Pages

Subscribe:

Labels

Showing posts with label ::mesir::. Show all posts
Showing posts with label ::mesir::. Show all posts

Saturday, May 16, 2015

[Tribut Buat Guru]

GURU.

Apakah yang terlintas di fikiran anda saat membincangkan perihal seorang guru?


(Gambar: Filem Dead Poets Society lakonan mendiang Robin Williams)

Mungkin sahaja anda sedang membayangkan watak  Mr.John Keating (Dead Poets Society) menghidupkan semangat para muridnya melalui penghayatan puisi. Bagi mereka yang meminati drama Jepun, watak Yankumi (Gokusen) yang berjaya membimbing murid-murid yang bermasalah sudah pasti tidak asing buat mereka. Malah boleh jadi anda teringatkan beberapa orang guru yang memainkan peranan besar dalam membentuk personaliti anda selaku seorang mahasiswa sains kesihatan pada hari ini.

MUALLIM ATAU MURABBI?   

Bagaimana kita hendak mengenal peribadi seorang guru, samada dia seorang muallim atau seorang murabbi?

Kedua-dua istilah ini seakan-akan sama taraf penggunaannya, tetapi hakikatnya berbeza.
Seorang muallim, tugasnya seperti kebanyakan guru atau cikgu, iaitu mengajar dan mensyarahkan silibus-silibus akademik kepada para muridnya melalui pembelajaran di dalam kelas.

Berbeza dengan seorang muallim, seorang murabbi bukan sekadar mengajar dan mensyarahkan silibus-silibus akademik, malah dia memberikan tumpuan yang penuh terhadap perkembangan muridnya dari sudut yang lain, supaya muridnya itu benar-benar menjadi seorang manusia yang berguna. Memetik kalam saudara Ameen Misran (Langit Ilahi),

“A person who nurtures, breeds, feeds, grows, guard and teach an entity until the process of nurturing, breeding, feeding, growing, guarding and teaching is complete and successful.”

Saya pernah mendengar analogi ringkas bagaimana untuk membezakan seorang muallim dengan seorang murabbi.
 Anda ingin belajar cara-cara membuat kek coklat dengan dua orang guru yang berbeza. Guru A menyuruh anda menyalin senarai bahan-bahan yang diperlukan dan menunjukkan langkah-langkah membuat kek tersebut untuk anda buat sendiri setibanya di rumah nanti. Ini adalah sifat seorang muallim.
Manakala Guru B pula menemani anda dari saat mendapatkan bahan-bahan yang diperlukan sehingga anda benar-benar selesai menyiapkan kek coklat yang enak. Segala kekurangan dan kesilapan sepanjang proses membuat kek tersebut akan dibetulkan oleh guru tersebut. Guru B adalah contoh seorang murabbi yang baik.

Justeru, semua guru ialah muallim, tetapi bukan semuanya layak digelar murabbi. Walaubagaimanapun, kita selaku murid seharusnya beradab dengan para guru yang telah banyak berkorban demi kebaikan kita.



ADAB-ADAB SEORANG MURID.
  
Semasa sekolah rendah dahulu, kita sangat menjaga adab terhadap para guru dan berusaha mengelakkan diri dari melakukan perkara-perkara yang boleh menyakiti hati mereka. Masuk sahaja sekolah menengah, saya mendapati ada kelakuan-kelakuan yang kurang beradab mula menular para pelajar seperti memberi gelaran yang tidak elok kepada guru, bersikap kurang ajar apabila ditegur kesalahan dan sengaja tidak menyiapkan tugasan yang diberi atas alasan yang tidak munasabah. Keadaan ini bertambah parah setibanya di universiti, yang mana kita semakin kurang menitikberatkan adab terhadap doktor yang mengajar dan membimbing kita.

“Ikut resmi padi, makin berisi makin tunduk, jangan ikut resmi lalang, semakin tegak tiada berisi.”

Seharusnya dengan peningkatan ilmu dan kematangan akal, kita akan menjadi seorang yang lebih mengutamakan adab dalam bergaul dengan orang lain. Suatu perkara yang perlu dimuhasabah jika berlaku sebaliknya.

Hujjatul Islam Imam al Ghazali r.a ada menyenaraikan adab-adab seorang murid dalam kitabnya yang masyhur iaitu Bidayatul Hidayah. Antaranya ialah:
1.       Apabila bertemu gurunya, hendaklah dia memberi salam kepadanya terlebih dahulu.
2.       Jangan banyak bercakap di hadapan guru.
3.       Jangan bercakap sebelum guru bertanya kepadanya.
4.       Jangan bertanya kepada guru sebelum meminta izin.
5.       Jangan mengisyaratkan kepada guru dengan menyalahi pendapatnya kerana menyangka bahawa diri lebih mengetahui daripada gurunya.
6.       Jangan berbisik dengan orang yang duduk di tepi ketika guru memberikan pelajaran.
Professor Hesham Daba, pensyarah Jabatan Farmakologi Kuliah Perubatan Universiti Mansurah pernah memberitahu penulis tentang tiga perkara penting yang perlu ada pada seorang doktor, iaitu knowledge (pengetahuan), skills (kemahiran) dan attitude (sikap). Oleh itu, marilah kita berusaha untuk menjaga adab dengan sesama manusia bagi membentuk peribadi doktor muslim yang baik.

TRIBUT BUAT GURU.

Sambutan Hari Guru pada 16 Mei setiap tahun merupakan satu tanda penghargaan terhadap guru-guru yang terlalu banyak pengorbanannya kepada umat manusia, bermula dari ibubapa selaku guru pertama dalam hidup sehinggalah para doktor dan pensyarah yang mengajar kita pada hari ini. Mereka adalah wasilah yang penting dalam  pembangunan modal insan.  Tanpa mereka, siapalah kita.

Berburu ke padang datar
Dapat rusa belang kaki
Berguru kepala ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi
Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.
Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.
Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.
Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulangi ilmu
Panggilan keramat “cikgu” kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.
  • Usman Awang, 1979

Terima kasih guru-guruku!

‘Ammar b Mohamad Ziyadi
Tahun 6 PERUBATAN Konvensional
Universiti Mansurah


Monday, May 19, 2014

::permulaan hidayah::


Sedikit nota dari kelas Bidayatul Hidayah oleh Ustaz Jamiluddin Murat (3/5/2014)




1. Hidayah boleh dibahagikan kepada dua:
a) Petunjuk: Boleh diberi oleh manusia yang tahu. Perumpamaannya seperti orang yang sesat meminta tunjuk arah daripada orang yang ditemuinya, lalu orang itu menerangkan jalan-jalan yang perlu dilalui. (Belum tentu akan sampai sekiranya orang yang sesat itu gagal memahami arahan yang diberi)

b) Maunah: Hanya mampu diberi oleh Allah SWT. Perumpamaannya seperti orang yang sesat meminta tunjuk arah daripada orang yang ditemuinya, lalu orang itu membawa orang yang sesat itu ke destinasi yang diinginkan. (Sah akan sampai ke tempat tersebut)

2. Sifat orang yang mendapat bimbingan (hidayah) mengikut pendapat Sheikh Mutawalli as Sya'rawi:
a)Firman Allah: Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang zalim. (As-Saff, 7). Bermakna Allah memberi petunjuk kepada mereka yang adil.

b)Firman Allah: dan Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang fasik. (As-Saff, 5). Bermakna Allah memberi petunjuk kepada mereka yang taat.

3. Antara petanda seseorang itu menjadi hamba kepada nafsu ialah dia melewat-lewatkan urusan dengan Allah kerana mendahulukan nafsunya.

4. "Siapa yang menolong orang lain melakukan sesuatu maksiat walaupun hanya dengan setengah kalimat maka orang itu dikira berkongsi di dalam melakukan maksiat tersebut" - Mukadimmah kitab

5. Kelebihan ikhlas: Dan jikalau niatmu di dalam mencari ilmu itu untuk mencari keredhaan Allah dan mencari hidayah, bukan semata-mata untuk pandai bercakap maka hendaklah engkau bergembira, kerana para malaikat telah mengembangkan sayapnya apabila engkau berjalan dan ikan yang ada di dalam laut semuanya meminta ampun bagimu apabila engkau berjalan.

6. Tetapi jikalau engkau mendapati hatimu tidak memberi perhatian kepadanya dan nafsumu suka berlambat-lambat dalam melaksanakan perintahnya maka ketahuilah bahawa kecenderunganmu dalam menuntut ilmu sebenarnya hanya tunduk kepada perintah syaitan yang terkutuk yang mahu menipu engkau dengan bermacam-macam tipu helahnya. Sehingga engkau akan terjerumus ke dalam jurang kecelakaan.



------------------------------------------------------------------------------------------------------------


Nota ringkas kelas Bidayatul Hidayah 17 Mei 2014.


1. Manusia dalam menuntut ilmu terbahagi kepada tiga keadaan;
a) Pertama:
-Orang yang mencari ilmu untuk menjadikannya sebagai bekalan ke negeri akhirat maka dia tidak berniat dengan mencari ilmu kecuali hanya mendapat keredhaan Allah dan negeri akhirat. Maka orang ini termasuk dalam golongan orang yang beruntung.

b) Kedua:
- Orang yang mencari ilmu untuk mendapatkan keuntungan segera (dunia) dan mendapatkan kemuliaan, pangkat dan harta benda, sedangkan dia sendiri menyedari hal ini dan merasakan di dalam hatinya akan kejahatan keadaan yang sedang dialaminya dan kehinaan maksudnya. Maka orang ini berada dalam golongan yang berbahaya.

- Jikalau dia sempat mati sebelum sempat bertaubat, maka dibimbangi ia akan mati dalam keadaan su-ul khatimah kemudian urusannya terserahlah kepada kehendak Allah. Keadaan sebaliknya sekiranya dia sempat bertaubat.

c) Ketiga:
- Orang yang telah dikuasai oleh syaitan maka ia menjadikan ilmu yang dituntutnya itu sebagai alat untuk menghimpunkan harta benda dan bermegah-megah dengan kedudukan dan merasa bangga dengan ramai pengikutnya.

- Menggunakan ilmu untuk kepentingan dunia.

- Dia masih terpedaya lagi dengan sangkaannya bahawa dia mempunyai kedudukan yang tinggi di sisi Allah kerana dia masih lagi pada zahirnya menyerupai para ulama.

- Orang yang seperti ini termasuk dalam golongan orang yang binasa, jahil dan tertipu dengan helah syaitan dan sangat tipis harapan untuk ia bertaubat kepada Allah kerana dia telah menyangka bahawa dirinya termasuk di dalam golongan orang yang baik, padahal ia telah lupa.

- Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud; "Selain daripada Dajjal ada satu perkara yang sangat aku bimbangkan lebih daripada Dajjal. Lalu ada orang yang bertanya: Apakah itu wahai Rasulullah? Nabi SAW menjawab: Mereka ialah Ulama Su' yakni ulama yang jahat."

2. Tujuan menuntut ilmu hanyalah untuk meraih mardhatillah.

3. Pentingnya bersungguh dalam menuntut ilmu. Kata Imam Hasan al-Basri, "Kamu bersungguh dalam perkara yang Allah jamin untuk kamu, dan kamu abaikan perkara yang Allah tuntut untuk kamu buat. Itulah tanda hatimu telah terpadam."

4. Amalan manusia terbahagi kepada tiga;

a) Taat; contohnya seperti solat, puasa dan amalan baik.
b) Fadhi (kosong); contohnya berbual perkara-perkara yang tidak berfaedah. Boleh membawa kepada maksiat.
c) Maksiat; perkara-perkara yang Allah larang.

5. Orang yang membuat kesalahan dan rasa bersalah, itu anugerah Allah. Orang yang membuat kesalahan dan tidak rasa bersalah, itu masalah.

6. Wahyu disampaikan melalui tiga cara;
a) Al Quran
b) Hadis qudsi
c) Hadis nabawi

- Manusia tidak mungkin bercakap dengan tiga uslub seperti baginda nabi.

7. Kaedah khusyuk dalam solat:
a) Hadir hati
b) Faham
c) Takzim (membesarkan Allah)
d) Bimbang dengan azab Allah
e) Ar raja' (mengharap Allah terima)
f) Al haya' (malu dengan Allah)

Wallahualam.

Thursday, January 16, 2014



Jantung.


Sudah melewati minggu terakhir di jabatan kardiologi. Jadual kelas yang nampak padat, tetapi hakikatnya ada kelas yang 'sekadar memenuhi jadual.' Menguji kesabaran mereka yang berjalan ke hospital pada awal pagi tetapi sesi pembelajaran tidak wujud. Juga terdapat sesi tayangan video tanpa suara mengenai ECG, dan kami diarah untuk buat sendiri skripnya.

Mahu tidak mahu berada di jabatan ini tidak boleh mengharapkan suapan ilmu daripada doktor semata. Buku dan nota perlu dihadam sebaiknya, media internet khususnya Youtube perlu dirujuk untuk mendapatkan penerangan cara melakukan pemeriksaan dan mendengar bunyi-bunyi jantung.

Aku sebenarnya tidak cemerlang dalam bab kardiovaskular. Tatkala membincangkan perihal penyakit injap (valvular diseases), aku perlu mengambil masa untuk membayangkan pengaliran darah dalam jantung sekiranya berlaku 'stenosis' atau 'regurge'. Malah aku selalu keliru di mana kedudukan 'great vessels'. Lambat buat keputusan, habis sang pesakit nanti.

Minat boleh dibina. Masih ada masa untuk memikirkan pengkhususan, yang penting benda-benda wajib kena kuasai.

- InsyaAllah akan menghadapi peperiksaan minggu ini, sebelum bermusafir ke tanah air.

- Motivasi itu perlu.

Muzik.


Dua hari ini jalanan cukup bingit dengan alunan muzik TEA (lagu yang memuji kehebatan askar) dari corong-corong speaker kenderaan. Terdapat juga video-video yang mempamerkan makcik-makcik yang lengkap menutup aurat tetapi bergelek macam tak ingat dunia diiringi lagu tersebut. Gembira baru lepas mengundi agaknya.

Jika kamu tidak malu, buatlah apa yang kamu mahu. Pesan junjungan besar kitasalallahu alaihi wassalam.

Alunan muzik itu, seolah-olah telah meracuni pemikiran sebahagian daripada mereka. Macam tengok cerita kartun pula. Namun tidak dinafikan, input-input yang kita terima melalui pendengaran dan pemandangan kita itulah yang akan diterjemahkan menjadi output atau perbuatan kita.

Coretan senja.

Islamik.


"Kejap, kau, sini kejap."

Ah. Ada apa pulak ni.

"Kau tengok ni," katanya sambil menunjuk ke arah jalan yang sesak teruk. 

"Aku nak kau bagitahu semua kawan-kawan kau, yang kami tak dipaksa pun untuk semua ini. Ini suara hati kami. Aku tahu kamu orang Malaysia suka Dr.M, aku pernah baca komen-komen dekat internet, sebab kamu semua lebih islamik daripada kami, tapi kamu kena tahu yang orang Mesir bukannya islamik macam kamu. Ya, kamu cakap bagilah Dr.M peluang, tapi dia telah buat banyak kesalahan yang besar. Apa-apapun, kami mengalu-alukan kedatangan kamu ke Mesir," bersungguh pemuda tidak dikenali itu menerangkan.

Tiada apa yang bermain di minda, kecuali satu: Fasih betul bahasa Inggeris dia.

Hari ini dan esok merupakan hari pengundian untuk perlembagaan baru. Samada setuju atau tidak. Maka berhati-hatilah dalam tempoh ini.

Doakan keamanan Mesir dan ahlinya.

- Oke saya sudah menyampaikan mesej kamu, wahai pemuda tidak dikenali.

- Hari ini sudah berapa kali dengar lagu puji askar.

- Haritu pernah seorang tukang letrik datang rumah. Borak-borak, ajak dia datang Malaysia. Dia kata tak mahu, sebab dia bukan syarqiyyah (penyokong Dr.M)

- Elakkan berbual pasal politik depa. Depa bukan nak dengar kalau hangpa ada hujah kukuh pun.

- Dr.M di atas bukan Dr.M di Malaysia ya.

Thursday, January 9, 2014

Tulis.


Dunia semakin canggih. Laman-laman sosial semakin bertambah bilangannya bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Tidak cukup dengan Facebook, ada yang memilih untuk membuka akaun Blogger, Twitter, Instagram dan bermacam-macam lagi sebagai medium untuk berinteraksi dengan kawan-kawan yang jauh mahupun yang dekat.


Perkembangan tersebut secara tidak langsung menjadikan penulisan salah satu medium yang popular dalam segenap lapisan masyarakat, tidak kira dalam kalangan mereka yang berpendidikan tinggi mahupun remaja belasan tahun. Tulisan-tulisan mereka bukan sekadar hanya menjadi cakap kosong di laman sosial, malah ada tulisan-tulisan yang dikumpulkan menjadi sebuah buku yang bermanfaat.

Sebagai seorang pengguna aktif laman sosial khususnya Facebook dan Blogger, saya sendiri tidak ketinggalan untuk sentiasa menghasilkan tulisan-tulisan bagi memastikan idea-idea yang berlegar di minda tidak dibazirkan begitu sahaja. Seorang penulis yang saya kagumi pernah berkata, seorang penulis perlu sentiasa berimaginasi kerana dari imaginasi tersebut lahirnya idea yang perlu diolahkan dan pemikiran akan terus berkembang dari semasa ke semasa. Selaku seorang muslim saya juga percaya bahawa penulisan yang bermanfaat akan memberikan ganjaran kepada sang penulis walaupun penulisnya sudah meninggal dunia.

PENGGUNAAN BAHASA YANG TEPAT


Terdapat beberapa perkara yang ingin saya kongsikan berkenaan cara-cara untuk menjadi penulis yang aktif di laman sosial. Perkara pertama yang perlu anda cakna ialah dari segi penggunaan bahasa yang tepat. Meskipun kita bukanlah pelajar sastera, tetapi menjaga tatabahasa dalam penulisan dan menulis dengan bahasa penuh adalah sangat penting dalam menghasilkan tulisan yang baik. Perkara ini umpama menjaga adab ketika berkomunikasi dengan orang lain. Sayang sekali sekiranya anda mempunyai idea yang bagus untuk disampaikan tetapi penggunaan bahasa yang kurang tepat mencacatkan tulisan anda.

BAGAIMANA MAHU MULA MENULIS?


Di laman sosial anda bebas untuk mencoretkan apa sahaja selagi mana ia tidak bercanggah dengan undang-undang dan melampaui batasan agama. Tepuk dada, tanya iman. Bagi menghasilkan sesuatu karya yang baik, maka idea-idea yang baik amatlah diperlukan. Membaca adalah salah satu cara yang penting dalam mendapatkan idea. Bagi saya, seorang penulis yang baik harus mempunyai sudut pandangan yang pelbagai dalam sesuatu perkara. Katakan anda mahu menulis dengan aktif, sekurang-kurangnya satu ‘status’ yang anda mahu kemaskini dalam laman Facebook anda setiap hari. Antara cara yang mudah bagi mencapai matlamat tersebut adalah dengan menulis tentang perkara yang paling bermakna anda saksikan pada hari tersebut, dan selepas itu berikan pandangan yang pelbagai mengenainya. Sebagai contoh, perkara yang paling bermakna anda saksikan pada hari ini ialah seorang pakcik tua yang tempang cuba melintas jalan untuk menuju ke masjid. Huraikan dan berikan pandangan dari sudut agama dan sosial mengenainya. Pada awalnya anda mungkin terasa segan untuk menulis tentang kehidupan anda sendiri, tetapi percayalah selagi mana apa yang kita tulis tidak mengaibkan diri kita sendiri dan mampu memberi manfaat kepada orang lain, tiada apa yang perlu dirisaukan.

LIKES SEBAGAI CULAAN


Mendapat ‘likes’ yang banyak dengan tulisan kita bukan objektif utama kita menulis. Tajdidkan niat selalu agar setiap tulisan kita hanya kerana Allah. Fungsi ‘likes’ yang boleh kita manfaatkan ialah sebagai culaan terhadap para pembaca. Kita mempunyai teman yang ramai di Facebook dan masing-masing mempunyai pemikiran yang berbeza. Dalam menyampaikan dakwah, kita perlu memahami bagaimana pemikiran target dakwah kita supaya kita mampu menghasilkan tulisan yang mampu menyentuh hati mereka dan selesa dibaca. Orang tak makan budu, kita beri makan nasi kerabu. Hakikatnya budu itu tetap ada dalam nasi kerabu.

Semoga tulisan yang ringkas ini bermanfaat kepada semua. Sekadar berkongsi apa yang ada.

(Ini dia taklifan yang dituntut sebab datang lewat meeting)


Siap dalam masa sejam sepuluh minit kut dalam keadaan penat.

14 November 2013.

Friday, December 20, 2013


Jawatan.


"Aku mahu jadi YB, barulah nanti orang kenal siapa aku sebenarnya."

Membelek helaian-helaian pertama buku Magnet Diri tulisan saudara Amin Idris beberapa bulan lalu membawa aku kepada mitos "pengaruh itu datang dengan adanya jawatan."

Tak dinafikan dalam sesebuah organisasi akan ada beberapa 'figure' yang terkenal dalam kalangan ahli disebabkan pengurusan gerak kerja, kepetahan bercakap di hadapan khalayak ramai atau penulisan-penulisan menarik yang dihasilkan. Namun, adakah mereka lahir kerana diberikan jawatan-jawatan tinggi?

Aku rasa, tidak semestinya.

Pernah mendengar saudara Hasbie Muda mengulas tentang 'figure' Parti Keadilan Rakyat iaitu saudara Rafizi Ramli. Jawatan pengarah strategi parti yang disandangnya diwujudkan bagi menambahkan lagi pengaruhnya dalam menghadapi pihak lawan.

Maka, lebih sesuai sekiranya kita katakan bahawa "jawatan itu datang dengan adanya pengaruh."

Selaku seorang muslim yang melakukan gerak kerja dakwah dan tarbiah, kita hendaklah mempunyai prinsip bahawa jawatan itu bukan suka-suka untuk diminta, namun apabila kita diamanahkan dengan sesuatu jawatan atau pengabaian kita terhadap jawatan tersebut bakal mendatangkan mudarat yang lebih besar, haruslah kita menyahutnya dengan penuh kerelaan.

Ya, kita rasa berat, tapi ingatlah Allah takkan menguji kita di luar kemampuan.

Tahniah buat sahabat-sahabat yang memberanikan diri, menyahut seruan untuk bertanding dalam pilihan raya PERUBATAN Cawangan Mansurah. Semoga Allah permudahkan urusan kalian.

Melakar legasi PCM tanggungjawab bersama.

Sunday, December 8, 2013


Pengaruh.


"Segan dengan ... kita."

Ruangan dot dot dot itu boleh diisi dengan apa-apa sahaja jawatan yang tinggi pada pandangan kita. Sebut saja; pengarah program, ahli jawatankuasa tertinggi mahupun presiden. 

Ada beza pengaruh kerana jawatan dengan pengaruh kerana individu.

Boleh jadi yang memegang jawatan itu dihormati, disegani dan dikagumi hanya sepanjang dia diamanahkan dengan posisi tersebut. Ada pula orang yang mana tidak berada dalam posisi yang paling atas atau popular dalam organisasi, tetapi dia mampu mempengaruhi orang lain kerana peribadi yang dimilikinya. Boleh jadi dia cuma seorang jurugambar atau tukang masak sesuatu program.

Justeru, manusia perlu menilai potensi diri mereka tentang sejauh mana mereka mereka memiliki kredibiliti untuk menjadi seseorang yang mampu mempengaruhi orang lain. Dari sudut kepentingan Islam, bagaimana mereka mampu menyampaikan risalah dakwah kepada mad'u walaupun tidak diberi tugasan sebagai naqib usrah kerana semua yang mengucap dua kalimah syahadah itu pendakwah.

Kehidupan ialah proses pembelajaran yang berterusan.
(Life is a learning process)

- Today's thought before sleep.

Friday, November 29, 2013


Buku.


"Buku-buku yang kita beli itu walaupun banyak, kita akan baca juga satu hari nanti."

"Beli buku banyak tak kisah, tetapi sila baca. Allah akan tanya esok-esok nanti tentang amanah kita terhadap buku-buku tersebut."

Dua mutiara kata yang aku kutip daripada senior-senior Mansurah tentang buku, dan aku menjadikannya sebagai tanda aras aku dalam membeli dan membaca.

Ada masanya buku yang tak pernah mula baca lagi, aku capai juga sebagai rujukan untuk pembentangan dalam usrah, perkongsian dalam program dan sebagainya. Pada masa yang sama masih banyak lagi buku yang tak sempat dibaca index pun, dan perkara itulah yang mengingatkan aku supaya bersederhana dalam berbelanja walaupun kemampuan itu ada.

Aku jarang pinjam buku orang melainkan keadaan benar-benar mendesak seperti peperiksaan atau buku itu memang susah nak dapat. Bagi aku, setiap buku yang aku beli ada memori yang tersendiri. Setiap kali meneliti muka hadapan yang tercatat nama, tarikh dan tempat aku mendapatkan buku tersebut, seolah-olah ada 'flashback'. Mungkin buku yang dibeli itu stok terakhir di kedai, buku itu dibeli ketika bermusafir ke tempat yang asing atau dihadiahkan oleh insan-insan yang istimewa dalam hidup.

Maka, dalam kesempatan ini juga aku ingin maklumkan, sesiapa yang ada pinjam buku-buku yang aku sertakan muka depannya ini, mohon pulangkan. Aku sudah lupa ia berada di tangan siapa. Dan kepada peminjam buku-buku lain (walaupun buku teks akademik sekalipun), jagalah sebaik mungkin seperti harta anda sendiri. 

- Oke, buku perubatan menanti untuk dibaca. Jangan diskriminasi.

- "You are what you read."

Sunday, November 24, 2013


Sabtu.


Pernah dahulu Malaysia dilanda 'fobia' terhadap mereka yang berpakaian kuning, sehinggakan orang pakai baju kuning pergi solat pun kena tangkap. Semuanya disebabkan satu acara besar yang dihadiri ribuan rakyat.

Di Mesir kala ini perkataan 'empat' (dalam bahasa Arab) adalah sesuatu yang boleh jadi membangkitkan semangat atau sensitif, bergantung pada pemikiran individu tersebut. Di kuliah selalu ada sahaja pensyarah yang pro dan anti terhadap perkara ini, mereka yang anti selalunya akan mengulas pendapat mereka dalam bahasa Arab, kononnya supaya kami tidak faham (boleh je faham sikit-sikit lawak murahan yang mereka bualkan) kepada pelajar-pelajar Arab, yang pro pula tidak bercakap banyak, sekadar menunjukkan tanda tidak setuju terhadap individu yang telah menyebabkan kematian dan kecederaan ramai penduduk Mesir.

Mungkin mereka yang anti perkataan empat ini 'allergik' untuk buat TVF, sebab kena dengar perkataan 'empat, empat' yang disebut pesakit 

Difahamkan juga sudah ada unit yang ditubuhkan pihak polis khas untuk menangkap dan merampas apa-apa sahaja yang berkaitan dengan perkataan 'empat' ini. (Pernah ada orang kongsi gambar). Mungkin kenderaan pacuan empat roda juga akan dirampas? 

- Sekadar catatan spontan, gara-gara duduk di kelas lama akibat menunggu pengajar yang masuk lewat dan dihidangkan dengan 'stand-up comedy.'

- 'Empat' yang dimaksudkan adalah yang berkaitan dengan tapak tangan hitam dengan gambar latar kuning.

- Ramai yang aktif mengulas isu gerakan islam tempatan malam ini, jadi aku tulislah pasal apa yang berlaku sekitar tempat aku bermastautin. Sekurang-kurangnya seimbang orang kata. 

Wallahualam.

Thursday, July 4, 2013

::jatuh::

Isyak.

Rakaat keempat tadi, sebelum membacakan doa qunut nazilah, kedengaran dentuman yang sangat kuat beberapa kali. Dalam hati aku tertanya-tanya, shotgun atau meriam buluh?

Selesai solat, bergegas pulang ke rumah, melewati kedai-kedai yang memasang televisyen. Hati kurang enak sebab nampak mercun dinyalakan di Tahrir.

Dan sekarang, mereka sedang meraikan pengunduran presiden mereka yang mereka undi sendiri, dengan cara yang semestinya tidak mencerminkan peribadi muslim.

Tahniahlah. Sila buat pemilihan presiden setiap tahun ye. Kalau boleh jadikan muzaharat sebagai aktiviti riadah. Kami memang suka tengok korang punya drama.

-Sungguh, aku tidak mampu membayangkan kalau undang-undang darurat dihidupkan kembali seperti mana tahun satu dahulu. Buat program persatuan pun ada polis pantau, nama Hassan al Banna pun jadi Pak Hassan. SB jaga seorang demi seorang. Nauzubillah.-



Tuesday, November 20, 2012

::tahun empat, dah terlewat?::



Kebanyakan ilham yang muncul di benak fikiran diterbitkan di Facebook selepas entri saya yang terakhir kerana kekurangan masa untuk mengemaskini blog. Sebolehnya saya mahu apa yang saya tulis dalam blog berbentuk artikel, bukan dua tiga perenggan sahaja. Sedihnya, sampai sekarang saya masih tidak mampu berdisiplin dalam mengemaskini blog dan juga pelbagai jenis rutin harian lain.

"Untuk membentuk tabiat, sesuatu amalan itu hendaklah dilakukan secara istiqamah sekurang-kurangnya 40 hari, dan untuk membentuk sikap, ia memakan masa sekurang-kurangnya satu tahun."

Kalam yang pernah saya dengar sewaktu menonton Tanyalah Ustaz cuti musim panas lepas. Cemburu dengan sahabat-sahabat lain yang sentiasa istiqamah dalam menjadikan penulisan sebagai satu wadah dalam menyampaikan dakwah Islamiyah dan pelbagai maklumat bermanfaat lain, sedang diri ini hanya membisu sambil membiarkan ilham-ilham yang datang hilang begitu sahaja.

PROFESIONAL DAI'E.

Menyentuh sedikit mengenai isu peribadi. Alhamdulillah, sedar tak sedar saya sudah masuk ke tahun empat pengajian perubatan, bermakna bermulalah pembelajaran secara klinikal di hospital universiti. Saat ini saya sudah selesai round yang pertama di Ophthalmology Center Mansoura University Hospital. Untuk makluman, subjek Ophthalmology secara umumnya berkaitan dengan organ mata dari segi anatomi, fisiologi, patologi dan kaedah pengubatannya.

Adakalanya, bila dah 'tua' sikit ni, saya terkenangkan masa lalu. Saat mula-mula menjejakkan kaki di bumi Mesir. Dengan azam yang penuh membara untuk menuntut ilmu perubatan, dalam masa yang sama mencari seberapa banyak permata yang tersembunyi di bumi barakah ini. Satu matlamat, iaitu Profesional Dai'e.

Bukan saya seorang, malah ramai lagi yang mempunyai niat sedemikian. Namun...

Azam sahaja tidak mencukupi, usaha ke arahnya disertai dengan disiplin yang kukuh sangat penting dalam memastikan matlamat itu tercapai. Pelbagai halangan dan cabaran yang menanti di hadapan, seolah-olah ilmu itu 'memilih' tuannya yang benar-benar layak menghadamnya untuk diamalkan dan disampaikan.

Ukuran "Profesional Dai'e" itu bukan semata-mata lulusan Mesir, Jordan atau negara-negara umat Islam yang lain. Label tidak mencerminkan peribadi. Boleh jadi dia belajar di negara umat Islam sekian-sekian, tetapi apa yang dibuat di sana hanyalah bersenang-lenang, menonton filem dan drama bersiri secara berlebihan, tidur dan sebagainya. Bila dah bekerja nanti, dia tidak tahu etika perubatan mengikut syariat Islam dan menyebabkan orang lain keliru kerana lulusan negara umat Islam ini biasanya dijadikan contoh.

Pada masa yang sama, akademik tidak boleh diabaikan. Adalah menjadi satu fitnah bagi seorang yang mengikut tarbiyah, melakukan kerja-kerja dakwah tetapi dia culas dalam hal-hal akademik, seperti tidak hadir ke kuliah, tidak bersungguh-sungguh dalam pembelajaran dan sebagainya. Benar, Allah akan membantu orang yang membantu agamanya (Surah Muhammad, ayat 7), namun bukanlah bermaksud kita tidak perlu berusaha dan hanya menanti nusrah Allah tiba. Orang yang betul-betul memahami dan menghayati dakwah, dia akan tahu bahawa kejayaan dalam akademik itu antara strategi dakwah yang penting dalam menarik hati mad'u.

Maka, secara ringkasnya seseorang Profesional Dai'e ini adalah seorang yang hebat dari sudut tarbiyahnya, dan juga hebat dari sudut akademiknya.

Bagaimana untuk memastikan keseimbangan antara kedua-duanya? Seorang senior pernah berpesan, masa seorang mahasiswa/wi ini terbahagi kepada tiga, iaitu masa belajar, masa berhibur dan masa berpersatuan/ tarbiyah. Maka apa yang patut kita kurangkan ialah masa berhibur, bukannya dua masa yang lain itu.

Semoga saya masih belum terlewat.

PALESTINA TERCINTA.



Seperti yang kita semua maklum, semasa umat Islam menyambut kedatangan tahun baru 1434H, saudara-saudara kita di Gaza diserang oleh Zionis laknatullah yang menyebabkan syahidnya Ketua Briged Izzuddin al Qassam HAMAS, Ahmad Jabari. Kejadian ini mengingatkan kita pada dua tokoh HAMAS terdahulu yang syahid iaitu Dr Abd Aziz Rantisi dan Syeikh Ahmad Yassin. Saat ini isu Palestin yang sering bermusim hangat diperkatakan di media-media sosial dan blog. Biarlah bermusim daripada tidak ada langsung, kata seorang senior. Kita yang tidak berada di samping saudara-saudara kita di sana sewajarnya melakukan apa yang termampu demi menolong mereka.


Dari Abu Hamzah, Anas bin Malik r.a, pembantu Rasulullah S.A.W dari Rasulullah S.A.W,beliau bersabda: Tidak beriman salah seorang diantara kamu hingga dia mencintaisaudaranya sebagaimana dia mencintai dirinya sendiri.(Riwayat Bukhori dan Muslim)

p.s: Sebenarnya banyak lagi yang mahu dicoretkan, tetapi masa tidak mencukupi. Ada imtihan Khamis ini. Doakan.

Wednesday, August 15, 2012

::fasobrun jameel::



"Qatar Airways?" perkataan ini keluar dari bibirnya. Dari tadi aku perasan yang dia sedang memerhatikan aku yang mengalami kekeliruan, mencari di mana kaunter check-in.

"Aiwah," aku menjawab.

Dia tersenyum. Lantas dia meminta aku untuk mengikutinya dari belakang. Wanita yang berpakaian seragam perkhidmatan kebersihan lapangan terbang itu mungkin berusia dalam lingkungan 30-an, kecil sahaja orangnya. Rupanya kaunter check-in tidaklah begitu jauh dari tempat aku bermundar-mandir tadi. Ucapan "syukran" aku tuturkan kepadanya, dan dia pun berlalu pergi. Syukur, kaunter mula dibuka sebaik sahaja aku sampai di situ. Aku memasuki salah satu barisan yang ada. 

Kelihatan beberapa orang berkulit sedikit gelap di hadapanku. Bangla, mungkin. Sangkaanku tepat apabila mendengar perbualan mereka dengan petugas syarikat penerbangan yang berada di kaunter tersebut. Pasport-pasport yang mereka pegang mengesahkan lagi kenyataan itu. Merantau mencari rezeki di bumi kinanah ini demi survival keluarga. 

Giliran untuk aku check-in sudah hampir tiba. Tiba-tiba muncul seorang lelaki kurus, memegang sekeping kertas dan pasport mendekati manusia-manusia di hadapanku. Aku mengagak dia juga dari kalangan mereka, tetapi tidak sepatutnya dia berkelakuan sedemikian. Beraturlah dalam barisan yang ada dan tunggulah giliran. Boleh sahaja aku menegur perbuatannya itu, namun aku akhirnya beralah. Aku cuba menahan kemarahanku dalam bulan yang mulia ini. Tambahan, aku bimbang sekiranya mafsadah yang timbul lebih besar dari maslahah. Biarlah, boleh jadi ini tarbiah daripada Allah buat musafir sepertiku.

Beberapa minit kemudian urusan check-in aku selesai. Alhamdulillah tiada masalah dari segi tiket dan berat bagasi. Aku menuju ke tempat duduk yang tersedia berdekatan kaunter check-in untuk mengisi borang imigresen. 

"Err, can you help me please?"  

Aku memerhatikan mukanya. Oh, lelaki ini warga Bangladesh tadi! Dia meminta aku untuk mengisi borang imigresennya. Entah mengapa aku menerima permintaannya lalu mengambil borang serta pasport yang berada di tangannya. Muka depan pasportnya aku tatapi. "Labour" tertulis pada bahagian pekerjaan. Mungkin dia buta huruf, sebab itu dia mengalami masalah untuk mengisi borangnya. Sekejap sahaja aku isi borangnya lalu memulangkannya kembali. Tanpa aku sangka rakan-rakannya di belakang juga sedang menunggu untuk aku bereskan borang masing-masing, termasuklah yang memotong barisan tadi! 

Aku jadi teringat kepada pesanan Imam Hassan Al Banna,

"Jadilah seperti pokok yang berbuah. Dibaling batu tapi dibalas dengan buah yang enak"

Teringat juga sirah nabawiyah, ketika mana datang seorang badwi yang memasuki masjid nabi lalu kencing. Sahabat-sahabat marah dengan perbuatan tersebut dan ingin memarahinya, tetapi Rasulullah SAW menegah mereka berbuat demikian lalu membiarkan badwi tersebut kencing sehingga habis. Selepas itu barulah baginda menegurnya.


عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ رضي الله عنه قَالَ جَاءَ أَعْرَابِيٌّ فَبَالَ فِي طَائِفَةِ اَلْمَسْجِدِ, فَزَجَرَهُ اَلنَّاسُ فَنَهَاهُمْ اَلنَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم فَلَمَّا قَضَى بَوْلَهُ أَمَرَ اَلنَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم بِذَنُوبٍ مِنْ مَاءٍ; فَأُهْرِيقَ عَلَيْهِ. مُتَّفَقٌ عَلَيْهِ.
Daripada Anas bin Malik, katanya: seorang Arab badwi telah datang lalu dia kencing di satu penjuru masjid. Orang ramai menyergahnya lalu Rasulullah s.a.w melarang mereka berbuat demikian. Apabila dia selesai kencing, baginda menyuruh supaya dituangkan satu timba air di atas tempat itu. (Muttafaq ‘alayh) 


Dalam lafaz yang diriwayatkan oleh Muslim ada tambahanدَعُوهُ وَلَا تُزْرِمُوهُ قَالَ فَلَمَّا فَرَغَ دَعَا بِدَلْوٍ مِنْ مَاءٍ فَصَبَّهُ عَلَيْهِJanganlah menyekat kencingnya.
Dalam riwayat lain pula ada dinyatakan

إِنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ دَعَاهُ فَقَالَ لَهُ إِنَّ هَذِهِ الْمَسَاجِدَ لَا تَصْلُحُ لِشَيْءٍ مِنْ هَذَا الْبَوْلِ وَلَا الْقَذَرِ إِنَّمَا هِيَ لِذِكْرِ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ وَالصَّلَاةِ وَقِرَاءَةِ الْقُرْآنِ
Rasulullah s.a.w. memanggilnya seraya bersabda: Sesungguhnya masjid-masjid tidak boleh sama sekali kencing dalamnya dan tidak boleh juga ada kekotoran padanya. Sebenarnya ia adalah untuk mengingati Allah s.w.t., bersembahyang dan membaca al-Qur`an. (Muslim)

Biarpun kesalahan memotong barisan itu tidaklah sebesar kencing dalam masjid, namun aku melupakannya. Mungkin sahaja dia tidak tahu.

Aku mengisi borang-borang mereka lantas berlalu pergi, menuju ke kaunter imigresen. Sekali lagi benda yang sama berlaku. Seorang wanita tua kelihatan mundar-mandir di kawasan imigresen lantas berhenti di kaunter hadapanku. Pegawai imigresen yang bertugas kelihatan serba salah denganku kerana terpaksa melayan wanita tersebut terlebih dahulu. Kesabaran sekali lagi teruji.

"Sesungguhnya aku berpuasa!" ayat tersebut menerobosi mindaku.

Alhamdulillah, segala urusan berjaya diselesaikan sebelum penerbangan ke tanah air tercinta. Aku fikir, ujian-ujian yang menjengah tadi hanyalah kecil jika dibandingkan dengan orang-orang terdahulu. Mungkin sahaja hari ini Allah ingin mengajar aku sesuatu.

Sesuatu yang dinamakan "Fasobrun Jameel"! (Kesabaran yang baik)

Ya'qub berkata: "Hanya dirimu sendirilah yang memandang baik perbuatan (yang buruk) itu. Maka kesabaran yang baik itulah (kesabaranku). Mudah-mudahan Allah mendatangkan mereka semuanya kepadaku; sesungguhnya Dia-lah Yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana."  - Yusuf, ayat 83

p.s: Selamat memanfaatkan penghujung Ramadan :)

Monday, August 6, 2012

::3 tahun dan 3 minggu::

Setelah tiga minggu menyepi.



Nak kata sibuk, masih ada masa untuk mengemaskini Facebook, melayan Youtube dan sebagainya. Sesungguhnya kalau seseorang itu benar-benar mengerti erti sibuk sudah pasti dia tidak akan berani menjadikan perkataan sibuk itu sebagai alasan untuk melarikan diri dari tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya. Selagi mana kita masih sempat untuk melakukan perkara-perkara yang tidak berfaedah dan tidak menjaga diri dari melakukan perkara-perkara yang makruh maka bermuhasabahlah.

HAZA MIN FADHLI RABBI



Alhamdulillah, tanggal 18 Julai lepas peperiksaan akhir tahun tiga telah melabuhkan tirai, setelah dua bulan lebih kami berhempas-pulas berjuang menghadapinya.Syukur kehadrat Allah, kami masih lagi diberi peluang untuk menyambut kedatangan Ramadan Al Mubarak pada tahun 1433H ini. Sebagaimana yang saya harapkan, tahun ini saya diberikan peluang untuk mengikuti pelbagai program yang dianjurkan oleh PERUBATAN Cawangan Mansurah dan PMRAM Cawangan Mansurah (DPMM), selaku peserta mahupun AJK pelaksana program. Sekurang-kurangnya waktu pagi yang merupakan waktu berharga yang sering disia-siakan itu terisi. 

Beberapa hari lepas, natijah bagi kuliah perubatan konvensional tahun tiga dikeluarkan. Segala puji bagi Allah kerana saya diberi peluang untuk melangkah ke tahun pengajian seterusnya (tahun empat). Sungguh, kalau kejayaan ini disandarkan pada usaha dan tawakkalku, bertambah pula dengan banyaknya dosa yang aku lakukan, memang tidak layak. Berkat keluarga serta rakan-rakan yang sering mendoakan. Kejayaan ini bukan untuk saya, tetapi untuk maslahat dakwah, insyaAllah. Dalam masa yang sama, rasa sedikit malu kepada rakan-rakan yang lebih sibuk dengan kerja-kerja dakwah dan kemasyarakatan tetapi mampu mendapat keputusan yang lebih tinggi berbanding orang lain. Bertambah yakin, bilamana kita menolong agama Allah, Allah akan menolong kita.

Hai orang-orang mukmin, jika kamu menolong (agama) Allah, niscaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu. ( 47:7)

Bagi yang masih ditangguhkan kejayaannya, semoga tabah. Rakan-rakan selalu mendoakan kejayaan antara satu  sama lain. Saya sendiri pernah gagal pada tahun satu, pelbagai hikmah dan ibrah yang telah saya dapat daripada pengalaman tersebut. Bukan bermakna kita gagal kita tak pandai, tetapi Allah ingin membuatkan kita lebih faham dalam sesuatu subjek. Demi kebaikan pada masa hadapan juga, InsyaAllah.

MASA TAKKAN KEMBALI


Dua tiga hari ini dihantui perasaan.
Aku sudah tiga tahun berada di bumi Mesir, namun masih banyak hasrat yang belum dipenuhi.
Lebih penting lagi, aku sudah hampir 21 tahun hidup di atas muka bumi ini, namun mampukan aku menerangkan isi-isi Al Quran kepada orang lain, lebih-lebih lagi kepada mereka yang bukan muslim? 

Sejujurnya aku ingin memberikan sedikit pesanan, buat mereka yang bakal datang ke bumi barakah ini, gunakanlah sebaik-baiknya masa kamu di sini. Banyak benda yang mampu mendidik kita dari sudut rohani mahupun jasmani di tanah tandus ini. Jangan sibukkan diri dengan hiburan yang berlebihan, kita sudah mencapai usia yang cukup matang untuk itu semua, jadi jangan layan diri kita macam budak kecil lagi. Selain daripada mempelajari ilmu perubatan, gunakan kesempatan ini untuk mengumpul mutiara-mutiara ilmu dan melibatkan diri dengan kerja-kerja dakwah dan kemasyarakatan. Sertailah persatuan yang syumul, yang benar-benar memberi kebajikan kepada semua baik ahli mahupun bukan ahli, dan janganlah berpecah-belah dengan beralasankan kesatuan. Kalau khilaf itupun sudah menjadi satu rahmat, apatah lagi bersatu dalam fikrah dan amal. 

Hidup ini terlampau sekejap untuk hidup dalam kekerdilan.

Segala apa yang kamu niatkan sebelum datang ke bumi barakah ini, insyaAllah kamu akan dapat. Maka niatlah yang baik-baik.

‎"kalau di bulan lain, mgkin tidak mengapa. tapi, apabila di bulan ramadan.. terasa amat berat nk luangkan masa utk mengendalikan program. setiap saat di bulan ramadan amat berharga. ade yg beriktikaf kebanyakan masa di masjid, ade bertadarus 2,3 juzuk sehari sehinggakan ade yg pergi umrah utk betul2 fokus mengejar ganjaran ramadan.
tapi, itu semua adalah mainan perasaan yg tak perlu dilayan. menunjukkan kite masih belum betul2 faham tugas kite di muka bumi ini. orang lain jauh lebih sibuk dari kita sehinggakan tugasan yg kite ade ini tidak diistilahkan sibuk oleh orang yg lebih tinggi dari kite (pimpinan2)." 

Siiru ala barakatillah. 

Thursday, July 12, 2012

::matahati::



Dia menghulurkan tangan kanannya ke sebelah kiri untuk bersalam.
Perlahan - lahan tangan itu bergerak mencari tangan jemaah sebelah kirinya.

Padahal, sebelah kirinya tiada jemaah, cuma ada tiang yang memisahkan saf kedua itu menjadi dua bahagian.

Melihatnya sudah cukup untuk buat aku sayu.

Rupanya dia tidak mampu melihat seperti aku. Walaupun matanya kelihatan normal.

Subuh itu, aku diperlihatkan oleh-Nya satu kejadian, yang mengingatkan aku kepada satu hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a:

Ada seorang lelaki buta telah datang mengadu kepada Nabi s.a.w bahawa dia tidak mempunyai orang yang boleh memimpinnya pergi ke masjid. Oleh itu dia mengharapkan Baginda memberi kelonggaran kepadanya untuk bersolat di rumahnya. Pada mulanya Baginda telah membenarkannya, tetapi kemudiannya Baginda menarik balik kebenaran tadi setelah Baginda mengetahui bahawa si buta tadi dapat mendengar seruan azan solat yang dikumandangkan di masjid. (Muslim)

Selama ini aku sedikitpun tidak menyangka dia mempunyai masalah penglihatan.

Sejak aku mengetahuinya, aku sering memerhatikan gerak langkahnya untuk keluar daripada masjid sambil membaca Al Mathurat di bahagian belakang.

Orang tua, ataupun anak - anak muda Mesir yang ada dalam masjid selalu membantu jasad tua itu.

Dan jasad tua itu pula, tidak kering lidahnya daripada menyebut basmalah ketika melangkah.

------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Sungguh, aku cukup malu padamu wahai jasad tua.
Penglihatanku masih jelas, tapi mungkin saja lebih banyak dosa dari pahala.


Friday, June 15, 2012

::destinasi sebuah advencer::

Sedikit sekali mengingati mati dan akhirat.

Kurangnya mengingati mati dan kampong akhirat akan mengakibatkan lemahnya keinginan dan kemahuan dan lambatnya kegiatan sama sekali (kerana tidak memikirkan keadaan setelah mati dan di akhirat nanti.

Untuk memperoleh hikmah mengingati mati, Rasulullah SAW bersabda, “Aku dahulu pernah melarang kamu menziarahi kubur, maka sekaranglah berziarahlah kubur, kerana ziarah kubur itu dapat menjadikan orang bersikap zuhud terhadap dunia dan mengingatkan kepada akhirat.” (Riwayat Ahmad)

Rasulullah SAW bersabda, “Wahai manusia! Malulah kamu kepada Allah dengan benar-benar malu.” Lalu ada seorang lelaki berkata, “Wahai Rasulullah, sesungguhnya kami merasa malu kepada Allah Ta’ala.” Kemudian baginda bersabda, “Barangsiapa di antara kamu merasa malu (kepada Allah) maka janganlah ia memasuki malam hari kecuali ia merasa bahawa ajalnya telah berada di antara kedua matanya dan hendaklah ia menjaga perutnya dengan segala isinya, menjaga kepalanya dengan segala muatannya, dan hendaklah ia mengingat kematian dan kebinasaan, dan meninggalkan perhiasan kehidupan dunia.” (Riwayat Ibnu Majah)
(Antara sebab - sebab futur dalam perjuangan Islam, kitab Wabak Sepanjang Jalan.)


Minggu ini, nenek kepada seorang rakan kuliah saya meninggal dunia. Perantau mana yang tidak sedih tatkala dia sedang berkelana orang yang tersayang menghadap Yang Maha Esa di kampung halaman. Semoga dia tabah dengan ujian yang menimpa. Ujian hebat untuk orang yang hebat.

Semalam, seorang murabbi ummah juga telah kembali ke rahmatullah. Jasad kurus yang mungkin namanya tidaklah dikenali ramai pada zaman sekarang namun sentiasa gigih dalam perjuangan Islam. Orang yang saya tidak sempat temui walaupun arwah merupakan bapa saudara kepada bapa saudara saya (abang ipar mak saya). Itulah Ustaz Yahya Uthman.

Sebak hati apabila mendengar perkhabaran melalui Facebook. Mama turut menghantar mesej, "pak sedara ayah ngah kholah-dato' yahya(ustz ya) meninggal lepas asar td al fatihah.." Walaupun diri ini tidaklah seperti orang lain yang pernah berusrah, mendengar ceramah beliau secara langsung namun bila membaca artikel yang ditulis oleh Dr.MAZA, Ustaz Ridhuan Mohamad Nor dan YB Saifudin Nasution mengenai pengalaman mereka bersama almarhum, diri ini bertambah sedih. Beliau meninggalkan kita sewaktu perjuangan Islam masih memerlukannya. Teringat pula kitab "Amal Jamai : Pengertian dan Tuntutannya" yang dibeli sewaktu cuti revolusi Mesir tahun lepas, masih belum saya hadam sepenuhnya, mungkin sebab disiplin membaca yang kurang. Semoga kehilangan beliau bukan melemahkan kita dalam perjuangan, tetapi lebih membuatkan kita lebih bersemangat dengan mengamalkan segala ilmu yang ditinggalkannya.


   
“Ana sayangkan antum semua ini, antum semua anak ana, antum semua masa depan perjuangan Islam,” 
“Jangan lupakan program tarbiah, jangan lupa baca Al Quran walau sesibuk mana pun kamu”


Hari Jumaat yang barakah ini, saya menyertai saudara Izzat Hadi dan beberapa adik - adik tahun 1 yang belum pulang ke Malaysia menziarahi makam seorang wali di Dirasat. (Saya lupa pula namanya). Kami turut menziarahi kawasan perkuburan di belakang masjid, terdapat sebuah kubur yang besar menempatkan para syuhada' perang antara Mesir - Israel. Allah. Mereka kembali dalam keadaan yang baik. Bagaimana dengan aku nanti?

Madah ketiga yang bakal saya hadapi pada Selasa ini, Pathology. Belajar mengenai pelbagai penyakit. Bila difikirkan semula, mengulangkaji madah ini sepatutnya buat saya lebih ingat kepada mati. Ingat kepada destinasi sebuah advencer. Bukan sekadar belajar untuk lulus dalam peperiksaan semata - mata. Moga Allah mengurniakan perasaan itu kepada aku. Doakan wahai teman!


Kadangkala kita sering terlupa destinasi yang bakal kita tuju. Namun bersyukurlah apabila ada yang mengingatkan.

Sunday, June 10, 2012

::oh exam!::



Peperiksaan. Madah kedua (Microbiology) akan melabuhkan tirainya esok dengan peperiksaan amali dan oral. Ramai orang kata, subjek ni senang je. Tak seperti Pharmacology dan Pathology. Namun bagi saya kalau dah namanya subjek perubatan sudah tentulah susah, kalau tak sudah ramai yang bergelar doktor. Mendapatkan ilmu itu bukan sekadar dengan membaca, tetapi perlu ada yang mengajar dan membimbing. Sebab itu orang yang ada banyak duit sekalipun untuk membeli buku - buku perubatan yang mahal - mahal, kemudian membacanya hingga khatam tidak akan bergelar seorang doktor walaupun dia melalui proses pembelajaran itu, kerana tidak ada yang mengiktirafnya. Cara untuk mengiktiraf? Sudah tentulah peperiksaan. Pernah menonton suatu video tazkirah ringkas oleh mufti Mesir, Syeikh Ali Jumuah mengenai perbezaan ilmu dan maklumat (dulu pernah jumpa video ini di Youtube tapi sekarang tak pasti masih ada ke tak), berguru adalah salah satu rukun menuntut ilmu, dan itulah yang membezakan antara ilmu dan maklumat.

Semasa kelas tafaquh dengan Ustaz Hairul Nizam, beliau pernah menyebut bahawa seharusnya kita menghormati guru - guru kita, profesor - profesor di universiti kerana merekalah masyaikh kita dalam bidang perubatan.(begitu juga dengan ilmu lain, tidak semestinya ilmu agama.) Di Mesir disebabkan kuliah bukan sesuatu yang diwajibkan selain kelas amali, maka ramai pelajar - pelajar yang mengambil kesempatan untuk tidak menghadirkan diri ke kuliah atas bermacam - macam alasan. Tidak boleh fokus, profesor ajar tak best, mengantuk dan sebagainya. Benar, mana mungkin bila kita hadir ke kuliah kita akan faham 100%, kalau dapat 30% pun dah kira bagus, cuma yang membezakannya ialah berkat daripada profesor yang mengajar kita. Inilah yang menjadikan kuliah 1 jam tidak sama dengan belajar sendiri 1 jam. Para ulama' dahulu sanggup merantau beribu - ribu kilometer untuk mendapatkan ilmu, kita yang dekat dengan kuliah ini seharusnya menggunakan kesempatan tersebut sebaik - baiknya. Yuran yang ibubapa/penaja kita bayar mahal - mahal itu bukan untuk sekadar mengambil peperiksaan.

Mengenai peperiksaan, saya rasa kalau dibandingkan dengan 2 tahun lepas, ini yang paling susah. Soalan yang keluar kadang - kadang daripada topik yang begitu kecil daripada buku, yang selalu saya terlepas pandang. Kadang - kadang rasa macam nak menangis je dalam dewan peperiksaan. Mulalah bayangan - bayangan negatif syaitan mengaburi pandangan, menghilangkan fokus. Percubaan untuk 'menggoreng' pun bermula. Tulis sekadar yang kita tahu, asal tiada yang kosong. Dan suasana peperiksaan sangat ngeri tahun ini, dengan panasnya di atas pentas. Masa itulah baru nak ingat Allah banyak - banyak, berselawat banyak - banyak. Manusia masa susah je dia ingat. Dapat senang terus lupa.

Bisikan yang kerap datang dalam minda saya, "Itulah, sibuk lagi dengan kerja - kerja persatuan, sibuk lagi dengan orang lain, pasal study semua tak ingat."

Saya menepis semula, "Kalau aku tidak sibuk dengan ini semua maka aku akan kembali kepada zaman tahun1 aku dulu. Banyak sangat masa yang terluang dengan perkara - perkara tidak berfaedah. Study ikut pass year questions semata. Masa tidak tersusun. Sekurang - kurangnya bila aku berpersatuan, aku selalu akan ingat untuk catch up study dan tidak menyalahgunakan masa. Salah aku sendiri, mungkin ini balasan Allah atas dosa - dosa aku."


Ya. Hakikat manusia seperti aku, lebih menyintai keduniaan. Pagi tadi saya sedikit kecewa selepas menyemak semula jawapan peperiksaan lepas. Banyak yang disangka betul rupanya silap. Banyak yang kononnya tidak tahu rupanya aku tahu. Rasa kurang berpuas hati setelah berhempas pulas belajar tetapi hasilnya tidak seberapa. 

Lain pula bila kita memuhasabah amalan diri kita. Kita lebih cenderung untuk ingat, berapa banyak aku berqiamulail pada minggu ini, puasa banyak mana, baca al Quran banyak mana. Tetapi lupa untuk ingat berapa banyak dosa yang kita lakukan dalam seharian. Boleh kata dilupakan begitu sahaja. Tidak pernah memikirkan adakah Allah terima amalan kita atau tidak, yang kita fikir hanyalah adakah pemeriksa menerima jawapan "goreng" kita atau tidak.

Sebab kita lebih cenderung untuk dapat mumtaz di dunia. Akhirat? Langsung tidak pernah terfikir.

Apa - apapun, usaha tidak menatijahkan keputusan. Sepatutnya aku lebih memikirkan untuk melipatgandakan usaha dan tawakal, bukan terlalu memikirkan hasilnya kerana itu kerja Dia. 

Abu al-‘Abbas ‘Abdullah bin ‘Abbas, radiyallahu anhuma, reported: One day I was behind the Prophet, sallallahu ‘alayhi wasallam, and he said to me:"O young man, I shall teach you some words [of advice] : Be mindful of Allah, and Allah will protect you. Be mindful of Allah, and you will find Him in front of you. If you (have need to) ask, ask of Allah; and if you seek help, seek help from Allah. Know that even if the Nation (or the whole community) were to gather together to benefit you with something, they would not benefit you with anything except that which Allah has already recorded for you, and that if they gather together to harm you with something, they would not be able to harm you with anything except that which Allah has already recorded against you. The pens have been lifted and the pages have dried."[Al-Tirmidhi relates this and says: It is a good, genuine Hadith]


Muhasabah pada petang hari. Moga Allah meletakkan dunia ini dalam genggamanku tetapi bukan di hatiku. Tidak salah berusaha untuk dunia, namun janganlah ia membuatkan kita lupa kepada akhirat kelak. 

Dari Allah kita datang, kepada Allah kita kembali.

Doakan saya untuk peperiksaan - peperiksaan seterusnya.


Thursday, May 24, 2012

::raihlah cinta::


Abdullah bin Mas’ud r.a., ia berkata, “Seorang lelaki datang kepada Rasulullah Saw. dan berkata, ‘Wahai Rasulullah, bagaimana pendapatmu tentang seseorang yang mencintai suatu kaum, namun dia belum dapat bertemu dengan mereka?’ Rasulullah Saw. menjawab, ‘Seseorang akan bersama orang yang dicintai.” (HR Muslim)

Alhamdulillah masih diberi kesempatan untuk mengarang dalam blog yang tidak seberapa ini, walaupun ketika ini panas dengan bahang peperiksaan dan pilihanraya presiden Mesir (bukan saya mengundi pun, namun selaku umat Islam kena cakna dengan saudara seaqidah). Moga apa yang dicoretkan ini menjadi satu saham yang bernilai di sisi-Nya dan memberi manfaat kepada semua khususnya diri sendiri.

Cinta merupakan satu fitrah yang kita tidak lari darinya. Sekeras - keras mana seseorang itu sekalipun dia tetap punya rasa untuk mencintai dan dicintai. Bak kata pepatah zaman moden, "dalam hati ada taman."

Bukanlah niat untuk menulis mengenai maratib amal yang kedua iaitu baitul muslim di kala musim peperiksaan sebegini (anyway tahniah buat rakan - rakan yang bakal mendirikan masjid cuti musim panas ini :D), cinta yang ingin saya bawakan pada kali ini ialah cinta kepada orang - orang soleh. Cinta kepada para ulama', yang seterusnya membawa kepada kecintaan terhadap Rasulullah SAW.

Dahulu, saya pernah mempersoalkan kenapa kita perlu cinta kepada Rasulullah sedangkan kita hamba kepada Allah, maka kita kena mendahulukan Allah. (Pemikiran akal logik yang menyesatkan, jangan diikut ye.)


"...kerana cinta kepada Rasulullah, bererti cinta kepada Allah."


Lirik lagu Dia Kekasih Allah nyanyian kumpulan Hijjaz ini seolah - olah menjawab 'pemikiran songsang' saya itu tadi, menjadi muqadimmah kepada satu kecintaan yang didambakan sekelian alam. Kecintaan kepada pembawa risalah kebenaran. Kecintaan yang akhirnya akan mendekatkan diri seorang hamba kepada penciptanya.

Analogi mudah, andai anda mempunyai seorang kekasih, sudah tentu anda akan melakukan apa sahaja demi menyatakan rasa benar - benar cintanya kepada kekasih anda itu. Kalau kekasih anda minta jambatan emas, itulah yang anda beri. Dan sekiranya kekasih anda suka kepada sesuatu, maka anda juga akan suka kepada benda tersebut walaupun pada asalnya tidak berapa suka.

Samalah juga dengan kecintaan kita terhadap Allah melalui perantaraan cinta kita terhadap Rasulullah SAW. Bila kita cinta kepada Rasulullah, kita akan bersungguh - sungguh untuk mengamalkan segala sunnahnya serta ajaran Islam yang disampaikan olehnya. Maka tidak lengkap cinta kita kepada Allah seandainya kita tidak punya rasa cinta dan rindu kepada Rasulullah SAW. Rasulullah SAW adalah kekasih Allah, sudah semestinya kita turut mencintai apa yang dikasihiNya.

Antara cara kita untuk meningkatkan rasa cinta kepada Rasulullah SAW ialah dengan mencintai para ulama'.


Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:الْعُلُمَاءُ وَرَثَةُ اْلأَنْبِيَاءِ“Ulama adalah pewaris para nabi.” (HR At-Tirmidzi dari Abu Ad-Darda radhiallahu ‘anhu),


Melalui para ulama', kita diperdengarkan dengan sirah perjuangan baginda.
Melalui para ulama', kita diperdengarkan dengan hadith baginda.
Dan melalui para ulama', kita dibimbing untuk memahami Al Quran dan as sunnah, yang mana Rasulullah tegaskan tidak akan sesat sekiranya berpegang kepada dua perkara ini.


Di samping sebagai perantara antara diri-Nya dengan hamba-hamba-Nya, dengan rahmat dan pertolongan-Nya, Allah Subhanahu wa Ta’ala juga menjadikan para ulama sebagai pewaris perbendaharaan ilmu agama. Sehingga, ilmu syariat terus terpelihara kemurniannya sebagaimana awalnya. Oleh karena itu, kematian salah seorang dari mereka mengakibatkan terbukanya fitnah besar bagi muslimin. 

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam mengisyaratkan hal ini dalam sabdanya yang diriwayatkan Abdullah bin ‘Amr ibnul ‘Ash, katanya: Aku mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:
إِنَّ اللهَ لاَ يَقْبِضُ الْعِلْمَ انْتِزَاعاً يَنْتَزِعُهُ مِنَ الْعِباَدِ، وَلَكِنْ بِقَبْضِ الْعُلَماَءِ. حَتَّى إِذَا لَمْ يُبْقِ عاَلِماً اتَّخَذَ النَّاسُ رُؤُوْساً جُهَّالاً فَسُأِلُوا فَأَفْتَوْا بِغَيْرِ عِلْمٍ فَضَلُّوا وَأَضَلُّوا
“Sesungguhnya Allah tidak mencabut ilmu dengan mencabutnya dari hamba-hamba. Akan tetapi Dia mencabutnya dengan diwafatkannya para ulama sehingga jika Allah tidak menyisakan seorang alim pun, maka orang-orang mengangkat pemimpin dari kalangan orang-orang bodoh. Kemudian mereka ditanya, mereka pun berfatwa tanpa dasar ilmu. Mereka sesat dan menyesatkan.” (HR. Al-Bukhari no. 100 dan Muslim no. 2673)
Ibnu Rajab Al-Hambali rahimahullah mengatakan: Asy-Sya’bi berkata: “Tidak akan terjadi hari kiamat sampai ilmu menjadi satu bentuk kejahilan dan kejahilan itu merupakan suatu ilmu. Ini semua termasuk dari terbaliknya gambaran kebenaran (kenyataan) di akhir zaman dan terbaliknya semua urusan.”
Di dalam Shahih Al-Hakim diriwayatkan dari Abdullah bin ‘Amr secara marfu’ (riwayatnya sampai kepada Rasulullah): “Sesungguhnya termasuk tanda-tanda datangnya hari kiamat adalah direndahkannya para ulama dan diangkatnya orang jahat.” (Jami’ul Ulum wal Hikam, hal. 60)

Maka sebarkanlah cinta. Cinta di dalam islam bukan selepas nikah semata, bahkan Islam itu sendiri membawa mesej cinta.


Mengasihi, menghormati dan memuji orang-orang yang soleh kerana amalan baik yang mereka lakukan adalah suatu amalan mendekatkan diri dengan Allah Taala. Apa yang dimaksudkan dengan wali ialah mereka yang disebutkan oleh firman Allah:(Wali-wali Allah itu ialah) orang-orang yang beriman serta mereka pula sentiasa bertaqwa. (Yunus: 63)Karamah berlaku pada mereka dengan syarat-syarat yang ditetapkan oleh syarak. Namun perlu diyakini mereka yang diredai oleh Allah ini tidak mampu mendatangkan kemudaratan dan kemanfaatan untuk diri mereka sendiri ketika hayat mereka dan juga setelah kematian mereka, apatah lagi untuk melakukannya kepada orang lain.


Selawat ke atas junjungan baginda, semoga diri ini terus thabat dalam mengamalkan sunnah baginda khususnya sunnah perjuangannya.

P.S : Sebenarnya last minute baru terfikir nak tulis entri ni. Gara - gara terbaca di Facebook ada orang kata jangan sampai puja 'seorang ulama ni' melebihi Tuhan. Sedarlah, diri kita hari ini lebih banyak memuja dan mencintai 'berhala moden' iaitu hiburan. Penulisan ini sekadar memperingati diri. :) Jika ada salah silap, dialu - alukan untuk komen.

Sekadar penulisan senja Khamis, menunggu kehadiran Sayyidul Ayyam yang dinantikan pada setiap minggu.