dapatkan borang pencalonan AJKT PERUBATAN Cawangan Mansurah/ MTP PERUBATAN anda pada hari ini, esok dan lusa. :)

#tolongkempenuntukJPC


------------------------------------------------------------------------------------------------------------


Bimbingan.

Mad'u (sasaran dakwah) yang paling sukar untuk dibimbing ialah diri kita sendiri. Selagi ego masih tinggi seperti KLCC, selagi itulah sebarang nasihat takkan mampu mempengaruhi diri ini.

Kalau diminta untuk membimbing tidak bermakna diri ini tidak perlu dibimbing.


------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Kelemahan.

Menilai dan membandingkan antara iPad mini dan Note 10.1 lepas solat Asar tadi. Mengenali iOS dan Android secara terperinci. Namun yang aku perasan, dari awal sehingga akhir hanya KELEMAHAN setiap peranti yang dititikberatkan.

Begitulah juga dengan benda lain yang kita nampak, tidak hanya terhad kepada gadjet canggih. Kita rasa orang ini sesuai pegang jawatan ini dan itu, atau mungkin sekali pasangan hidup kita, tetapi bila kita terlalu fokus kepada titik kelemahannya (weak point) terus kita tolak bulat-bulat.

Setiap perkara punya kelemahan dan kekuatan masing-masing, maka pilihlah mana yang paling sedikit kelemahannya. Yang tidak lemah itu hanya Allah SWT.

Tapi rasa iOS lagi best :P


------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Ikhlas.

Apabila dipuji, dia tidak melebihkan.
Apabila dicela, dia tidak mengurangkan.


------------------------------------------------------------------------------------------------------------


Alamat.

Kata ulama', di antara alamat orang yang tenggelam dalam dosa ialah tidak terbuka hatinya untuk qiamulail dan puasa pada siang hari.

- Syeikh Muhd Zainul Asri.


------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Muhasabah.

Tawadhuk bukan bererti lemah,
Tegas bukan bererti kasar.

Beralah bukan bererti kalah,
Kalah bukan bererti salah
Menang bukan bererti benar.


------------------------------------------------------------------------------------------------------------


Istiqamah.

Dari Abdullah bin 'Amr bin al-'Ash radhiallahu 'anhuma, katanya: Rasulullah s.a.w. pernah bersabda kepadaku: "Hai Abdullah, janganlah engkau seperti si Fulan itu. Dulu ia suka bangun bershalat malam, kemudian ia meninggalkan bangun malam itu." (Muttafaq 'alaih)

- Hadith 154, Bab Memelihara Kelangsungan Amalan-Amalan, Kitab Riyadhus Solihin oleh Imam Nawawi

Istiqamah itu lebih baik daripada seribu karamah.


------------------------------------------------------------------------------------------------------------


Pahit dan manis.

Sesiapa yang tidak pernah merasai kepahitan tidak akan mengenal kemanisan.


------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Rasa.

Pernah tengok orang yang hidupnya tenggelam dalam cinta Allah dan Rasulnya, sibuk dengan amal ibadat dan teguh berjalan di atas jalan dakwah yang penuh berduri? Apa agaknya yang mereka rasa?

Orang yang tidak pernah merasai tidak akan mengetahui (memahami). Maka bagaimana mereka boleh meletakkan ketentuan dan penilaian terhadap (perkara yang dilalui) para Siddiqin?

- Dipetik daripada Kitab Sawanih Qalbiyyah, Ahmad Fathulluh Jamiy, Dar al-Ghazali, cetakan kedua, 2002


------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Kematian.

Cara kita mati adalah berdasarkan bagaimana kita hidup, sebab kita sendiri tidak tahu bila kita akan menemui ajal. Boleh jadi setengah jam lagi, sepuluh minit lagi atau mungkin sesaat lagi. Maka jika detik-detik itu kita penuhkan dengan amal ibadah, atau kita sendiri sudah melazimi kehidupan yang mengikut syariat Islam InsyaAllah kita akan mati ketika melakukan perkara yang terpuji. Alangkah sedihnya jika kita mati dalam keadaan bermaksiat kepada Allah, maka jauhkan diri dari melakukan perkara-perkara sedemikian dan lazimi taubat.

Itulah cara membentuk seni kematian.


------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Harapan.
Kita tidak boleh mengharapkan kelemahan musuh untuk mencapai kemenangan.
Kita tidak boleh mengharapkan orang lain untuk kerja terus berjalan.
Kita tidak boleh mengharapkan soalan peperiksaan bocor untuk mendapat kejayaan.
Kita tidak boleh mengharapkan keadaan yang selesa untuk mengerjakan amalan.

Andai diri tiada usaha dan tawakkal, kesemuanya hanya menjadi khayalan.

Dan, khas sempena pilihanraya esok,
Kita tidak boleh mengharapkan perubahan andai kita tidak melaksanakan kewajipan.


------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Jumaat.

Kita tak sedar hari Jumaat ini ada haknya.

Imam Ja’far Ash-Shadiq (sa) berkata:
“Malam Jumaat dan hari Jumaat mempunyai hak, maka janganlah sia-siakan kemuliaannya, jangan mengurangi ibadah, dekatkan diri kepada Allah dengan amal-amal sholeh, tinggalkan semua yang haram. Kerana di dalamnya Allah SWT melipatgandakan kebaikan, menghapus kejelekan, dan mengangkat derajat. Hari Jumaat sama dengan malamnya. Jika kamu mampu, hidupkan malam dan siangnya dengan doa dan solat. Kerana di dalamnya Allah mengutus para Malaikat ke langit dunia untuk melipatgandakan kebaikan dan menghapus keburukan, sesungguhnya Allah Maha Luas ampunan-Nya dan Maha Mulia.”

Jumaat minggu ini sudah berlalu. Bagaimana agaknya penilaian Jumaatku kali ini di sisi Allah?


------------------------------------------------------------------------------------------------------------


Tangisan.

Kenapa kita menangis? Rindukan ayah dan bonda di kampung halaman? Putus cinta dengan kekasih? Atau mungkin pada saat ini kita sedang memotong bawang?

Petang tadi sempat meluangkan masa mendengar ceramah Syeikh Zainul Asri, beliau menceritakan bagaimana seseorang itu boleh menangis, terutamanya apabila berada di dalam majlis ilmu. Seperti yang kita tahu, majlis ilmu merupakan satu tempat di mana para malaikat menghamparkan sayap-sayap mereka untuk turut sama duduk mendengar kalimah-kalimah yang mengingatkan kita kepada Allah. Kita mampu menangis kerana pada saat itu sayap-sayap malaikat sedang berada di samping kita sehingga menjadikan hati kita lembut. Subhanallah.

Pesan beliau lagi, apabila menangis kerana takutkan Allah, jangan lap air mata itu, tetapi sapulah ia di muka dan anggota badan yang mampu dicapai. Semasa peristiwa Isra' Mikraj dahulu, Rasulullah SAW diperlihatkan dengan neraka yang mana apinya terpadam apabila Jibril melemparkan setitis air ke atasnya. Kata Jibril, "setitis air tersebut merupakan air mata ummatmu (Muhammad) yang menangis kerana takutkan Allah."

Sabda Rasulullah SAW, "Andai kalian mengetahui apa yang aku ketahui, nescaya kalian akan sedikit tertawa dan banyak menangis." (Bukhari dan Muslim)


------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Tidak lengkap.

Semasa sesi soal jawab dalam kelas, profesor memberitahu kami supaya menghuraikan soalan yang ingin ditanya dengan lengkap bagi mengelakkan salah faham.

"Dalam Al Quran, andai kita hanya membaca 'La taqrabu solah' (Janganlah kamu menghampiri solat) sahaja tanpa membaca penuh ayat tersebut maka ia akan mengubah maksud. Maka bacalah dengan lengkap ayat tersebut (Merujuk kepada ayat 43 surah An-Nisa').

Perkara yang sering berlaku pada zaman sekarang, menyunting dan mengambil hanya separuh dari ucapan mana-mana tokoh dan menyebarkannya kepada khalayak ramai lalu menyebabkan kekeliruan dan salah faham.

Berwaspadalah.


------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Nasihat.

Tidak kira siapa pun kita, samada punya ilmu yang tinggi atau tidak, hendaklah ada orang yang sering menasihati kita.

Ada masanya nasihat yang kita beri kepada orang lain itu tidak efektif pada diri sendiri. Entah mengapa.

Maka, nasihati aku, teman. :)


------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Semangat.

Rasulullah SAW bersabda,
"Setiap amal perbuatan ada masa semangatnya, dan setiap semangat ada masa lemahnya. Barang siapa yang masa lemahnya menuju pada sunnahku, maka sungguh dia telah mendapatkan petunjuk.
Namun barang siapa yang masa lemahnya menuju pada yang lainnya, maka sungguh dia telah binasa."
(HR. Ahmad).

Masa lemah, jangan tak buat terus, buat juga walaupun sedikit. Contoh seperti amalan sunat, paling kurang dua rakaat sebelum subuh jangan tinggal.

Cara untuk mendapatkan semangat dalam melakukan sesuatu amal ialah kita terus beramal dengannya walaupun sedikit. Untuk berterusan dalam kerja dakwah, hendaklah kita terus melakukan kerja-kerja dakwah walaupun sekecil mana tugasan tersebut.


------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Tulis.
Kadang-kadang rasa rugi apabila kita mendengar satu pengisian, ceramah atau kuliah yang bagus tetapi kita sekadar mendengar. Banyak poin-poin penting yang kita lupa atau malas nak catat. Kemudian tiba satu masa kita dikehendaki untuk menyampaikan, kita tidak mampu untuk menerangkan poin-poin yang hendak disampaikan dengan sepenuhnya. Akan timbul pernyataan seperti:

"Tak ingat hadis ke kata-kata ulama', tapi macam ni lah bunyi dia lebih kurang..."

Dua hari ini aku mengantuk dalam kelas, sebab aku hanya mendengar tanpa cuba menggerak-gerakkan tangan untuk menulis sesuatu. Ternyata mendengar itu lebih penat daripada bercakap. Haih.

“Ilmu itu ibarat binatang liar, dan hanya tulisan yang dapat mengikatnya."


------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Hati.

Dalam sehari, lintasan kata dalam hati berlaku hingga beribu-ribu kali. Ianya berkait rapat dengan akhlak dan perbuatan kita, maka hendaklah kita bijak dalam mengendalikannya.

Menurut Habib Ali Al Jufri, terdapat tiga pertimbangan dalam mengendalikan lintasan kata dalam hati:

1.Kata hati yang baik dan jahat dibezakan dengan syariat Islamiah. Pertimbangan ini paling utama antara ketiga-tiganya. Perkara makruh hendaklah dijauhkan kerana ia mudah membawa kepada perkara yang haram, perkara sunat janganlah diperlekehkan kerana yang sunat itulah yang dapat menampung kekurangan perkara yang wajib.

2.Jika tidak pasti mengenai hukum sesuatu perkara, bawa bentuk kata hati itu kepada kisah-kisah yang kamu ingat tentang perjalanan orang soleh terdahulu. Cuba periksa samada adakah perkara yang terlintas itu dilakukan oleh mereka atau tidak.

3.Jika tidak mampu dengan dua pertimbangan yang pertama, maka cuba tujukan lintasan kata hati tersebut kepada diri sendiri. Jika kita merasa mudah untuk melakukan perkara yang terlintas itu, maka ianya sesuatu yang tidak baik, jika kita merasa susah maka ianya sesuatu yang baik. Kenapa? Kerana perkara yang baik itu tidak disukai oleh nafsu. Contoh, terlintas dalam hati kita untuk pergi ke program-program ilmiah, tetapi pada masa yang sama kita memikirkan jauhnya tempat, jangka masa yang lama serta diri yang kepenatan baru habis kuliah. Padahal kalau kita duduk di rumah cergas je melayari internet. :P

Apabila hati kita baik, insyaAllah lintasan kata dalam hati juga baik.
Sama-sama muhasabah.


------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Sunday, December 2, 2012

::nota-nota::

Assalamualaikum.



Kebelakangan ini saya terinspirasi oleh status-status Facebook oleh Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man. Tidak terlalu panjang seperti sebuah artikel, tetapi ringkas, menarik serta mengandungi ibrah yang perlu dihayati dalam menghadapi kehidupan seharian.

"Seorang penulis perlu sentiasa bermonolog dalaman", pesan Ustaz A.Ubaidillah Alias. Biarpun bukan matlamat saya untuk menjadi seorang penulis, namun menulis dan membaca dengan baik adalah kemahiran yang amat penting buat ummat Islam dalam menyampaikan dakwah Islam.

Di sini saya kongsikan beberapa penulisan ringkas yang pernah saya kongsikan di Facebook.

------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Menilai.

"Kita melihat luarannya, dan Allah lebih tahu dalamannya."

Banyak benda yang tidak mampu kita nilai pada diri seseorang. Mungkin pada zahirnya seseorang itu nampak baik tetapi sebenarnya dialah yang paling 'hantu'. Apa yang kita mampu buat ialah mengenalpasti kelakuan dan sifatnya samada bertentangan dengan syariat Islam atau tidak. Soal tidak ikhlas, munafik dan fasik bukanlah urusan kita untuk melabel sesuka hati.


Di samping menilai orang lain, jangan lupa muhasabah diri kita macam mana.


------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Bermusafir.

Satu perkara yang tidak boleh dipisahkan dengan seseorang yang bergiat aktif dengan persatuan. Adakalanya keadaan memaksa untuk berkorban masa dan tenaga demi menjayakan sesuatu agenda. 

Ingatlah, dalam penat-penat bermusafir itu, ada ganjaran yang sering kita lupa: Orang yang bermusafir doanya mustajab.


----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Menulis.

Antara medium yang semakin rancak digunakan untuk menyatakan pendapat, meluahkan perasaan, berkongsi pengalaman dan sebagainya. Namun, ramai yang tidak sedar bahawa setiap penulis akan bertanggungjawab atas apa yang ditulisnya. Pastikan apa yang ditulis adalah perkara-perkara yang baik dan sertakan sumbernya. 

Orang mungkin buat-buat tak sedar atau 'like' dengan status kita, tetapi dalam senyap mereka sedang menilai kita melalui tulisan kita. Baiknya hati, baiklah jasad seluruhnya.


----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Aman.

Bersyukurlah, tempat kita aman damai. Tak macam tempat sekian-sekian.
Benarkah?

Kita lupa dalam keamanan itu ada azab yang kita tidak sedar. Aman sehingga dalam solat pun masih terfikir nak buat perkara maksiat, sedangkan para mujahidin yang berjuang di tempat yang tidak aman itu sentiasa terfikir adakah ini solat terakhir buat mereka sebelum menemui syahid. Benda-benda mungkar dah terlalu banyak sampai kita tak rasa pelik pun kalau tengok. 

Masih rasa amankah?


----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Membaca.

Apa yang saya faham melalui pembacaan buku 'How to Read a Book', buku boleh dibahagikan kepada dua jenis, iaitu "theoritical" dan "practical". Selalunya orang lebih cenderung untuk membaca buku jenis "practical" kerana bagi mereka ideanya lebih realistik untuk diaplikasi, sedangkan buku "theoritical" bukan angan-angan semata. Kandungan dari buku-buku "theoritical" mampu menjana fikiran m

anusia untuk cuba melaksanakan idea yang diketengahkan walaupun tidaklah seratus-peratus, atau mungkin sesuatu yang baru.

Buku dalam library tak ramai orang baca. Tapi buku yang 'bergerak', ramai orang terus baca. Jom kita semua berusaha jadi 'buku bergerak' terbaik buat ummah, dalam keterbatasan insan yang tidak sempurna. (Ustazah Fatimah Syarha)





----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------





Fokus.

Pembinaan fokus semasa solat fardhu (khusyuk) bukanlah bermula dari mengangkat takbiratul ihram, tetapi ia bermula dari saat seseorang hamba mengambil wuduk selepas azan berkumandang. Selesai berwuduk dengan sempurna, teruslah menuj
u ke masjid, tunaikan solat sunat rawatib dan isi masa sebelum iqamah dengan berzikir, berselawat, membaca al Quran atau berdoa (antara waktu mustajab doa). Dengan cara ini, minda akan tenang dan bersedia untuk menunaikan solat.

Berbeza dengan menunggu iqamah dilaungkan dengan melakukan kerja-kerja lain, yang mana kerja-kerja yang dibuat itulah mudah untuk 'masuk line' ketika solat.

"Aku dah tutup ke belum plug tadi? Banyak mana lagi aku tak study? Kunci aku letak kat mana tadi?" antara soalan yang muncul tiba-tiba yang menyebabkan fokus kita terganggu.

Sama juga dengan pekerjaan lain. Hadir mesyuarat, kuliah, program dan sebagainya pada awal waktu. Jangan pernah ambil mudah. Professor sudah mengajar jauh, agenda mesyuarat sudah masuk yang ke berapa, pengisi program sudah membuat resolusi, kita pula masih lenggang kangkung masuk ke dalam dewan, lepas duduk lambat-lambat cari pen dan kertas, macam mana nak fokus kalau macam ni?

Pesan untuk diri.





----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------





Berdisiplin.

Sesuatu perkara yang dilakukan secara istiqamah selama 40 hari akan membentuk tabiat, dan tabiat yang dilakukan selama setahun akan membentuk sikap.

Senang untuk buat amal, namun susah untuk menjaganya.
Berdoalah semoga Allah membantu dalam segala urusanmu.

Esok exam, mohon doanya. Mengantuk bila belajar bermakna tiada kesungguhan!





----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------





Angan dan sedar.

Seringkali kita berdepan dengan situasi-situasi (contoh paling mudah, program) yang menimbulkan kesedaran dan keinsafan dalam diri kita.

Ramai sekali yang berkata, "Teruknya aku, banyak betul dosa yang aku dah buat."

Kemudian? Hanya tinggal kata-kata. Mungkin sedar pada masa itu sahaja, bila program tamat kata-kata dah jadi macam debu-debu yang berterbangan.

Saya tak kata kat sesiapa. Mungkin boleh jadi diri saya.

Kesedaran tanpa tindakan susulan tidak akan ke mana-mana.





----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------





Pengunaan bahasa yang betul dalam penulisan.

Ustaz Ubaidillah Alias menekankan penggunaan bahasa baku bukan sahaja dalam penulisan, malah dalam perbualan seharian. Walaupun beliau berasal dari Kelantan, namun beliau cuba untuk tidak bercakap dalam loghat 'Kelate' untuk mengembangkan kosa kata (vocabulary).

Tambahan beliau memilih pasangan hidup bukan dari negeri yang sama supaya dapat berbahasa baku dengan lebih baik. Namun asal usul tak lupa boh! Kelate tetap Kelate.

Bagi yang menulis status, chatting dan sebagainya dalam laman sosial, khususnya mereka yang menulis untuk berdakwah, gunalah bahasa penuh. Cacat dakwah kalau bahasanya juga cacat.





----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------





Sekian sahaja buat kali ini. Jumpa lagi. :)