Pages

Subscribe:

Sunday, September 9, 2012

::apabila hidayah menyapa::

MUQADIMMAH



Beberapa perenggan ditaip, kemudian dipadam kembali.

Itulah situasi yang sering menimpa diri ini sepanjang keberadaan di tanah rendah sekebun bunga ini. Ingin menulis sesuatu sebagai satu kebiasaan dan latihan, namun ada sahaja dugaan, cabaran serta alasan yang menjengah. Tak boleh jadi macam ni. Perlu tulis sesuatu juga. Harus memberi output di samping mendapatkan input.

Hampir sebulan berada di bumi Kelantan, Alhamdulillah masih diberi kesempatan untuk bersama keluarga tercinta. Walaupun sekejap, namun setiap detik perlu dimanfaatkan sebaiknya. Semoga diri ini sentiasa berusaha untuk istiqamah menjadi anak yang soleh yang berbakti untuk keluarga dan ummah. Kesempatan yang singkat ini juga digunakan untuk membeli dan membaca bahan-bahan bacaan baru untuk menambahkan input di samping menambah koleksi di perpustakaan peribadi. Selaku umat Iqra', kita perlu memupuk sikap membaca dalam diri untuk kejayaan dunia dan akhirat. Membaca tidaklah terhad kepada bahan bacaan agama sahaja, apa-apa bahan bacaan yang bermanfaat harus kita baca dalam mengharungi zaman fitnah ini. 

Kata seorang kenalan di Facebook,

Tujuan membaca ialah untuk mendapat ilmu yang Allah redha, bukan ilmu yang kita suka

Ada orang yang menghabiskan beratus-ratus kitab agama, tetapi dia tidak ubah seperti kitab tersebut. Kenapa? Kitab-kitab, risalah, malah komputer dan hard-disk kita mungkin mengandungi ilmu dalam bentuk tulisan, audio, video dan sebagainya, tetapi fungsi mereka hanya menyimpan ilmu tersebut. Oleh itu, orang yang hanya menyimpan ilmu tetapi tidak mengamalkannya samalah dia seperti kitab atau komputer.


Beramal dengan ilmu yang kita ada. Kalau tidak mampu buat semua, jangan tinggal semua.



BILA HIDAYAH MENYAPA

Salah satu buku yang sempat saya baca pada cuti kali ini ialah "Jumaat Bersama Tok Guru" oleh Ann Wan Seng, seorang aktivis Islam yang berketurunan Tionghua. Dalam buku ini beliau memuatkan ringkasan-ringkasan yang dibuat berdasarkan kuliah-kuliah TGNA yang diadakan di Medan Ilmu Kota Bharu setiap hari Jumaat. Pada pandangan saya, buku ini tidaklah terlalu berat dari segi pengisiannya, kebanyakannya pun benda yang kita sudah maklum, tetapi bagi saya ia memberikan peringatan yang baik terhadap perkara-perkara yang sering kita lupa. Apa yang saya suka mengenai kuliah-kuliah TGNA ialah beliau sering menyentuh perkara-perkara seperti halal haram, dosa pahala serta syurga neraka walau apa jua topik sekalipun. Jelas, ia menunjukkan peribadinya yang menjadikan akhirat sebagai tujuan dan dunia sebagai medan.

Antara yang menarik dan ingin saya kongsikan daripada buku tersebut ialah sebab-sebab mendapat hidayah:

1.Dia lahir dalam keluarga yang beragama, maka dia mendapat didikan secara langsung dan praktikal daripada ibubapanya. Orang ini amat bernasib baik.

2.Dia yang apabila lahir sahaja telah dikurniakan kesedaran dan petunjuk. Sejak kecil dia sukakan kebaikan dan kebenaran. Dia terus mencari dan mengamalkan. Orang seperti ini amat sedikit bilangannya. Ini adalah pemberian Allah secara wahbiah (secara anugerah).

3.Orang yang sepanjang perjalanan hidupnya bertemu golongan atau kelompok yang beragama Islam dan mengamalkan syariat Islam. Kehidupan mereka dilihat begitu baik dan bahagia lantas dia mengikuti golongan itu.

4.Orang yang sentiasa mencari-cari kebenaran, mereka akan membaca, mengkaji, membuat perbandingan serta melihat pelbagai golongan daripada pelbagai jenis agama dan ideologi serta bergaul dengan golongan itu, akhirnya mereka bertemu dengan kebenaran yang dicari-cari.

5.Orang yang mendapat pendidikan Islam, mendengar ceramah agama, mengikuti kursus-kursus agama, menghadiri majlis-majlis agama, maka dia akan mendapat petunjuk lantaran kesungguhannya itu.

6.Orang yang diuji oleh Allah, mungkin selepas menjadi kaya dia jatuh miskin atau mendapat penyakit yang kronik atau ditimpa bencana dan lain-lain lagi. Maka dari situlah dia sedar dan insaf. Lantaran itu dia mendekatkan diri kepada Allah.

7.Orang yang mendapat kebenaran Allah kerana Allah mengizinkannya mengalami pengalaman kerohanian seperti bermimpi mengenai alam barzakh, melihat orang diazab atau dia sendiri menerima azab atau melihat gambaran kiamat atau Allah memperlihatkan kepadanya pokok bersujud, bertasbih dan kejadian aneh yang lainnya. Selepas itu dia kembali ke jalan kebenaran.

8.Orang yang sedar selepas melihat ada golongan atau keluarga yang kehidupan duniannya begitu hebat, rumah besar, kaya-raya, kenderaannya mewah, harta banyak tetapi kehidupan mereka porak-peranda, krisis sering berlaku dan tiada ukhuwah dalam rumah tangga. Masing-masing membawa haluan sendiri. Peristiwa itu menyedarkannya bahawa kemewahan hidup tidak menjamin kebahagiaan di dunia atau di akhirat kelak.

9.Orang yang sentiasa dilimpahi kemewahan, serba ada, apa yang dihajati mudah diperoleh, berpangkat tinggi, wang ringgit melimpah-ruah, namun tidak merasa bahagia, kehidupan mereka porak-peranda lantas dia insaf dan akhirnya dia mencari jalan kebenaran.

10.Orang yang mendapat petunjuk kerana ada orang yang soleh atau orang yang bertaqwa mendoakannya, lantas doa itu dimakbulkan oleh Allah, maka Islamlah dia seperti Saidina Umar al-Khattab mendapat petunjuk kerana doa Rasulullah SAW.


FENOMENA ARTIS BERHIJRAH

Alhamdulillah hari ini kita selalu dihidangkan dengan berita mengenai artis-artis yang mula berhijrah ke arah kebaikan dan bersungguh-sungguh mengamalkan Islam dalam kehidupan. Kata Ustaz Azhar Idrus, sebenarnya 'fenomena' ini tidak pelik kerana setiap hari ada sahaja orang yang berubah, cuma disebabkan mereka artis maka orang tahu akan penghijrahan mereka itu. Kita doakan mereka agar terus istiqamah dalam jalan ini, semoga mereka menjadi kunci kebaikan dan kebajikan bagi peminat-peminat mereka serta mempromosikan hiburan yang mengikut syariat Islam.

Dalam masa yang sama, ada dalam kalangan mereka yang baru berhijrah ini dihebahkan media sebagai 'terlebih alim' berikutan beberapa isu yang berlaku. Saya tidak pelik melihat situasi ini, kerana mereka sendiri baru belajar.

Ilmu itu ada tiga jengkal, Jengkal 1 -> yang membuat sombong, Jengkal 2-> membuat rendah hati, Jengkal 3 -> membuat kita merasa semakin harus banyak belajar.

 Perkara sebegini juga pernah berlaku kepada saya suatu masa dahulu. Dalam keadaan ini, para pendakwah seharusnya bijak menangani mereka (artis-artis yang berhijrah) dan membimbing mereka dengan hikmah. Artis-artis yang berhijrah ini juga perlulah thiqah dan hormat kepada alim ulama' kerana perjalanan mereka masih jauh, masih banyak yang belum diketahui.


PENUTUP

Hidayah itu milik Allah dan hanya Dia yang layak menentukan siapa yang berhak mendapatkannya. Kita hanya mampu berusaha dan bertawakal. Apabila hidayah menyapa, maka jawablah seruan itu kerana kita tidak tahu bila akan ia kembali lagi.

Dalam masa yang sama, saya mengingatkan diri saya dan para pembaca agar mendoakan saudara-saudara seakidah kita di Syria, Palestin, Burma dan seluruh dunia. Ingatlah mereka dalam doa kalian.

Sekian.

Jom hayati bait lirik lagu ini:


0 orang tak puas hati:

Post a Comment