Pages

Subscribe:

Wednesday, August 15, 2012

::fasobrun jameel::



"Qatar Airways?" perkataan ini keluar dari bibirnya. Dari tadi aku perasan yang dia sedang memerhatikan aku yang mengalami kekeliruan, mencari di mana kaunter check-in.

"Aiwah," aku menjawab.

Dia tersenyum. Lantas dia meminta aku untuk mengikutinya dari belakang. Wanita yang berpakaian seragam perkhidmatan kebersihan lapangan terbang itu mungkin berusia dalam lingkungan 30-an, kecil sahaja orangnya. Rupanya kaunter check-in tidaklah begitu jauh dari tempat aku bermundar-mandir tadi. Ucapan "syukran" aku tuturkan kepadanya, dan dia pun berlalu pergi. Syukur, kaunter mula dibuka sebaik sahaja aku sampai di situ. Aku memasuki salah satu barisan yang ada. 

Kelihatan beberapa orang berkulit sedikit gelap di hadapanku. Bangla, mungkin. Sangkaanku tepat apabila mendengar perbualan mereka dengan petugas syarikat penerbangan yang berada di kaunter tersebut. Pasport-pasport yang mereka pegang mengesahkan lagi kenyataan itu. Merantau mencari rezeki di bumi kinanah ini demi survival keluarga. 

Giliran untuk aku check-in sudah hampir tiba. Tiba-tiba muncul seorang lelaki kurus, memegang sekeping kertas dan pasport mendekati manusia-manusia di hadapanku. Aku mengagak dia juga dari kalangan mereka, tetapi tidak sepatutnya dia berkelakuan sedemikian. Beraturlah dalam barisan yang ada dan tunggulah giliran. Boleh sahaja aku menegur perbuatannya itu, namun aku akhirnya beralah. Aku cuba menahan kemarahanku dalam bulan yang mulia ini. Tambahan, aku bimbang sekiranya mafsadah yang timbul lebih besar dari maslahah. Biarlah, boleh jadi ini tarbiah daripada Allah buat musafir sepertiku.

Beberapa minit kemudian urusan check-in aku selesai. Alhamdulillah tiada masalah dari segi tiket dan berat bagasi. Aku menuju ke tempat duduk yang tersedia berdekatan kaunter check-in untuk mengisi borang imigresen. 

"Err, can you help me please?"  

Aku memerhatikan mukanya. Oh, lelaki ini warga Bangladesh tadi! Dia meminta aku untuk mengisi borang imigresennya. Entah mengapa aku menerima permintaannya lalu mengambil borang serta pasport yang berada di tangannya. Muka depan pasportnya aku tatapi. "Labour" tertulis pada bahagian pekerjaan. Mungkin dia buta huruf, sebab itu dia mengalami masalah untuk mengisi borangnya. Sekejap sahaja aku isi borangnya lalu memulangkannya kembali. Tanpa aku sangka rakan-rakannya di belakang juga sedang menunggu untuk aku bereskan borang masing-masing, termasuklah yang memotong barisan tadi! 

Aku jadi teringat kepada pesanan Imam Hassan Al Banna,

"Jadilah seperti pokok yang berbuah. Dibaling batu tapi dibalas dengan buah yang enak"

Teringat juga sirah nabawiyah, ketika mana datang seorang badwi yang memasuki masjid nabi lalu kencing. Sahabat-sahabat marah dengan perbuatan tersebut dan ingin memarahinya, tetapi Rasulullah SAW menegah mereka berbuat demikian lalu membiarkan badwi tersebut kencing sehingga habis. Selepas itu barulah baginda menegurnya.


عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ رضي الله عنه قَالَ جَاءَ أَعْرَابِيٌّ فَبَالَ فِي طَائِفَةِ اَلْمَسْجِدِ, فَزَجَرَهُ اَلنَّاسُ فَنَهَاهُمْ اَلنَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم فَلَمَّا قَضَى بَوْلَهُ أَمَرَ اَلنَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم بِذَنُوبٍ مِنْ مَاءٍ; فَأُهْرِيقَ عَلَيْهِ. مُتَّفَقٌ عَلَيْهِ.
Daripada Anas bin Malik, katanya: seorang Arab badwi telah datang lalu dia kencing di satu penjuru masjid. Orang ramai menyergahnya lalu Rasulullah s.a.w melarang mereka berbuat demikian. Apabila dia selesai kencing, baginda menyuruh supaya dituangkan satu timba air di atas tempat itu. (Muttafaq ‘alayh) 


Dalam lafaz yang diriwayatkan oleh Muslim ada tambahanدَعُوهُ وَلَا تُزْرِمُوهُ قَالَ فَلَمَّا فَرَغَ دَعَا بِدَلْوٍ مِنْ مَاءٍ فَصَبَّهُ عَلَيْهِJanganlah menyekat kencingnya.
Dalam riwayat lain pula ada dinyatakan

إِنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ دَعَاهُ فَقَالَ لَهُ إِنَّ هَذِهِ الْمَسَاجِدَ لَا تَصْلُحُ لِشَيْءٍ مِنْ هَذَا الْبَوْلِ وَلَا الْقَذَرِ إِنَّمَا هِيَ لِذِكْرِ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ وَالصَّلَاةِ وَقِرَاءَةِ الْقُرْآنِ
Rasulullah s.a.w. memanggilnya seraya bersabda: Sesungguhnya masjid-masjid tidak boleh sama sekali kencing dalamnya dan tidak boleh juga ada kekotoran padanya. Sebenarnya ia adalah untuk mengingati Allah s.w.t., bersembahyang dan membaca al-Qur`an. (Muslim)

Biarpun kesalahan memotong barisan itu tidaklah sebesar kencing dalam masjid, namun aku melupakannya. Mungkin sahaja dia tidak tahu.

Aku mengisi borang-borang mereka lantas berlalu pergi, menuju ke kaunter imigresen. Sekali lagi benda yang sama berlaku. Seorang wanita tua kelihatan mundar-mandir di kawasan imigresen lantas berhenti di kaunter hadapanku. Pegawai imigresen yang bertugas kelihatan serba salah denganku kerana terpaksa melayan wanita tersebut terlebih dahulu. Kesabaran sekali lagi teruji.

"Sesungguhnya aku berpuasa!" ayat tersebut menerobosi mindaku.

Alhamdulillah, segala urusan berjaya diselesaikan sebelum penerbangan ke tanah air tercinta. Aku fikir, ujian-ujian yang menjengah tadi hanyalah kecil jika dibandingkan dengan orang-orang terdahulu. Mungkin sahaja hari ini Allah ingin mengajar aku sesuatu.

Sesuatu yang dinamakan "Fasobrun Jameel"! (Kesabaran yang baik)

Ya'qub berkata: "Hanya dirimu sendirilah yang memandang baik perbuatan (yang buruk) itu. Maka kesabaran yang baik itulah (kesabaranku). Mudah-mudahan Allah mendatangkan mereka semuanya kepadaku; sesungguhnya Dia-lah Yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana."  - Yusuf, ayat 83

p.s: Selamat memanfaatkan penghujung Ramadan :)

1 comment:

  1. alhamdulillah perkongsian serta pengalaman yg menarik...sejenak terpikir bagaimana kalau perkara ini berlaku pd diri ini...hurm..muhasabah kembali..

    ReplyDelete