Pages

Subscribe:

Wednesday, October 10, 2012

::erti sebuah mimpi::




Mimpi.
Boleh membawa kepada pelbagai tafsiran yang berbeza. Ada mimpi yang sekadar mainan tidur, tidak punya apa-apa makna dalam hidup. Sekadar memuaskan nafsu manusia yang hanyut. Ada juga mimpi yang menjadi alamat berlakunya sesuatu pada masa hadapan, seperti dalam kisah Nabi Yusuf.

Dia juga manusia yang selalu bermimpi.

Namun ada satu mimpi yang tak mungkin dia lupakan. Padahal sudah sedekad lebih. Peristiwa yang berlaku di dalam mimpinya itu jelas direkod dalam memorinya. Ketika itu, dia masih seorang budak lelaki kecil berusia tujuh tahun. Kehidupannya pada waktu itu tidaklah begitu berada tetapi segalanya serba cukup.

Pada masa itu, dia mempunyai seorang datuk. Satu-satunya datuk yang dia pernah kenal. Datuk sebelah bapanya meninggal dunia ketika bapanya masih seorang mahasiswa di luar negara. Budak lelaki ini rapat betul dengan datuknya, dan datuknya benar-benar menyayangi satu-satunya cucu lelaki yang dia ada itu jika dibandingkan dengan cucu-cucu yang lain. Dia bersama keluarganya tinggal serumah dengan datuk dan neneknya, sehinggalah pada suatu hari mereka berhijrah ke ibu kota kerana pekerjaan ayahnya.

Suatu hari, budak itu telah didatangi satu mimpi. Dalam mimpi tersebut, dia ternampak sebuah kapal terbang di hadapannya, dan di muka pintu kapal terbang tersebut kelihatan datuknya sedang melambai-lambai ke arahnya. Dia memanggil-manggil datuknya yang dirindui itu, ingin mengikutinya. Dia memandang ke bawah, cuba mencapai selipar. Sejurus dia memandang kembali ke hadapan, kapal terbang tersebut telah meninggalkannya keseorangan.

Beberapa hari kemudian.

Budak lelaki itu melihat ibunya sedang memegang gagang telefon. Tiba- tiba titisan air mata mengalir di pipi ibunya itu. Mereka pulang ke kampung halaman tidak berapa lama selepas itu. Pada waktu itu, budak lelaki itu masih keliru dengan apa yang terjadi.

Lapan jam perjalanan sunyi.
Mereka tiba di sebuah hospital yang terkemuka di Bandar Kota Bharu. Budak lelaki itu masih tertanya-tanya mengapa mereka ke hospital yang berdekatan dengan kampung halamannya. Dia ternampak kelibat neneknya, lalu mereka berpelukan. Dalam pelukan itu, neneknya berkata,

“Dik, atuk dah tak ada.”

“Atuk tak ada? Atuk pergi mana?” Itu yang bermain dalam fikirannya. Kemudian dia dibawa ke sebuah wad di mana datuknya ditempatkan. Orang-orang yang berada di sekeliling kelihatan sedih dan bergenang dengan air mata. Seorang saudaranya cuba menenangkan keadaan,

“Jangan ratapi, banyakkan berdoa. Daripada Allah kita datang, dan kepada Allah kita kembali.”

Usia tujuh tahun. Usia yang cukup mentah untuk mengenali hakikat kehidupan dan kematian. Apa yang budak lelaki sangka, datuknya itu hanya tidur kerana demam. Malam itu dia tidur bersebelahan dengan tubuh kaku datuknya, mengharapkan datuknya akan bangun semula. Dia sangat rindu untuk bergaul mesra dengannya.

Namun, mana mungkin yang telah pergi akan kembali.

Suka-duka  bersama seorang insan yang bergelar datuk kini tinggal memori. Setiap kali pulang ke kampung, dia sering menatap rak buku milik datuknya. Datuk seorang yang kuat agama dan aktif dalam dakwah. Ketika majlis aqiqahnya, datuknya telah menjemput seorang ulama’ amilin yang masih ada hidup sehingga sekarang untuk upacara ‘belah mulut’ (menyuap makanan manis ke dalam mulut bayi/ tahniq). Perkara itu menjadi motivasi kepadanya untuk terus thabat dalam medan dakwah dan tarbiyyah.

Moga bertemu semula di Jannah, datuk!

2 comments:

  1. letak mknn manis dlm mulut bayi itu dinamakn sbg "tahniq" kn?..aqiqah tu lebih kpd sembelihan kalo x silap la...mohon pencerahan..

    ReplyDelete
  2. :) patut sajalah isteri budak tu apabila balik ke kampung selalu ditatapnya akan rak tersebut. :')

    al-Fatihah buat Atuk.

    ReplyDelete