Pages

Subscribe:

Thursday, January 31, 2013

::nota-nota III::


Hari Jumaat.

'Hari raya mingguan' buat mereka yang mempercayai dan menyakini kerasulan Nabi Muhammad SAW. 

:)


------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Saf.
Aku suka memerhati gelagat 'Rakan Masjid Firdaus' yang terdiri daripada pakcik-pakcik berumur dalam lingkungan 60-an. Ada seorang pakcik ni selalu datang awal ke masjid, selepas solat tahiyatul masjid dia akan membaca al Quran di saf pertama. Kawan pakcik ni datang lewat sikit, saf pertama pun hampir penuh, tetapi pakcik ni tetap usaha juga selit-selitkan kawan dia tu di saf paling depan.

Keadaan ini membuatkan aku teringat akan hadis Rasulullah SAW,
“Seandainya manusia mengetahui keutamaan yang ada dalam azan dan saf pertama, kemudian untuk mendapatkan itu mereka harus mengundi, nescaya mereka akan mengundi untuk mendapatkannya.” (Hadis riwayat Bukhari).

Rasulullah SAW juga bersabda,
“Ke hadapanlah kamu dan sempurnakanlah (saf) bersama denganku, akan datang selepas kamu satu kaum yang berterusan ke belakang (meninggalkan saf yang pertama) sehingga Allah akhirnya memasukkannya ke dalam neraka.” (hadis riwayat Muslim).

Sama-sama renungkan dan selamat beramal.


------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Pakai spek biru, semua nampak biru.
Pakai spek hijau, semua nampak hijau.

Pakai spek merah sebelah biru sebelah, semua nampak 3D.


------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Tunggu.
Jangan tunggu 'imam solatku' baru terhegeh-hegeh nak solat berjemaah.
Jangan tunggu Imam Mahdi tiba baru bercita-cita nak berjuang fisabilillah.
Jangan tunggu peperiksaan baru kalut nak pulun habiskan semua madah.
Jangan tunggu ribut taufan baru nak cari tikar sejadah.

Masa tidak menunggu kita.

"The man that decided to change on the 12th hours died at the 11th." - Hlovate.


------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Merungut.

Sebanyak mana pun aku merungut sukar untuk belajar pada malam ini dek kesejukan, itu tidak akan mengubah apa-apa. Peperiksaan tetap akan dijalankan esok.

Berjalan ke Masjid Firdaus ketika waktu solat. Selalunya ada dua tiga orang makcik dengan anak kecil yang duduk di sekitar kawasan ini, meminta simpati para manusia yang lalu-lalang. Di mana agaknya mereka sekarang, punya tempat berteduh atau tidak? Pakaian macam mana, cukup tebalkah?

Tak termasuk saudara-saudara di tempat lain yang lebih hebat ujiannya lagi.

Oke. Kurangkan beralasan. Jom cari jalan.


------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Iman.

Selalu sahaja apabila ada orang yang inginkan bantuan kita, atau mungkin lebih tepat saya, perkara pertama yang datang dalam fikiran saya ialah SAYA TIDAK MAHU. Pada masa yang sama, mulalah datang bayangan-bayangan buku-buku akademik yang belum diulangkaji, kerja-kerja yang sebenarnya kecil sahaja tetapi dibayangkan besar serta pelbagai lagi yang mungkin boleh dijadikan alasan.

Sama juga apabila mendengar perkara-perkara berkaitan dengan amal ibadah, dengar pasal solat sunat hifzi kena baca surah-surah panjang awal-awal lagi sudah angkat bendera putih. Tak ada rasa pun nak buat hanya sebab itu.

Berlainan pula apabila saya diajak untuk bermain permainan komputer, menonton filem dan seangkatan dengannya. Mudah sahaja untuk terima pelawaan itu, kecuali kalau ada peperiksaan esok.

Pelik kan. Benda yang baik, yang dijanjikan ganjaran oleh Allah selalu diketepikan berbanding benda yang tidak bermanfaat. Mungkin sebab fikir jangka masa pendek, keseronokan itu segera, ganjaran amalan hanya pada akhirat kelak.

Mungkin ini juga cara untuk kita muhasabah iman kita. Orang pernah berpesan kepada saya, "Tarbiyah-tarbiyah ni, nafsu kita tak suka."

Muhasabah Jumaat dan salam perjuangan.


------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Tegur.

Kadang-kadang pening kepala juga bila melayan karenah Arab Mesir, tetapi ada masanya teguran yang mereka beri kepada aku itu sedikit 'lain'.

Pernah masa tahun 1, aku masuk ke kedai dan mengambil barang untuk dibeli, semasa di kaunter tuan punya kedai menegurku, "Lain kali kalau masuk kedai, berilah salam."

Pernah juga sekali duduk menunggu iqamah, fikiran tak tentu hala. Lantas seorang pemuda mencuit bahuku dan memberikan senaskhah mushaf untukku baca. "Tu la, siapa suruh lagha sangat," aku bermonolog.

Dan banyak lagi kisah lain yang aku akan ingat sampai bila-bila.

Manusia itu pelupa, bukan? Maka hendaklah ada yang tolong peringatkan.

p.s: Nak bawak kalkulator saintifik ke kelas esok. Kelas tadi rasa macam pelajar sains matematik pula.


------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Tahu.

Sekitar Arab Mesir, sekali lagi. Kerap juga bertembung dengan anak-anak muda Mesir yang sedikit 'bermasalah'. Masakan tidak, mereka melontar batu ke arah warga Malaysia, memanggil kami dengan gelaran 'Booya-Booya' serta mengungkapkan 'four-letter words' yang mungkin mereka pelajari sewaktu bermain Grand Theft Auto di cybercafe. Apabila mereka tahu warga Malaysia ini muslim melalui ucapan salam kami terhadap mereka, mulalah senyap.

Berbeza apabila bertemu dengan orang Arab Mesir yang berpendidikan. Tuan rumah saya dahulu bekerja sebagai seorang guru. Dia juga seorang muslim yang baik. Boleh jadi kami merupakan penyewa pertama yang berwarganegara Malaysia, dia mencari maklumat tentang negara kita dan bertanyakan kepada kami pelbagai perkara mengenainya, seperti kaum-kaum yang ada, mazhab apa yang kita amalkan dan sebagainya.

Beza antara yang tahu dengan yang tidak mengetahui. Selalunya manusia akan menjadi musuh terhadap apa yang dia tidak tahu.

Kalau kita tahu, kita cakap.
Kalau tidak tahu, diam dan JUST LISTEN, LISTEN, LISTEN :P


------------------------------------------------------------------------------------------------------------

HIV/AIDS.

Aku tak tau kenapa, tetapi aku rasa kuliah Community Medicine petang tadi antara kuliah yang terbaik pernah aku dapat sepanjang berada di universiti ini. Aku masuk lewat sedikit, sang guru sudah memulakan pembelajaran. Diceritakan sejarah-sejarah penyakit ini yang tidak terdapat dalam silibus, siap masuk zaman firaun lagi.

Bangga apabila kami turut mempelajari statistik HIV/AIDS di Malaysia walaupun tiada dalam buku teks! Sekurang-kurangnya kami tahu mengenai realiti setempat kami.

Sejam setengah kemudian, kuliah sampai ke penghujungnya. Doktor meminta untuk menambah 10 minit lagi, ada slide tambahan katanya. Walaupun dah penat, tetapi kami alu-alukan permintaannya.

African Tragedy. Itu yang terpampang di skrin. Slide-slide yang menunjukkan penderitaan rakyat Afrika akibat HIV/AIDS. Yang paling menyentuh hati, kisah seorang ibu yang kematian suaminya disebabkan penyakit ini, dan dia turut menghidapi penyakit yang sama. (Yang anehnya, terngiang-ngiang lagu Teman Pengganti di telingaku waktu ini :P)

Slide terakhir. Sangat 'epic', doktor membaca ayat 32 daripada surah Al Isra' yang bermaksud, Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji. Dan suatu jalan yang buruk.

Semoga aku mampu mengamalkan apa yang telah aku belajar.


------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Lupa.

Samada benar-benar lupa atau buat-buat lupa.

..."Ya Tuhan kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami tersalah... (Al Baqarah, ayat 286)

Allah tahu.


------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Nikmat.

"Saya beri peluang tiga kali untuk anda menarik dan menghembus nafas, tapi tiada sepatah Alhamdulillah pun yang anda tuturkan."

Program LIFE tadi, sasarannya kepada pelajar tahun satu, tetapi aku sendiri pun terasa 'zouq'nya. Mungkin disebabkan beberapa hari ini nikmat yang sering dilupakan atau disalahgunakan Allah tarik sekejap, iaitu nikmat talian internet dan air.

Yang perlu diingatkan, nikmat bukan milik kita. Bila-bila masa tuan punya segala nikmat boleh tarik balik. Anggaplah ia suatu pinjaman, yang mana barang pinjaman hendaklah dijaga dan digunakan sebaik mungkin sebelum dikembalikan kepada pemilik.

Hasbiyallahu wa nikmal wakil.


------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Kekasih.

Layakkah aku menjadi kekasihmu, andai silsilah keluargamu tidak aku kenal sebaiknya.
Layakkah aku menjadi kekasihmu, andai sirahmu tidak aku cakna.
Layakkah aku menjadi kekasihmu, andai sabdamu tidak berada di minda.
Layakkah aku menjadi kekasihmu, andai sunnahmu tidak diamal anggota.

Layakkah aku untuk mengatakan aku mengasihimu ya Rasulullah?
Sedang kasihmu terhadap kami ummatmu tiada bertepi.

Allahumma solli ala Muhammad.


------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Solat Jumaat: Cerita yang mungkin kita tidak pernah dengar.

Solat Jumaat difardhukan pada zaman makki, namun baginda SAW tidak pernah menghimpunkan orang-orang Islam untuk solat Jumaat di Makkah. Ini kerana baginda bimbang serangan kaum musyrikin terhadap mereka. Pada masa yang sama, As'ad bin Zararah solat Jumaat bersama orang-orang Islam di Madinah, sebelum kedatangan Rasulullah SAW.

Imam Qurtubi menaqalkan bahawa Ibnu Sirin berkata: Penduduk Madinah berhimpun sebelum kedatangan Nabi SAW ke Madinah, dan sebelum diturunkan kewajipan solat Jumaat. Merekalah yang menamakannya Jumaat. Mereka berhimpun bersama As'ad bin Zararah, dan beliau solat bersama mereka sebanyak dua rakaat, kemudian memberi peringatan kepada mereka. As'ad menyembelih seekor kambing untuk mereka. Mereka makan malam dan siang daripadanya, kerana bilangan mereka yang sedikit. Ini adalah Jumaat yang pertama dalam Islam.

Berkata Baihaqi: Kami meriwayatkan daripada Musa bin Uqbah, daripada Ibnu Syihab az-Zuhri bahawa Mus'ab bin Umair adalah orang pertama yang menghimpunkan Jumaat di Madinah bagi orang-orang Islam sebelum kedatangan Rasulullah SAW. Berkata Baihaqi: Boleh jadi Mus'ab yang menghimpunkan mereka, dengan bantuan As'ad bin Zararah.

Rujukan: Ke Arah Memahami Fiqh Aulawiyat karangan Dr Majdi Hilali, diterjemah dan diterbitkan oleh PMRAM.


------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Pilih.
"Erti hidup dengan memilih." - Amin Idris (Bicara Selebriti 7)

"Kiri atau kanan jalan mana yang kau pilih, dalam alam misteri yang aneh." - Aneh, KRU

"80% of life is about making decisions. The rest are just bonus."

Banyak betul 'quote' tentang membuat pilihan dalam hidup. Ada yang selesa begini, ada yang selesa begitu. Ada yang suka iOS, ada yang suka Android. Ada yang suka gemuk, ada yang suka kurus.

Firman Allah dalam surah As Syams,
Sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwa itu, dan sesungguhnya merugilah orang yang mengotorinya. (9 - 10)

Antara taat dan maksiat, kau pilih yang mana?

Andai maksiat yang dipilih, ingatlah Allah tidak binasa jika kau bermaksiat kepada-Nya, sebaliknya engkau sendiri yang binasa atas sebab maksiat yang engkau sendiri lakukan!

Utamakan iman dan akal berbanding nafsu.


------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Posisi.

Aku pernah mendengar daripada seseorang, katanya zaman Rasulullah dahulu tidak semua sahabat itu ulama', tetapi setiap orang punya kemahiran dan posisi mereka sendiri dalam memperjuangkan Islam. Ada yang mahir bersyair, ada yang menjadi panglima perang, ada yang mahir dalam ilmu-ilmu tertentu. Senang kata, kalau zaman kita ni daripada sehebat-hebat orang sehinggalah orang yang tak gosok gigi sekalipun, mereka tetap ada peranan masing-masing.

Maka kerja-kerja dakwah Islamiah ini tanggungjawab bersama, bukan sekadar tugas para ustaz dan ulama'.

Masing-masing berusaha untuk menegakkan Islam melalui posisi masing-masing.

Politik, perubatan, kejuruteraan, namakan apa saja, tapi jangan katanya suku, Islam suku.


------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Masak.

Merantau di negara asing, ada masanya kempunan untuk menikmati makanan dan lauk-pauk negara sendiri. Kemudahan internet yang ada digunakan untuk mencari resepi. Mudah. Boleh sangat kalau nak masak kalau tahu caranya.

Yang cerewet sedikit, ialah penyediaan bahan-bahan untuk memasak. Samada malas pergi beli atau bahan tersebut tidak ada di pasaran. Maka usaha di sini kena lebih sikit. Duit pun kena keluar, masa pun kena korbankan (lebih-lebih kalau musim peperiksaan), tenaga pun kena guna.

Sama juga dalam memberi ucapan, menulis artikel atau penghasilan sebarang bentuk produk ilmiah. Kalau tidak ada 'bahan', maka nak 'masak' pun tak boleh. Kalau ada pun, mungkin cincai-cincai sahaja.

Hei, sedangkan dalam peperiksaan pun, kalau tak membaca nak 'goreng' jawapan pun tak boleh. :P

Bagaimana mahu menghasilkan 'output' sedangkan 'input' itu tidak ada?

Mood: Mencari input. Rabbuna yusahhil.


------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Universal.

Antara sebab yang menyebabkan saya membuat keputusan untuk menyambung pelajaran dalam bidang perubatan. Maka segala cita-cita bisnes kedai buku, arkitek dan cikgu bahasa inggeris ditolak ketepi.

Ternyata saya semakin nampak apa yang saya maksudkan dengan 'universal' dalam bidang perubatan melalui program CARE tadi. Tambah-tambah lagi bila dah masuk tahun klinikal ini.

Kesedaran sudah ada, sekarang wujudkan 'driving force'. :)


------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Matang.

Dalam suatu kisah, Imam Abu hanifah berjumpa dengan seorang budak. Budak tersebut kelihatan seakan-akan ingin tersadung, dek kerana selipar yang dipakainya.

Imam Abu Hanifah menegur; "Kau akan terjatuh kerana selipar itu." Imam memberikan peringatan.

Kemudian, budak tersebut menegur; "Bukankah engkau Imam Abu Hanifah?"

"Iya, akulah Imam Abu Hanifah."

Budak tersebut memberikan nasihat;

"Sekiranya aku tersadung, aku hanya akan tersadung di dunia, disebabkan selipar ini. Tetapi, sekiranya engkau wahai Imam Abu Hanifah, tersadung disebabkan jawatan engkau, engkau bukan sahaja tersadung di dunia, malah engkau juga akan tersadung di akhirat".

Imam Abu Hanifah menangis.

-petikan dari sebuah blog-


------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Keputusan.

Menentukan mana yang baik, mana yang buruk, itu mudah buat hamba yang beriman dan berakal.

Namun apabila pertembungan berlaku sekitar maslahah (kebaikan) mana yang perlu diutamakan , serta menentukan mafsadah (keburukan) mana yang lebih ringan untuk ditanggung, itu susah.

Berkata Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah,
"Bukan orang yang berakal itu, orang yang mengetahui perkara baik dari yang buruk, akan tetapi orang yang berakal itu adalah orang yang mengetahui yang mana terlebih baik antara dua perkara baik dan yang mana terlebih buruk antara dua perkara buruk."

Beranilah menghadapi risiko.


------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Nakama.

Ada masanya Allah temukan kita dengan orang yang kurang kemampuannya berbanding kita, agar kita sentiasa bersyukur kerana bukan kita bukanlah satu-satunya orang yang lemah dalam hidup.

Ada masanya Allah temukan kita dengan orang yang hebat berbanding kita, agar kita sentiasa sedar bahawa kita bukanlah satu-satunya orang yang hebat dalam hidup.

“Seorang muslim dengan seorang muslim yang lain itu ibarat bangunan yang saling kuat menguatkan.” (Hadith riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim)

Bila kita berseorangan barulah kita sedar hakikat ini.

0 orang tak puas hati:

Post a Comment