Pages

Subscribe:

Saturday, May 16, 2015

[Tribut Buat Guru]

GURU.

Apakah yang terlintas di fikiran anda saat membincangkan perihal seorang guru?


(Gambar: Filem Dead Poets Society lakonan mendiang Robin Williams)

Mungkin sahaja anda sedang membayangkan watak  Mr.John Keating (Dead Poets Society) menghidupkan semangat para muridnya melalui penghayatan puisi. Bagi mereka yang meminati drama Jepun, watak Yankumi (Gokusen) yang berjaya membimbing murid-murid yang bermasalah sudah pasti tidak asing buat mereka. Malah boleh jadi anda teringatkan beberapa orang guru yang memainkan peranan besar dalam membentuk personaliti anda selaku seorang mahasiswa sains kesihatan pada hari ini.

MUALLIM ATAU MURABBI?   

Bagaimana kita hendak mengenal peribadi seorang guru, samada dia seorang muallim atau seorang murabbi?

Kedua-dua istilah ini seakan-akan sama taraf penggunaannya, tetapi hakikatnya berbeza.
Seorang muallim, tugasnya seperti kebanyakan guru atau cikgu, iaitu mengajar dan mensyarahkan silibus-silibus akademik kepada para muridnya melalui pembelajaran di dalam kelas.

Berbeza dengan seorang muallim, seorang murabbi bukan sekadar mengajar dan mensyarahkan silibus-silibus akademik, malah dia memberikan tumpuan yang penuh terhadap perkembangan muridnya dari sudut yang lain, supaya muridnya itu benar-benar menjadi seorang manusia yang berguna. Memetik kalam saudara Ameen Misran (Langit Ilahi),

“A person who nurtures, breeds, feeds, grows, guard and teach an entity until the process of nurturing, breeding, feeding, growing, guarding and teaching is complete and successful.”

Saya pernah mendengar analogi ringkas bagaimana untuk membezakan seorang muallim dengan seorang murabbi.
 Anda ingin belajar cara-cara membuat kek coklat dengan dua orang guru yang berbeza. Guru A menyuruh anda menyalin senarai bahan-bahan yang diperlukan dan menunjukkan langkah-langkah membuat kek tersebut untuk anda buat sendiri setibanya di rumah nanti. Ini adalah sifat seorang muallim.
Manakala Guru B pula menemani anda dari saat mendapatkan bahan-bahan yang diperlukan sehingga anda benar-benar selesai menyiapkan kek coklat yang enak. Segala kekurangan dan kesilapan sepanjang proses membuat kek tersebut akan dibetulkan oleh guru tersebut. Guru B adalah contoh seorang murabbi yang baik.

Justeru, semua guru ialah muallim, tetapi bukan semuanya layak digelar murabbi. Walaubagaimanapun, kita selaku murid seharusnya beradab dengan para guru yang telah banyak berkorban demi kebaikan kita.



ADAB-ADAB SEORANG MURID.
  
Semasa sekolah rendah dahulu, kita sangat menjaga adab terhadap para guru dan berusaha mengelakkan diri dari melakukan perkara-perkara yang boleh menyakiti hati mereka. Masuk sahaja sekolah menengah, saya mendapati ada kelakuan-kelakuan yang kurang beradab mula menular para pelajar seperti memberi gelaran yang tidak elok kepada guru, bersikap kurang ajar apabila ditegur kesalahan dan sengaja tidak menyiapkan tugasan yang diberi atas alasan yang tidak munasabah. Keadaan ini bertambah parah setibanya di universiti, yang mana kita semakin kurang menitikberatkan adab terhadap doktor yang mengajar dan membimbing kita.

Ikut resmi padi, makin berisi makin tunduk, jangan ikut resmi lalang, semakin tegak tiada berisi.”

Seharusnya dengan peningkatan ilmu dan kematangan akal, kita akan menjadi seorang yang lebih mengutamakan adab dalam bergaul dengan orang lain. Suatu perkara yang perlu dimuhasabah jika berlaku sebaliknya.

Hujjatul Islam Imam al Ghazali r.a ada menyenaraikan adab-adab seorang murid dalam kitabnya yang masyhur iaitu Bidayatul Hidayah. Antaranya ialah:
1.       Apabila bertemu gurunya, hendaklah dia memberi salam kepadanya terlebih dahulu.
2.       Jangan banyak bercakap di hadapan guru.
3.       Jangan bercakap sebelum guru bertanya kepadanya.
4.       Jangan bertanya kepada guru sebelum meminta izin.
5.       Jangan mengisyaratkan kepada guru dengan menyalahi pendapatnya kerana menyangka bahawa diri lebih mengetahui daripada gurunya.
6.       Jangan berbisik dengan orang yang duduk di tepi ketika guru memberikan pelajaran.
Professor Hesham Daba, pensyarah Jabatan Farmakologi Kuliah Perubatan Universiti Mansurah pernah memberitahu penulis tentang tiga perkara penting yang perlu ada pada seorang doktor, iaitu knowledge (pengetahuan), skills (kemahiran) dan attitude (sikap). Oleh itu, marilah kita berusaha untuk menjaga adab dengan sesama manusia bagi membentuk peribadi doktor muslim yang baik.

TRIBUT BUAT GURU.

Sambutan Hari Guru pada 16 Mei setiap tahun merupakan satu tanda penghargaan terhadap guru-guru yang terlalu banyak pengorbanannya kepada umat manusia, bermula dari ibubapa selaku guru pertama dalam hidup sehinggalah para doktor dan pensyarah yang mengajar kita pada hari ini. Mereka adalah wasilah yang penting dalam  pembangunan modal insan.  Tanpa mereka, siapalah kita.

Berburu ke padang datar
Dapat rusa belang kaki
Berguru kepala ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi
Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.
Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.
Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.
Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulangi ilmu
Panggilan keramat “cikgu” kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.
  • Usman Awang, 1979

Terima kasih guru-guruku!

‘Ammar b Mohamad Ziyadi
Tahun 6 PERUBATAN Konvensional
Universiti Mansurah


0 orang tak puas hati:

Post a Comment