Pages

Subscribe:

Labels

Showing posts with label ::perkongsian::. Show all posts
Showing posts with label ::perkongsian::. Show all posts

Monday, May 18, 2015



"Sikap hormat dan menyanjung seseorang pejuang merupakan suatu amalan yang sangat baik, apatah lagi kalau luahan ucapan tersebut lahir dari hati yang ikhlas. Namun kekaguman kita kepada sesuatu tokoh tentulah bermanfaat seandainya kita bersama dengan perjuangan yang dibawanya, bukan hanya mengagumi mereka setelah ketiadaannya." - Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man


"TGNA mengingatkan bahawa sedekah yang diberikan kepada golongan miskin tidak hanya dalam bentuk bantuan kebendaan semata-mata tetapi hendaklah disertai juga bantuan kerohanian, iaitu nasihat yang patut dibekalkan kepada penerima bantuan untuk kehidupan di akhirat kelak. Beliau mengingatkan bahawa bantuan kebendaan itu hanyalah sekadar keperluan di dunia sahaja tetapi kehidupan di akhirat mesti berbekalkan takwa kepada Allah swt." - petikan artikel Legasi Pemikiran Ekonomi Tuan Guru Nik Abdul Aziz oleh Syahir Sulaiman.



Rindu kepada susuk orang alim ini menjengah kembali setelah pemergiannya tiga bulan lepas. Buku yang dihasilkan oleh Dr Riduan Mohamad Nor ini menjadi pengubatnya. Sisi pandang yang berbeza ditampilkan secara santai oleh penulis-penulis artikel yang dimuatkan dalam buku ini, tetapi ibrahnya cukup besar bagi yang menghayatinya.

Kenapa rajin sangat baca buku-buku pasal politikus ini?

Tidak. Almarhum bukan sekadar politikus, malah almarhum merupakan seorang pendakwah. Sebagaimana Rasulullah SAW menjadi pemimpin Madinah suatu masa dahulu, almarhum bersungguh-sungguh mengimplementasikan pentadbiran negeri berdasarkan Islam.

Aku sendiri pernah tertanya, kenapa aku lebih cenderung untuk mendengar kuliah-kuliah almarhum yang panjangnya hanya sekitar 30 minit, atau mungkin hanya 20 minit disebabkan keuzuran almarhum pada masa itu, darjat isinya pula lebih sesuai kepada pendengar-pendengar yang lebih tua (ringan pada pandanganku) berbanding ceramah-ceramah yang lebih berat?

Kerana ceramah-ceramah pendek itu punya rohnya yang tersendiri, terserlah keikhlasannya dan menambat hati sesiapa sahaja yang mendengar. Isinya nampak ringkas tetapi besar impaknya kerana almarhum mensyarahkan kalam-kalam Yang Maha Esa.

Al-Fatihah. Semoga almarhum tenang di sana.

Monday, May 19, 2014

::permulaan hidayah::


Sedikit nota dari kelas Bidayatul Hidayah oleh Ustaz Jamiluddin Murat (3/5/2014)




1. Hidayah boleh dibahagikan kepada dua:
a) Petunjuk: Boleh diberi oleh manusia yang tahu. Perumpamaannya seperti orang yang sesat meminta tunjuk arah daripada orang yang ditemuinya, lalu orang itu menerangkan jalan-jalan yang perlu dilalui. (Belum tentu akan sampai sekiranya orang yang sesat itu gagal memahami arahan yang diberi)

b) Maunah: Hanya mampu diberi oleh Allah SWT. Perumpamaannya seperti orang yang sesat meminta tunjuk arah daripada orang yang ditemuinya, lalu orang itu membawa orang yang sesat itu ke destinasi yang diinginkan. (Sah akan sampai ke tempat tersebut)

2. Sifat orang yang mendapat bimbingan (hidayah) mengikut pendapat Sheikh Mutawalli as Sya'rawi:
a)Firman Allah: Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang zalim. (As-Saff, 7). Bermakna Allah memberi petunjuk kepada mereka yang adil.

b)Firman Allah: dan Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang fasik. (As-Saff, 5). Bermakna Allah memberi petunjuk kepada mereka yang taat.

3. Antara petanda seseorang itu menjadi hamba kepada nafsu ialah dia melewat-lewatkan urusan dengan Allah kerana mendahulukan nafsunya.

4. "Siapa yang menolong orang lain melakukan sesuatu maksiat walaupun hanya dengan setengah kalimat maka orang itu dikira berkongsi di dalam melakukan maksiat tersebut" - Mukadimmah kitab

5. Kelebihan ikhlas: Dan jikalau niatmu di dalam mencari ilmu itu untuk mencari keredhaan Allah dan mencari hidayah, bukan semata-mata untuk pandai bercakap maka hendaklah engkau bergembira, kerana para malaikat telah mengembangkan sayapnya apabila engkau berjalan dan ikan yang ada di dalam laut semuanya meminta ampun bagimu apabila engkau berjalan.

6. Tetapi jikalau engkau mendapati hatimu tidak memberi perhatian kepadanya dan nafsumu suka berlambat-lambat dalam melaksanakan perintahnya maka ketahuilah bahawa kecenderunganmu dalam menuntut ilmu sebenarnya hanya tunduk kepada perintah syaitan yang terkutuk yang mahu menipu engkau dengan bermacam-macam tipu helahnya. Sehingga engkau akan terjerumus ke dalam jurang kecelakaan.



------------------------------------------------------------------------------------------------------------


Nota ringkas kelas Bidayatul Hidayah 17 Mei 2014.


1. Manusia dalam menuntut ilmu terbahagi kepada tiga keadaan;
a) Pertama:
-Orang yang mencari ilmu untuk menjadikannya sebagai bekalan ke negeri akhirat maka dia tidak berniat dengan mencari ilmu kecuali hanya mendapat keredhaan Allah dan negeri akhirat. Maka orang ini termasuk dalam golongan orang yang beruntung.

b) Kedua:
- Orang yang mencari ilmu untuk mendapatkan keuntungan segera (dunia) dan mendapatkan kemuliaan, pangkat dan harta benda, sedangkan dia sendiri menyedari hal ini dan merasakan di dalam hatinya akan kejahatan keadaan yang sedang dialaminya dan kehinaan maksudnya. Maka orang ini berada dalam golongan yang berbahaya.

- Jikalau dia sempat mati sebelum sempat bertaubat, maka dibimbangi ia akan mati dalam keadaan su-ul khatimah kemudian urusannya terserahlah kepada kehendak Allah. Keadaan sebaliknya sekiranya dia sempat bertaubat.

c) Ketiga:
- Orang yang telah dikuasai oleh syaitan maka ia menjadikan ilmu yang dituntutnya itu sebagai alat untuk menghimpunkan harta benda dan bermegah-megah dengan kedudukan dan merasa bangga dengan ramai pengikutnya.

- Menggunakan ilmu untuk kepentingan dunia.

- Dia masih terpedaya lagi dengan sangkaannya bahawa dia mempunyai kedudukan yang tinggi di sisi Allah kerana dia masih lagi pada zahirnya menyerupai para ulama.

- Orang yang seperti ini termasuk dalam golongan orang yang binasa, jahil dan tertipu dengan helah syaitan dan sangat tipis harapan untuk ia bertaubat kepada Allah kerana dia telah menyangka bahawa dirinya termasuk di dalam golongan orang yang baik, padahal ia telah lupa.

- Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud; "Selain daripada Dajjal ada satu perkara yang sangat aku bimbangkan lebih daripada Dajjal. Lalu ada orang yang bertanya: Apakah itu wahai Rasulullah? Nabi SAW menjawab: Mereka ialah Ulama Su' yakni ulama yang jahat."

2. Tujuan menuntut ilmu hanyalah untuk meraih mardhatillah.

3. Pentingnya bersungguh dalam menuntut ilmu. Kata Imam Hasan al-Basri, "Kamu bersungguh dalam perkara yang Allah jamin untuk kamu, dan kamu abaikan perkara yang Allah tuntut untuk kamu buat. Itulah tanda hatimu telah terpadam."

4. Amalan manusia terbahagi kepada tiga;

a) Taat; contohnya seperti solat, puasa dan amalan baik.
b) Fadhi (kosong); contohnya berbual perkara-perkara yang tidak berfaedah. Boleh membawa kepada maksiat.
c) Maksiat; perkara-perkara yang Allah larang.

5. Orang yang membuat kesalahan dan rasa bersalah, itu anugerah Allah. Orang yang membuat kesalahan dan tidak rasa bersalah, itu masalah.

6. Wahyu disampaikan melalui tiga cara;
a) Al Quran
b) Hadis qudsi
c) Hadis nabawi

- Manusia tidak mungkin bercakap dengan tiga uslub seperti baginda nabi.

7. Kaedah khusyuk dalam solat:
a) Hadir hati
b) Faham
c) Takzim (membesarkan Allah)
d) Bimbang dengan azab Allah
e) Ar raja' (mengharap Allah terima)
f) Al haya' (malu dengan Allah)

Wallahualam.

Thursday, January 9, 2014

Tulis.


Dunia semakin canggih. Laman-laman sosial semakin bertambah bilangannya bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Tidak cukup dengan Facebook, ada yang memilih untuk membuka akaun Blogger, Twitter, Instagram dan bermacam-macam lagi sebagai medium untuk berinteraksi dengan kawan-kawan yang jauh mahupun yang dekat.


Perkembangan tersebut secara tidak langsung menjadikan penulisan salah satu medium yang popular dalam segenap lapisan masyarakat, tidak kira dalam kalangan mereka yang berpendidikan tinggi mahupun remaja belasan tahun. Tulisan-tulisan mereka bukan sekadar hanya menjadi cakap kosong di laman sosial, malah ada tulisan-tulisan yang dikumpulkan menjadi sebuah buku yang bermanfaat.

Sebagai seorang pengguna aktif laman sosial khususnya Facebook dan Blogger, saya sendiri tidak ketinggalan untuk sentiasa menghasilkan tulisan-tulisan bagi memastikan idea-idea yang berlegar di minda tidak dibazirkan begitu sahaja. Seorang penulis yang saya kagumi pernah berkata, seorang penulis perlu sentiasa berimaginasi kerana dari imaginasi tersebut lahirnya idea yang perlu diolahkan dan pemikiran akan terus berkembang dari semasa ke semasa. Selaku seorang muslim saya juga percaya bahawa penulisan yang bermanfaat akan memberikan ganjaran kepada sang penulis walaupun penulisnya sudah meninggal dunia.

PENGGUNAAN BAHASA YANG TEPAT


Terdapat beberapa perkara yang ingin saya kongsikan berkenaan cara-cara untuk menjadi penulis yang aktif di laman sosial. Perkara pertama yang perlu anda cakna ialah dari segi penggunaan bahasa yang tepat. Meskipun kita bukanlah pelajar sastera, tetapi menjaga tatabahasa dalam penulisan dan menulis dengan bahasa penuh adalah sangat penting dalam menghasilkan tulisan yang baik. Perkara ini umpama menjaga adab ketika berkomunikasi dengan orang lain. Sayang sekali sekiranya anda mempunyai idea yang bagus untuk disampaikan tetapi penggunaan bahasa yang kurang tepat mencacatkan tulisan anda.

BAGAIMANA MAHU MULA MENULIS?


Di laman sosial anda bebas untuk mencoretkan apa sahaja selagi mana ia tidak bercanggah dengan undang-undang dan melampaui batasan agama. Tepuk dada, tanya iman. Bagi menghasilkan sesuatu karya yang baik, maka idea-idea yang baik amatlah diperlukan. Membaca adalah salah satu cara yang penting dalam mendapatkan idea. Bagi saya, seorang penulis yang baik harus mempunyai sudut pandangan yang pelbagai dalam sesuatu perkara. Katakan anda mahu menulis dengan aktif, sekurang-kurangnya satu ‘status’ yang anda mahu kemaskini dalam laman Facebook anda setiap hari. Antara cara yang mudah bagi mencapai matlamat tersebut adalah dengan menulis tentang perkara yang paling bermakna anda saksikan pada hari tersebut, dan selepas itu berikan pandangan yang pelbagai mengenainya. Sebagai contoh, perkara yang paling bermakna anda saksikan pada hari ini ialah seorang pakcik tua yang tempang cuba melintas jalan untuk menuju ke masjid. Huraikan dan berikan pandangan dari sudut agama dan sosial mengenainya. Pada awalnya anda mungkin terasa segan untuk menulis tentang kehidupan anda sendiri, tetapi percayalah selagi mana apa yang kita tulis tidak mengaibkan diri kita sendiri dan mampu memberi manfaat kepada orang lain, tiada apa yang perlu dirisaukan.

LIKES SEBAGAI CULAAN


Mendapat ‘likes’ yang banyak dengan tulisan kita bukan objektif utama kita menulis. Tajdidkan niat selalu agar setiap tulisan kita hanya kerana Allah. Fungsi ‘likes’ yang boleh kita manfaatkan ialah sebagai culaan terhadap para pembaca. Kita mempunyai teman yang ramai di Facebook dan masing-masing mempunyai pemikiran yang berbeza. Dalam menyampaikan dakwah, kita perlu memahami bagaimana pemikiran target dakwah kita supaya kita mampu menghasilkan tulisan yang mampu menyentuh hati mereka dan selesa dibaca. Orang tak makan budu, kita beri makan nasi kerabu. Hakikatnya budu itu tetap ada dalam nasi kerabu.

Semoga tulisan yang ringkas ini bermanfaat kepada semua. Sekadar berkongsi apa yang ada.

(Ini dia taklifan yang dituntut sebab datang lewat meeting)


Siap dalam masa sejam sepuluh minit kut dalam keadaan penat.

14 November 2013.

Friday, December 20, 2013


Jawatan.


"Aku mahu jadi YB, barulah nanti orang kenal siapa aku sebenarnya."

Membelek helaian-helaian pertama buku Magnet Diri tulisan saudara Amin Idris beberapa bulan lalu membawa aku kepada mitos "pengaruh itu datang dengan adanya jawatan."

Tak dinafikan dalam sesebuah organisasi akan ada beberapa 'figure' yang terkenal dalam kalangan ahli disebabkan pengurusan gerak kerja, kepetahan bercakap di hadapan khalayak ramai atau penulisan-penulisan menarik yang dihasilkan. Namun, adakah mereka lahir kerana diberikan jawatan-jawatan tinggi?

Aku rasa, tidak semestinya.

Pernah mendengar saudara Hasbie Muda mengulas tentang 'figure' Parti Keadilan Rakyat iaitu saudara Rafizi Ramli. Jawatan pengarah strategi parti yang disandangnya diwujudkan bagi menambahkan lagi pengaruhnya dalam menghadapi pihak lawan.

Maka, lebih sesuai sekiranya kita katakan bahawa "jawatan itu datang dengan adanya pengaruh."

Selaku seorang muslim yang melakukan gerak kerja dakwah dan tarbiah, kita hendaklah mempunyai prinsip bahawa jawatan itu bukan suka-suka untuk diminta, namun apabila kita diamanahkan dengan sesuatu jawatan atau pengabaian kita terhadap jawatan tersebut bakal mendatangkan mudarat yang lebih besar, haruslah kita menyahutnya dengan penuh kerelaan.

Ya, kita rasa berat, tapi ingatlah Allah takkan menguji kita di luar kemampuan.

Tahniah buat sahabat-sahabat yang memberanikan diri, menyahut seruan untuk bertanding dalam pilihan raya PERUBATAN Cawangan Mansurah. Semoga Allah permudahkan urusan kalian.

Melakar legasi PCM tanggungjawab bersama.

Sunday, December 8, 2013


Pengaruh.


"Segan dengan ... kita."

Ruangan dot dot dot itu boleh diisi dengan apa-apa sahaja jawatan yang tinggi pada pandangan kita. Sebut saja; pengarah program, ahli jawatankuasa tertinggi mahupun presiden. 

Ada beza pengaruh kerana jawatan dengan pengaruh kerana individu.

Boleh jadi yang memegang jawatan itu dihormati, disegani dan dikagumi hanya sepanjang dia diamanahkan dengan posisi tersebut. Ada pula orang yang mana tidak berada dalam posisi yang paling atas atau popular dalam organisasi, tetapi dia mampu mempengaruhi orang lain kerana peribadi yang dimilikinya. Boleh jadi dia cuma seorang jurugambar atau tukang masak sesuatu program.

Justeru, manusia perlu menilai potensi diri mereka tentang sejauh mana mereka mereka memiliki kredibiliti untuk menjadi seseorang yang mampu mempengaruhi orang lain. Dari sudut kepentingan Islam, bagaimana mereka mampu menyampaikan risalah dakwah kepada mad'u walaupun tidak diberi tugasan sebagai naqib usrah kerana semua yang mengucap dua kalimah syahadah itu pendakwah.

Kehidupan ialah proses pembelajaran yang berterusan.
(Life is a learning process)

- Today's thought before sleep.

Rasa.


"Balik-balik pengisian sama je. Berulang. Tiap-tiap tahun pun begini."

Tatkala istilah dakwah dan tarbiah itu tidak lagi membuat dirinya kagum sepertimana pertama kali mendengarnya. Bila perkara seperti usrah bukan lagi rencana yang dinanti-nanti setiap minggu. 

Baru beberapa tahun sudah begini, bagaimana agaknya 10 tahun akan datang, adakah masih teguh di jalan ini?

Moga dikurniakan kemanisan iman dalam ibadah dan amal Islami.

- Ada masa hati jadi kering sebab terlalu sibuk dengan kuliah, membaca dan mengkaji isu semasa dan bacaan-bacaan lain. Basahkan semula dengan program-program tarbiah.

- Kita selalu merungut pengisian yang diberi sama, selalu dengar, tetapi jarang kita mampu menjana output yang sama atau lebih tinggi tarafnya berbanding input.

- Bagaimana agaknya keterikatan kita dengan dakwah dan tarbiah selepas tamat sarjana muda nanti? Andaikata kita hanya terikat sewaktu kampus, maka tidak tercapailah matlamat persatuan, lebih-lebih lagi persatuan Islam, kerana ia menampakkan persatuan-persatuan sebegini poyo semata.

- Tarbiah bukan melahirkan pengikut yang menerima arahan semata-mata. Kejayaannya ialah melahirkan pemimpin yang menyambung legasi kerja-kerja sebelumnya.

Banyak tulis, kebanyakannya tuju dekat sendiri juga. Terima kasih adik-adik, senior-senior kerana menyuntik kembali 'spirit' yang kian pudar.

Friday, November 29, 2013


Buku.


"Buku-buku yang kita beli itu walaupun banyak, kita akan baca juga satu hari nanti."

"Beli buku banyak tak kisah, tetapi sila baca. Allah akan tanya esok-esok nanti tentang amanah kita terhadap buku-buku tersebut."

Dua mutiara kata yang aku kutip daripada senior-senior Mansurah tentang buku, dan aku menjadikannya sebagai tanda aras aku dalam membeli dan membaca.

Ada masanya buku yang tak pernah mula baca lagi, aku capai juga sebagai rujukan untuk pembentangan dalam usrah, perkongsian dalam program dan sebagainya. Pada masa yang sama masih banyak lagi buku yang tak sempat dibaca index pun, dan perkara itulah yang mengingatkan aku supaya bersederhana dalam berbelanja walaupun kemampuan itu ada.

Aku jarang pinjam buku orang melainkan keadaan benar-benar mendesak seperti peperiksaan atau buku itu memang susah nak dapat. Bagi aku, setiap buku yang aku beli ada memori yang tersendiri. Setiap kali meneliti muka hadapan yang tercatat nama, tarikh dan tempat aku mendapatkan buku tersebut, seolah-olah ada 'flashback'. Mungkin buku yang dibeli itu stok terakhir di kedai, buku itu dibeli ketika bermusafir ke tempat yang asing atau dihadiahkan oleh insan-insan yang istimewa dalam hidup.

Maka, dalam kesempatan ini juga aku ingin maklumkan, sesiapa yang ada pinjam buku-buku yang aku sertakan muka depannya ini, mohon pulangkan. Aku sudah lupa ia berada di tangan siapa. Dan kepada peminjam buku-buku lain (walaupun buku teks akademik sekalipun), jagalah sebaik mungkin seperti harta anda sendiri. 

- Oke, buku perubatan menanti untuk dibaca. Jangan diskriminasi.

- "You are what you read."

Sunday, November 24, 2013

::hiburan::

Mula mengenali Dr Muhaimin Sulam semasa membaca travelognya yang berjudul "Aku Melayu di Bumi Inggeris." Tak pernah tahu pun sebenarnya dia salah seorang yang memegang jawatan di pusat. :P (Disebabkan pandangannya dalam buku itu tidak 'bias' kepada mana-mana parti). Bacaan santai yang sedikit sebanyak membawa kita untuk berpandangan lebih jauh.

Setuju apabila kelompok seni diberikan tempat yang sepatutnya dalam menyebarkan dakwah Islam, diberikan kefahaman Islam dan seterusnya menggunakan bakat yang mereka ada. Tak semestinya menjadi penceramah semata.

"Di mana lagi ulama seperti Pak Hamka dalam PAS yang mampu menulis novel roman cinta seperti Tenggelamnya Kapal Van der Wijc dan Di bawah Lindungan Kaabah? Islam bukan sekadar diungkapkan dengan kalimah al Quran dan Hadis semata-mata tetapi yang lebih penting bagaimana Islam diterjemahkan dalam nilai wahyu," katanya.

"Biarkan mereka sebagai pemuzik, pelukis, penyanyi, pelakon, penulis dan sang karyawan lain-lain menghasilkan karya yang dapat membangunkan umat, menghidupkan jiwa yang mati, menyuntik semangat juang.

“Kita masih mengharapkan Bob Lokman dapat menghasilkan lirik-lirik berbisanya seperti ‘Isabela’, ‘Taman Rashidah Utama’ dengan nafas perjuangan."

Heavy metal? Tentunya tak sama dengan black metal, thrash metal serta metal-metal yang lain, aku sendiri rasa tak pandai nak ulas. Kalau dari segi untuk menarik golongan muda dengan kugiran, aku berpendapat lebih elok jika dimainkan lagu-lagu yang terkenal zaman ayah-ayah kita muda dahulu (dengan syarat lirik yang baik dan tidak bercanggah dengan syariat). Sebab tak semua orang dengar Led Zeppelin, Metalicca atau Iron Maiden (sekadar memetik nama-nama yang aku biasa dengar, tak pernah dengar pun lagu-lagunya). Asalkan dari segi tempat penonton lelaki perempuan diasingkan, tiada nyanyian perempuan dan menepati syariat Islam.

Kalau tengok ceramah UAI, beliau sendiri pun ada petik lirik lagu-lagu rock zaman dahulu juga. Benda itu bukan matlamat, tetapi sebagai sampingan sahaja.

"Kami berhibur, kami ikuti syariah"

Wallahualam.

Sabtu.


Pernah dahulu Malaysia dilanda 'fobia' terhadap mereka yang berpakaian kuning, sehinggakan orang pakai baju kuning pergi solat pun kena tangkap. Semuanya disebabkan satu acara besar yang dihadiri ribuan rakyat.

Di Mesir kala ini perkataan 'empat' (dalam bahasa Arab) adalah sesuatu yang boleh jadi membangkitkan semangat atau sensitif, bergantung pada pemikiran individu tersebut. Di kuliah selalu ada sahaja pensyarah yang pro dan anti terhadap perkara ini, mereka yang anti selalunya akan mengulas pendapat mereka dalam bahasa Arab, kononnya supaya kami tidak faham (boleh je faham sikit-sikit lawak murahan yang mereka bualkan) kepada pelajar-pelajar Arab, yang pro pula tidak bercakap banyak, sekadar menunjukkan tanda tidak setuju terhadap individu yang telah menyebabkan kematian dan kecederaan ramai penduduk Mesir.

Mungkin mereka yang anti perkataan empat ini 'allergik' untuk buat TVF, sebab kena dengar perkataan 'empat, empat' yang disebut pesakit 

Difahamkan juga sudah ada unit yang ditubuhkan pihak polis khas untuk menangkap dan merampas apa-apa sahaja yang berkaitan dengan perkataan 'empat' ini. (Pernah ada orang kongsi gambar). Mungkin kenderaan pacuan empat roda juga akan dirampas? 

- Sekadar catatan spontan, gara-gara duduk di kelas lama akibat menunggu pengajar yang masuk lewat dan dihidangkan dengan 'stand-up comedy.'

- 'Empat' yang dimaksudkan adalah yang berkaitan dengan tapak tangan hitam dengan gambar latar kuning.

- Ramai yang aktif mengulas isu gerakan islam tempatan malam ini, jadi aku tulislah pasal apa yang berlaku sekitar tempat aku bermastautin. Sekurang-kurangnya seimbang orang kata. 

Wallahualam.

Saturday, November 16, 2013

::ganjaran::


Ganjaran.



"5A dapat Mini-Cooper? Pergh!"

Teringat kenangan UPSR dahulu, yang mana aku mendapat sebuah televisyen 21 inci jenama Pensonic sebagai hadiah kerana mendapat 5A. Maka dapatlah aku yang berumur 12 tahun ketika itu melepaskan ketagihan terhadap Final Fantasy IX dan pelbagai games lain. (Sebelum UPSR kena kuarantin dari main Playstation)

Manusia itu sifatnya ingin dihargai. Setiap perkara yang dilakukan mereka mengharapkan sesuatu darinya, senang kata, ganjaran. Tak ada manusia yang sanggup bekerja masuk pejabat pukul 8 pagi dan keluar pada jam 5 petang tanpa dibayar apa-apa.

Mereka yang membuat kerja-kerja kemasyarakatan sekalipun tidak dapat lari daripada fitrah ingin dihargai. Ya, kita diajar dan sering diperingatkan agar sentiasa tajdid niat supaya ikhlas dalam menyumbang, tetapi kita harus ingat bahawa mereka yang berkorban masa, tenaga dan wang ringgit ini juga manusia seperti kita. Jauh dalam sudut hati mereka suatu penghargaan diharapkan biarpun sekadar ucapan terima kasih. Maka organisasi harus bijak dalam menjaga hati ahli.

Baik atau buruk memberi ganjaran itu, terpulang pada cara kita mengendalikannya. Aku kagum melihat seorang pelajar Mesir yang memberi ganjaran kad 'top-up' prabayar kepada mereka yang menjawab soalan semasa beliau memberikan tazkirah selepas Zohor. Sewaktu kecil dahulu pun aku dilatih untuk berpuasa dengan ganjaran RM1 untuk sehari berpuasa pada bulan Ramadan. Di sini manfaatnya memberi ganjaran sebagai motivasi untuk beramal.

Sebagai muslim, kita beriman bahawa Allah memberikan ganjaran syurga bagi mereka yang taat dan neraka bagi mereka yang ingkar. Ya, kita beramal semata-mata kerana Allah, namun tidak salah jika kita beramal kerana kita mengimpikan untuk masuk ke syurga-Nya dan kita takut terhadap azab neraka-Nya.

"Err, apa komen tentang budak yang dapat Mini-Cooper tu?"

Entah, bagi aku selagi ayah dia mendapatkan kereta itu dengan cara yang halal, tiada masalah kut. Cuma kalau aku jadi budak tu mungkin aku nak kereta lain lah kut, Lancer Evolution ke 

Saturday, April 13, 2013

::ubah::



Seluruh penduduk Thneedville bergantung sepenuhnya kepada syarikat O'Hare yang menjadi satu-satunya pembekal oksigen di bandar mereka. Tiada sebatang pokok pun ditanam di bandar tersebut. Ted sedar, pertemuannya dengan Once-ler untuk mengetahui bagaimana untuk mendapatkan pokok bukan sekadar untuk memikat hati Audrey, tetapi demi kepentingan masyarakat juga. 

Bertahun lamanya O'Hare mempengaruhi pemikiran penduduk Thneedville. "Perkara terakhir yang kamu mahukan di sini ialah pokok-pokok, sungguh kotor! Mengeluarkan cecair melekit ke merata tempat. Adanya pokok, maka semut-semut beracun dan lebah-lebah yang menyengat akan wujud. Fikirkan tentang keselamatan anak-anak kita. Dan seperti yang kita tahu, pokok-pokok mengeluarkan dedaun, kemudian dedaun ini akan jatuh di mana-mana sahaja!" Andai masyarakat tahu bahawa pokok-pokok dapat membekalkan oksigen dengan percuma, maka periuk nasi O'Hare akan terjejas.

Demi masa depan, maka seluruh penduduk Thneedville harus melakukan perubahan, bermula dengan satu-satunya benih pokok yang wujud, dan bersedia menghadapi apa jua risiko ke arah kehidupan yang lebih baik.

"Jangan bicara soal perjuangan andai takut menghadapi risiko."

Apa jua pilihan tidak pernah lepas dari kekurangan. Kita memilih untuk datang menyambung pengajian di Mesir, maka kita harus tabah melayan kerenah masyarakat yang berbeza dari tempat kita. Kita memilih seseorang menjadi pasangan hidup kita, maka kita harus sedar dia juga seorang manusia yang tidak lepas dari melakukan kesilapan maka perlu timbul rasa tanggungjawab untuk saling melengkapi.

Yang penting, jangan takut untuk membuat keputusan, walaupun pilihan kita itu dimomokkan dengan persepsi yang buruk oleh mereka yang takutkan perubahan, lebih tepat lagi mereka yang takutkan kekalahan.

"Unless someone like you cares a whole awful lot, nothing is going to get better. It's not." - Dr. Seuss

Thursday, January 31, 2013

::nota-nota III::


Hari Jumaat.

'Hari raya mingguan' buat mereka yang mempercayai dan menyakini kerasulan Nabi Muhammad SAW. 

:)


------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Saf.
Aku suka memerhati gelagat 'Rakan Masjid Firdaus' yang terdiri daripada pakcik-pakcik berumur dalam lingkungan 60-an. Ada seorang pakcik ni selalu datang awal ke masjid, selepas solat tahiyatul masjid dia akan membaca al Quran di saf pertama. Kawan pakcik ni datang lewat sikit, saf pertama pun hampir penuh, tetapi pakcik ni tetap usaha juga selit-selitkan kawan dia tu di saf paling depan.

Keadaan ini membuatkan aku teringat akan hadis Rasulullah SAW,
“Seandainya manusia mengetahui keutamaan yang ada dalam azan dan saf pertama, kemudian untuk mendapatkan itu mereka harus mengundi, nescaya mereka akan mengundi untuk mendapatkannya.” (Hadis riwayat Bukhari).

Rasulullah SAW juga bersabda,
“Ke hadapanlah kamu dan sempurnakanlah (saf) bersama denganku, akan datang selepas kamu satu kaum yang berterusan ke belakang (meninggalkan saf yang pertama) sehingga Allah akhirnya memasukkannya ke dalam neraka.” (hadis riwayat Muslim).

Sama-sama renungkan dan selamat beramal.


------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Pakai spek biru, semua nampak biru.
Pakai spek hijau, semua nampak hijau.

Pakai spek merah sebelah biru sebelah, semua nampak 3D.


------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Tunggu.
Jangan tunggu 'imam solatku' baru terhegeh-hegeh nak solat berjemaah.
Jangan tunggu Imam Mahdi tiba baru bercita-cita nak berjuang fisabilillah.
Jangan tunggu peperiksaan baru kalut nak pulun habiskan semua madah.
Jangan tunggu ribut taufan baru nak cari tikar sejadah.

Masa tidak menunggu kita.

"The man that decided to change on the 12th hours died at the 11th." - Hlovate.


------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Merungut.

Sebanyak mana pun aku merungut sukar untuk belajar pada malam ini dek kesejukan, itu tidak akan mengubah apa-apa. Peperiksaan tetap akan dijalankan esok.

Berjalan ke Masjid Firdaus ketika waktu solat. Selalunya ada dua tiga orang makcik dengan anak kecil yang duduk di sekitar kawasan ini, meminta simpati para manusia yang lalu-lalang. Di mana agaknya mereka sekarang, punya tempat berteduh atau tidak? Pakaian macam mana, cukup tebalkah?

Tak termasuk saudara-saudara di tempat lain yang lebih hebat ujiannya lagi.

Oke. Kurangkan beralasan. Jom cari jalan.


------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Iman.

Selalu sahaja apabila ada orang yang inginkan bantuan kita, atau mungkin lebih tepat saya, perkara pertama yang datang dalam fikiran saya ialah SAYA TIDAK MAHU. Pada masa yang sama, mulalah datang bayangan-bayangan buku-buku akademik yang belum diulangkaji, kerja-kerja yang sebenarnya kecil sahaja tetapi dibayangkan besar serta pelbagai lagi yang mungkin boleh dijadikan alasan.

Sama juga apabila mendengar perkara-perkara berkaitan dengan amal ibadah, dengar pasal solat sunat hifzi kena baca surah-surah panjang awal-awal lagi sudah angkat bendera putih. Tak ada rasa pun nak buat hanya sebab itu.

Berlainan pula apabila saya diajak untuk bermain permainan komputer, menonton filem dan seangkatan dengannya. Mudah sahaja untuk terima pelawaan itu, kecuali kalau ada peperiksaan esok.

Pelik kan. Benda yang baik, yang dijanjikan ganjaran oleh Allah selalu diketepikan berbanding benda yang tidak bermanfaat. Mungkin sebab fikir jangka masa pendek, keseronokan itu segera, ganjaran amalan hanya pada akhirat kelak.

Mungkin ini juga cara untuk kita muhasabah iman kita. Orang pernah berpesan kepada saya, "Tarbiyah-tarbiyah ni, nafsu kita tak suka."

Muhasabah Jumaat dan salam perjuangan.


------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Tegur.

Kadang-kadang pening kepala juga bila melayan karenah Arab Mesir, tetapi ada masanya teguran yang mereka beri kepada aku itu sedikit 'lain'.

Pernah masa tahun 1, aku masuk ke kedai dan mengambil barang untuk dibeli, semasa di kaunter tuan punya kedai menegurku, "Lain kali kalau masuk kedai, berilah salam."

Pernah juga sekali duduk menunggu iqamah, fikiran tak tentu hala. Lantas seorang pemuda mencuit bahuku dan memberikan senaskhah mushaf untukku baca. "Tu la, siapa suruh lagha sangat," aku bermonolog.

Dan banyak lagi kisah lain yang aku akan ingat sampai bila-bila.

Manusia itu pelupa, bukan? Maka hendaklah ada yang tolong peringatkan.

p.s: Nak bawak kalkulator saintifik ke kelas esok. Kelas tadi rasa macam pelajar sains matematik pula.


------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Tahu.

Sekitar Arab Mesir, sekali lagi. Kerap juga bertembung dengan anak-anak muda Mesir yang sedikit 'bermasalah'. Masakan tidak, mereka melontar batu ke arah warga Malaysia, memanggil kami dengan gelaran 'Booya-Booya' serta mengungkapkan 'four-letter words' yang mungkin mereka pelajari sewaktu bermain Grand Theft Auto di cybercafe. Apabila mereka tahu warga Malaysia ini muslim melalui ucapan salam kami terhadap mereka, mulalah senyap.

Berbeza apabila bertemu dengan orang Arab Mesir yang berpendidikan. Tuan rumah saya dahulu bekerja sebagai seorang guru. Dia juga seorang muslim yang baik. Boleh jadi kami merupakan penyewa pertama yang berwarganegara Malaysia, dia mencari maklumat tentang negara kita dan bertanyakan kepada kami pelbagai perkara mengenainya, seperti kaum-kaum yang ada, mazhab apa yang kita amalkan dan sebagainya.

Beza antara yang tahu dengan yang tidak mengetahui. Selalunya manusia akan menjadi musuh terhadap apa yang dia tidak tahu.

Kalau kita tahu, kita cakap.
Kalau tidak tahu, diam dan JUST LISTEN, LISTEN, LISTEN :P


------------------------------------------------------------------------------------------------------------

HIV/AIDS.

Aku tak tau kenapa, tetapi aku rasa kuliah Community Medicine petang tadi antara kuliah yang terbaik pernah aku dapat sepanjang berada di universiti ini. Aku masuk lewat sedikit, sang guru sudah memulakan pembelajaran. Diceritakan sejarah-sejarah penyakit ini yang tidak terdapat dalam silibus, siap masuk zaman firaun lagi.

Bangga apabila kami turut mempelajari statistik HIV/AIDS di Malaysia walaupun tiada dalam buku teks! Sekurang-kurangnya kami tahu mengenai realiti setempat kami.

Sejam setengah kemudian, kuliah sampai ke penghujungnya. Doktor meminta untuk menambah 10 minit lagi, ada slide tambahan katanya. Walaupun dah penat, tetapi kami alu-alukan permintaannya.

African Tragedy. Itu yang terpampang di skrin. Slide-slide yang menunjukkan penderitaan rakyat Afrika akibat HIV/AIDS. Yang paling menyentuh hati, kisah seorang ibu yang kematian suaminya disebabkan penyakit ini, dan dia turut menghidapi penyakit yang sama. (Yang anehnya, terngiang-ngiang lagu Teman Pengganti di telingaku waktu ini :P)

Slide terakhir. Sangat 'epic', doktor membaca ayat 32 daripada surah Al Isra' yang bermaksud, Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji. Dan suatu jalan yang buruk.

Semoga aku mampu mengamalkan apa yang telah aku belajar.


------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Lupa.

Samada benar-benar lupa atau buat-buat lupa.

..."Ya Tuhan kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami tersalah... (Al Baqarah, ayat 286)

Allah tahu.


------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Nikmat.

"Saya beri peluang tiga kali untuk anda menarik dan menghembus nafas, tapi tiada sepatah Alhamdulillah pun yang anda tuturkan."

Program LIFE tadi, sasarannya kepada pelajar tahun satu, tetapi aku sendiri pun terasa 'zouq'nya. Mungkin disebabkan beberapa hari ini nikmat yang sering dilupakan atau disalahgunakan Allah tarik sekejap, iaitu nikmat talian internet dan air.

Yang perlu diingatkan, nikmat bukan milik kita. Bila-bila masa tuan punya segala nikmat boleh tarik balik. Anggaplah ia suatu pinjaman, yang mana barang pinjaman hendaklah dijaga dan digunakan sebaik mungkin sebelum dikembalikan kepada pemilik.

Hasbiyallahu wa nikmal wakil.


------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Kekasih.

Layakkah aku menjadi kekasihmu, andai silsilah keluargamu tidak aku kenal sebaiknya.
Layakkah aku menjadi kekasihmu, andai sirahmu tidak aku cakna.
Layakkah aku menjadi kekasihmu, andai sabdamu tidak berada di minda.
Layakkah aku menjadi kekasihmu, andai sunnahmu tidak diamal anggota.

Layakkah aku untuk mengatakan aku mengasihimu ya Rasulullah?
Sedang kasihmu terhadap kami ummatmu tiada bertepi.

Allahumma solli ala Muhammad.


------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Solat Jumaat: Cerita yang mungkin kita tidak pernah dengar.

Solat Jumaat difardhukan pada zaman makki, namun baginda SAW tidak pernah menghimpunkan orang-orang Islam untuk solat Jumaat di Makkah. Ini kerana baginda bimbang serangan kaum musyrikin terhadap mereka. Pada masa yang sama, As'ad bin Zararah solat Jumaat bersama orang-orang Islam di Madinah, sebelum kedatangan Rasulullah SAW.

Imam Qurtubi menaqalkan bahawa Ibnu Sirin berkata: Penduduk Madinah berhimpun sebelum kedatangan Nabi SAW ke Madinah, dan sebelum diturunkan kewajipan solat Jumaat. Merekalah yang menamakannya Jumaat. Mereka berhimpun bersama As'ad bin Zararah, dan beliau solat bersama mereka sebanyak dua rakaat, kemudian memberi peringatan kepada mereka. As'ad menyembelih seekor kambing untuk mereka. Mereka makan malam dan siang daripadanya, kerana bilangan mereka yang sedikit. Ini adalah Jumaat yang pertama dalam Islam.

Berkata Baihaqi: Kami meriwayatkan daripada Musa bin Uqbah, daripada Ibnu Syihab az-Zuhri bahawa Mus'ab bin Umair adalah orang pertama yang menghimpunkan Jumaat di Madinah bagi orang-orang Islam sebelum kedatangan Rasulullah SAW. Berkata Baihaqi: Boleh jadi Mus'ab yang menghimpunkan mereka, dengan bantuan As'ad bin Zararah.

Rujukan: Ke Arah Memahami Fiqh Aulawiyat karangan Dr Majdi Hilali, diterjemah dan diterbitkan oleh PMRAM.


------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Pilih.
"Erti hidup dengan memilih." - Amin Idris (Bicara Selebriti 7)

"Kiri atau kanan jalan mana yang kau pilih, dalam alam misteri yang aneh." - Aneh, KRU

"80% of life is about making decisions. The rest are just bonus."

Banyak betul 'quote' tentang membuat pilihan dalam hidup. Ada yang selesa begini, ada yang selesa begitu. Ada yang suka iOS, ada yang suka Android. Ada yang suka gemuk, ada yang suka kurus.

Firman Allah dalam surah As Syams,
Sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwa itu, dan sesungguhnya merugilah orang yang mengotorinya. (9 - 10)

Antara taat dan maksiat, kau pilih yang mana?

Andai maksiat yang dipilih, ingatlah Allah tidak binasa jika kau bermaksiat kepada-Nya, sebaliknya engkau sendiri yang binasa atas sebab maksiat yang engkau sendiri lakukan!

Utamakan iman dan akal berbanding nafsu.


------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Posisi.

Aku pernah mendengar daripada seseorang, katanya zaman Rasulullah dahulu tidak semua sahabat itu ulama', tetapi setiap orang punya kemahiran dan posisi mereka sendiri dalam memperjuangkan Islam. Ada yang mahir bersyair, ada yang menjadi panglima perang, ada yang mahir dalam ilmu-ilmu tertentu. Senang kata, kalau zaman kita ni daripada sehebat-hebat orang sehinggalah orang yang tak gosok gigi sekalipun, mereka tetap ada peranan masing-masing.

Maka kerja-kerja dakwah Islamiah ini tanggungjawab bersama, bukan sekadar tugas para ustaz dan ulama'.

Masing-masing berusaha untuk menegakkan Islam melalui posisi masing-masing.

Politik, perubatan, kejuruteraan, namakan apa saja, tapi jangan katanya suku, Islam suku.


------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Masak.

Merantau di negara asing, ada masanya kempunan untuk menikmati makanan dan lauk-pauk negara sendiri. Kemudahan internet yang ada digunakan untuk mencari resepi. Mudah. Boleh sangat kalau nak masak kalau tahu caranya.

Yang cerewet sedikit, ialah penyediaan bahan-bahan untuk memasak. Samada malas pergi beli atau bahan tersebut tidak ada di pasaran. Maka usaha di sini kena lebih sikit. Duit pun kena keluar, masa pun kena korbankan (lebih-lebih kalau musim peperiksaan), tenaga pun kena guna.

Sama juga dalam memberi ucapan, menulis artikel atau penghasilan sebarang bentuk produk ilmiah. Kalau tidak ada 'bahan', maka nak 'masak' pun tak boleh. Kalau ada pun, mungkin cincai-cincai sahaja.

Hei, sedangkan dalam peperiksaan pun, kalau tak membaca nak 'goreng' jawapan pun tak boleh. :P

Bagaimana mahu menghasilkan 'output' sedangkan 'input' itu tidak ada?

Mood: Mencari input. Rabbuna yusahhil.


------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Universal.

Antara sebab yang menyebabkan saya membuat keputusan untuk menyambung pelajaran dalam bidang perubatan. Maka segala cita-cita bisnes kedai buku, arkitek dan cikgu bahasa inggeris ditolak ketepi.

Ternyata saya semakin nampak apa yang saya maksudkan dengan 'universal' dalam bidang perubatan melalui program CARE tadi. Tambah-tambah lagi bila dah masuk tahun klinikal ini.

Kesedaran sudah ada, sekarang wujudkan 'driving force'. :)


------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Matang.

Dalam suatu kisah, Imam Abu hanifah berjumpa dengan seorang budak. Budak tersebut kelihatan seakan-akan ingin tersadung, dek kerana selipar yang dipakainya.

Imam Abu Hanifah menegur; "Kau akan terjatuh kerana selipar itu." Imam memberikan peringatan.

Kemudian, budak tersebut menegur; "Bukankah engkau Imam Abu Hanifah?"

"Iya, akulah Imam Abu Hanifah."

Budak tersebut memberikan nasihat;

"Sekiranya aku tersadung, aku hanya akan tersadung di dunia, disebabkan selipar ini. Tetapi, sekiranya engkau wahai Imam Abu Hanifah, tersadung disebabkan jawatan engkau, engkau bukan sahaja tersadung di dunia, malah engkau juga akan tersadung di akhirat".

Imam Abu Hanifah menangis.

-petikan dari sebuah blog-


------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Keputusan.

Menentukan mana yang baik, mana yang buruk, itu mudah buat hamba yang beriman dan berakal.

Namun apabila pertembungan berlaku sekitar maslahah (kebaikan) mana yang perlu diutamakan , serta menentukan mafsadah (keburukan) mana yang lebih ringan untuk ditanggung, itu susah.

Berkata Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah,
"Bukan orang yang berakal itu, orang yang mengetahui perkara baik dari yang buruk, akan tetapi orang yang berakal itu adalah orang yang mengetahui yang mana terlebih baik antara dua perkara baik dan yang mana terlebih buruk antara dua perkara buruk."

Beranilah menghadapi risiko.


------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Nakama.

Ada masanya Allah temukan kita dengan orang yang kurang kemampuannya berbanding kita, agar kita sentiasa bersyukur kerana bukan kita bukanlah satu-satunya orang yang lemah dalam hidup.

Ada masanya Allah temukan kita dengan orang yang hebat berbanding kita, agar kita sentiasa sedar bahawa kita bukanlah satu-satunya orang yang hebat dalam hidup.

“Seorang muslim dengan seorang muslim yang lain itu ibarat bangunan yang saling kuat menguatkan.” (Hadith riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim)

Bila kita berseorangan barulah kita sedar hakikat ini.