Pages

Subscribe:

Friday, June 15, 2012

::destinasi sebuah advencer::

Sedikit sekali mengingati mati dan akhirat.

Kurangnya mengingati mati dan kampong akhirat akan mengakibatkan lemahnya keinginan dan kemahuan dan lambatnya kegiatan sama sekali (kerana tidak memikirkan keadaan setelah mati dan di akhirat nanti.

Untuk memperoleh hikmah mengingati mati, Rasulullah SAW bersabda, “Aku dahulu pernah melarang kamu menziarahi kubur, maka sekaranglah berziarahlah kubur, kerana ziarah kubur itu dapat menjadikan orang bersikap zuhud terhadap dunia dan mengingatkan kepada akhirat.” (Riwayat Ahmad)

Rasulullah SAW bersabda, “Wahai manusia! Malulah kamu kepada Allah dengan benar-benar malu.” Lalu ada seorang lelaki berkata, “Wahai Rasulullah, sesungguhnya kami merasa malu kepada Allah Ta’ala.” Kemudian baginda bersabda, “Barangsiapa di antara kamu merasa malu (kepada Allah) maka janganlah ia memasuki malam hari kecuali ia merasa bahawa ajalnya telah berada di antara kedua matanya dan hendaklah ia menjaga perutnya dengan segala isinya, menjaga kepalanya dengan segala muatannya, dan hendaklah ia mengingat kematian dan kebinasaan, dan meninggalkan perhiasan kehidupan dunia.” (Riwayat Ibnu Majah)
(Antara sebab - sebab futur dalam perjuangan Islam, kitab Wabak Sepanjang Jalan.)


Minggu ini, nenek kepada seorang rakan kuliah saya meninggal dunia. Perantau mana yang tidak sedih tatkala dia sedang berkelana orang yang tersayang menghadap Yang Maha Esa di kampung halaman. Semoga dia tabah dengan ujian yang menimpa. Ujian hebat untuk orang yang hebat.

Semalam, seorang murabbi ummah juga telah kembali ke rahmatullah. Jasad kurus yang mungkin namanya tidaklah dikenali ramai pada zaman sekarang namun sentiasa gigih dalam perjuangan Islam. Orang yang saya tidak sempat temui walaupun arwah merupakan bapa saudara kepada bapa saudara saya (abang ipar mak saya). Itulah Ustaz Yahya Uthman.

Sebak hati apabila mendengar perkhabaran melalui Facebook. Mama turut menghantar mesej, "pak sedara ayah ngah kholah-dato' yahya(ustz ya) meninggal lepas asar td al fatihah.." Walaupun diri ini tidaklah seperti orang lain yang pernah berusrah, mendengar ceramah beliau secara langsung namun bila membaca artikel yang ditulis oleh Dr.MAZA, Ustaz Ridhuan Mohamad Nor dan YB Saifudin Nasution mengenai pengalaman mereka bersama almarhum, diri ini bertambah sedih. Beliau meninggalkan kita sewaktu perjuangan Islam masih memerlukannya. Teringat pula kitab "Amal Jamai : Pengertian dan Tuntutannya" yang dibeli sewaktu cuti revolusi Mesir tahun lepas, masih belum saya hadam sepenuhnya, mungkin sebab disiplin membaca yang kurang. Semoga kehilangan beliau bukan melemahkan kita dalam perjuangan, tetapi lebih membuatkan kita lebih bersemangat dengan mengamalkan segala ilmu yang ditinggalkannya.


   
“Ana sayangkan antum semua ini, antum semua anak ana, antum semua masa depan perjuangan Islam,” 
“Jangan lupakan program tarbiah, jangan lupa baca Al Quran walau sesibuk mana pun kamu”


Hari Jumaat yang barakah ini, saya menyertai saudara Izzat Hadi dan beberapa adik - adik tahun 1 yang belum pulang ke Malaysia menziarahi makam seorang wali di Dirasat. (Saya lupa pula namanya). Kami turut menziarahi kawasan perkuburan di belakang masjid, terdapat sebuah kubur yang besar menempatkan para syuhada' perang antara Mesir - Israel. Allah. Mereka kembali dalam keadaan yang baik. Bagaimana dengan aku nanti?

Madah ketiga yang bakal saya hadapi pada Selasa ini, Pathology. Belajar mengenai pelbagai penyakit. Bila difikirkan semula, mengulangkaji madah ini sepatutnya buat saya lebih ingat kepada mati. Ingat kepada destinasi sebuah advencer. Bukan sekadar belajar untuk lulus dalam peperiksaan semata - mata. Moga Allah mengurniakan perasaan itu kepada aku. Doakan wahai teman!


Kadangkala kita sering terlupa destinasi yang bakal kita tuju. Namun bersyukurlah apabila ada yang mengingatkan.

0 orang tak puas hati:

Post a Comment