GURU.
Apakah yang terlintas di fikiran
anda saat membincangkan perihal seorang guru?
(Gambar: Filem Dead Poets Society lakonan mendiang Robin Williams)
Mungkin sahaja anda sedang
membayangkan watak Mr.John Keating (Dead Poets Society) menghidupkan semangat
para muridnya melalui penghayatan puisi. Bagi mereka yang meminati drama Jepun,
watak Yankumi (Gokusen) yang berjaya
membimbing murid-murid yang bermasalah sudah pasti tidak asing buat mereka.
Malah boleh jadi anda teringatkan beberapa orang guru yang memainkan peranan
besar dalam membentuk personaliti anda selaku seorang mahasiswa sains kesihatan
pada hari ini.
MUALLIM ATAU MURABBI?
Bagaimana kita hendak mengenal
peribadi seorang guru, samada dia seorang muallim atau seorang murabbi?
Kedua-dua istilah ini seakan-akan
sama taraf penggunaannya, tetapi hakikatnya berbeza.
Seorang muallim, tugasnya seperti
kebanyakan guru atau cikgu, iaitu mengajar dan mensyarahkan silibus-silibus
akademik kepada para muridnya melalui pembelajaran di dalam kelas.
Berbeza dengan seorang muallim,
seorang murabbi bukan sekadar mengajar dan mensyarahkan silibus-silibus
akademik, malah dia memberikan tumpuan yang penuh terhadap perkembangan
muridnya dari sudut yang lain, supaya muridnya itu benar-benar menjadi seorang
manusia yang berguna. Memetik kalam saudara Ameen Misran (Langit Ilahi),
“A person who nurtures, breeds, feeds,
grows, guard and teach an entity until the process of nurturing, breeding,
feeding, growing, guarding and teaching is complete and successful.”
Saya pernah mendengar analogi
ringkas bagaimana untuk membezakan seorang muallim dengan seorang murabbi.
Anda ingin belajar cara-cara membuat kek coklat dengan dua orang guru
yang berbeza. Guru A menyuruh anda menyalin senarai bahan-bahan yang diperlukan dan
menunjukkan langkah-langkah membuat kek tersebut untuk anda buat sendiri
setibanya di rumah nanti. Ini adalah sifat seorang muallim.
Manakala Guru B pula menemani anda dari saat mendapatkan bahan-bahan
yang diperlukan sehingga anda benar-benar selesai menyiapkan kek coklat yang
enak. Segala kekurangan dan kesilapan sepanjang proses membuat kek tersebut
akan dibetulkan oleh guru tersebut. Guru B adalah contoh seorang murabbi yang
baik.
Justeru, semua guru ialah
muallim, tetapi bukan semuanya layak digelar murabbi. Walaubagaimanapun, kita
selaku murid seharusnya beradab dengan para guru yang telah banyak berkorban
demi kebaikan kita.
ADAB-ADAB SEORANG MURID.
Semasa sekolah rendah dahulu,
kita sangat menjaga adab terhadap para guru dan berusaha mengelakkan diri dari
melakukan perkara-perkara yang boleh menyakiti hati mereka. Masuk sahaja
sekolah menengah, saya mendapati ada kelakuan-kelakuan yang kurang beradab mula
menular para pelajar seperti memberi gelaran yang tidak elok kepada guru,
bersikap kurang ajar apabila ditegur kesalahan dan sengaja tidak menyiapkan
tugasan yang diberi atas alasan yang tidak munasabah. Keadaan ini bertambah
parah setibanya di universiti, yang mana kita semakin kurang menitikberatkan adab
terhadap doktor yang mengajar dan membimbing kita.
“Ikut resmi padi, makin berisi makin
tunduk, jangan ikut resmi lalang, semakin tegak tiada berisi.”
Seharusnya
dengan peningkatan ilmu dan kematangan akal, kita akan menjadi seorang yang
lebih mengutamakan adab dalam bergaul dengan orang lain. Suatu perkara yang
perlu dimuhasabah jika berlaku sebaliknya.
Hujjatul
Islam Imam al Ghazali r.a ada menyenaraikan adab-adab seorang murid dalam
kitabnya yang masyhur iaitu Bidayatul Hidayah. Antaranya ialah:
1.
Apabila
bertemu gurunya, hendaklah dia memberi salam kepadanya terlebih dahulu.
2.
Jangan
banyak bercakap di hadapan guru.
3.
Jangan
bercakap sebelum guru bertanya kepadanya.
4.
Jangan
bertanya kepada guru sebelum meminta izin.
5.
Jangan
mengisyaratkan kepada guru dengan menyalahi pendapatnya kerana menyangka bahawa
diri lebih mengetahui daripada gurunya.
6.
Jangan
berbisik dengan orang yang duduk di tepi ketika guru memberikan pelajaran.
Professor Hesham Daba, pensyarah
Jabatan Farmakologi Kuliah Perubatan Universiti Mansurah pernah memberitahu penulis tentang tiga
perkara penting yang perlu ada pada seorang doktor, iaitu knowledge (pengetahuan), skills
(kemahiran) dan attitude (sikap).
Oleh itu, marilah kita berusaha untuk menjaga adab dengan sesama manusia bagi
membentuk peribadi doktor muslim yang baik.
TRIBUT BUAT GURU.
Sambutan
Hari Guru pada 16 Mei setiap tahun merupakan satu tanda penghargaan terhadap
guru-guru yang terlalu banyak pengorbanannya kepada umat manusia, bermula dari
ibubapa selaku guru pertama dalam hidup sehinggalah para doktor dan pensyarah
yang mengajar kita pada hari ini. Mereka adalah wasilah yang penting dalam pembangunan modal insan. Tanpa mereka, siapalah kita.
Berburu ke padang datar
Dapat rusa belang kaki
Berguru kepala ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi
Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.
Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.
Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.
Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulangi ilmu
Panggilan keramat “cikgu” kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.
Terima
kasih guru-guruku!
‘Ammar
b Mohamad Ziyadi
Tahun
6 PERUBATAN Konvensional
Universiti
Mansurah