Pages

Subscribe:

Friday, August 13, 2010

::ischemia::



Sekali lagi , tajuk tiada kena mengena dengan entri . Ischemia ialah term yang paling selalu dijumpai semasa belajar Cardiovascular System , iaitu kekurangan blood supply ke muscles .


NOTA KAKI

Sedikit tambahan daripada entri yang lepas mengenai pembelian barangan boikot .

Jual beli barangan boikot seperti yang anda ketahui , adalah sah , tetapi hukumnya haram mengikut sepakat kebanyakan ulama’ masa kini. Maksudnya , pembelian adalah sah tetapi berdosa . Saya mendapat tahu perkara ini semasa mengikuti diskusi kitab semasa cuti musim panas baru – baru ini .

Maknanya , sudah banyak kali kita melakukan dosa tanpa disedari dengan sewenang – wenangnya . Cuba kita lihat di kedai – kedai , kebanyakan barang yang dijual adalah barang yang perlu diboikot . Kalau anda mahasiswa / wi Mesir , tentu anda bersetuju bahawa hampir semua kedai menjual minuman Coca Cola mahupun Pepsi . Malah , air mineral berjenama Dasani (keluaran Coca Cola) atau Aquafina (keluaran Pepsi) lebih banyak kelihatan berbanding air mineral berjenama Hayat atau Mineral . Bahkan , jajan atau cekedis kegemaran ramai , Chipsy dan Doritos juga merupakan produk keluaran Pepsi .

Sukar untuk dipercayai , bukan ? Terutama mengenai jenama yang ada di Mesir tetapi tiada di Malaysia . Cadangan saya , sebelum anda membeli sesuatu barangan , cuba lihat dulu di bahagian belakang bungkusan dan periksa nama kilang tempat ia dihasilkan . Sebagai contoh , minuman berkarbonat Fanta . Jika anda perhatikan , ia dihasilkan di kilang yang sama dengan Coca Cola . Jadi , nak tak nak kena cari juga alternatif untuk mendapatkan produk yang sama tetapi tidak diboikot , seperti minuman berkarbonat Fayrouz ( jarang dijual dan kalau adapun , tidak banyak pilihan perisa ) .

Nasihat buat diri - sendiri dan rakan - rakan : Cuba sedaya upaya untuk tidak membeli barangan boikot . Kalau dah terdesak sangat maka barulah beli . Walaupun tampak remeh , tetapi ia perkara yang berdosa . Dosa diri sudah banyak , takkan nak tambah lagi kan ?

SEMUA ITU KETENTUAN TUHAN

Beberapa minggu yang lepas keputusan peperiksaan bagi pelajar Universiti Mansurah dikeluarkan . Tahniah kepada batch tahun 1 09/10 kerana ada seorang pelajar yang mendapat pangkat Mumtaz dalam semua subjek . Alhamdulillah . Walaupun keputusan diri sendiri pun tidaklah sebagus mana , namun masih boleh melanjutkan diri ke tahun 2 pun sudah dikira nikmat yang besar . Universiti Mansurah pernah digelar sebagai “Pusat Gagal” oleh sesetengah pihak kerana sistem peperiksaan yang sukar dan ramai pelajar yang gagal sehingga ada yang terpaksa pulang ke Malaysia kerana disingkirkan oleh pihak universiti . Tetapi hakikat yang sebenarnya , mana – mana pun , pengajian perubatan adalah susah . Universiti lain pun ada juga pelajar yang rasib . Semuanya ketentuan Allah semata .

Sudah menjadi adat kehidupan , ada masanya kita berada di bawah dan ada masanya kita berada di atas . Hidup tak lepas dari ujian . Dan , seharusnya manusia redha dengan segala nikmat atau musibah yang dikurniakan ke atasnya , kerana jika tidak , ini bererti dia tidak meredhai Allah yang mengurniakan perkara tersebut ke atasnya .

Diwajibkan atas kamu berperang, padahal berperang itu adalah sesuatu yang kamu benci. Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui. – Al Baqarah ayat 216

Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat siksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya. (Mereka berdoa): "Ya Tuhan kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami tersalah. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau bebankan kepada kami beban yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang sebelum kami. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tak sanggup kami memikulnya. Beri ma'aflah kami; ampunilah kami; dan rahmatilah kami. Engkaulah Penolong kami, maka tolonglah kami terhadap kaum yang kafir." Al Baqarah ayat 286

Jadi kepada sesiapa yang mendapat keputusan yang kurang baik , cuba lagi semasa Dur Thani nanti . Lebih baik kita gagal sekarang daripada gagal semasa kita bekerja menjadi doktor nanti , yalah , kesihatan pesakit bergantung kepada keputusan kita . Jika kita silap , buruk padahnya . Yang paling penting , sentiasa beringat bahawa setiap perkara yang berlaku adalah ketentuan Allah semata . Mungkin ini lebih baik untuk kita , mana tau jika kita diberi keputusan yang baik , kita akan menjadi ujub dan lupa akan Tuhan , serta menganggap bahawa usaha kita yang memberikan kejayaan tersebut .

Kepada yang berjaya pula , sentiasalah bersyukur , jangan berasa megah dengan keputusan tersebut kerana ia baru ujian dunia , belum lagi ujian yang menentukan tempat kita di akhirat kelak lagi . Ujian akhirat lagi susah dari ujian dunia . Dan , ingatlah bahawa kecerdikan anda sebenarnya hanya pinjaman , bila – bila masa sahaja boleh ditarik . Kita manusia tidak punya apa , Allah sahaja pemilik segala . Ada kelapangan , bantulah mereka yang akan menduduki Dur Thani semasa Ramadhan ini juga Insha Allah .

KITA DAN UJUB


Pada kesempatan cuti musim panas lepas juga saya berkesempatan mengikuti diskusi kitab “Pecahkan Patung Ujub Dalam Dirimu” karya Dr Majdi Hilali anjuran Madrasah Imam Nawawi di bawah naungan Perubatan Cawangan Mansurah . Fiqh Muamalat dari kitab Fiqh Manhaji juga dibentangkan bersama . Sesuai dengan saranan ulama’ yang menyatakan 3 cabang ilmu agama yang utama : Tauhid , Fiqah , dan Tasawuf . Alhamdulillah , di Mesir banyak kelas – kelas yang menekankan ketiga – tiga cabang ilmu ini , yang mana bukan sahaja disertai mahasiswa / wi jurusan agama , malah jurusan sains kesihatan juga . Ya , ilmu itu tidak sepatutnya dijuzukkan kepada golongan tertentu sahaja . Jika mampu , kejarlah semua ilmu yang mampu dipelajari sebab niat kita belajar bukan untuk peperiksaan semata , untuk menambah kecintaan dan rasa takut kepada pemilik ilmu itu sendiri .

Berbalik kepada diskusi kitab tadi , saya ingin berkongsi sedikit ilmu yang diperolehi daripada program tersebut . Ia bukanlah 100% daripada kitab tersebut tetapi daripada huraian ustaz juga .

• Iman setiap manusia perlu ditarbiyah . Seperti yang kita tahu , iman seseorang boleh bertambah atau berkurang , jadi takkan kita nak biarkan iman kita sentiasa di paras kritikal , bukan ? Contohnya , ramai orang yang mengetahui kelebihan bertahajud , dan cuba untuk menunaikannya tetapi tidak mampu bangun walaupun banyak jam loceng dipasang . Ini adalah contoh manusia yang imannya kurang tarbiyah . Jadi , walau sebanyak mana pun ilmu yang kita ada , iman itu kena tarbiyah juga .

• Bila bertambah iman , bertambah kesannya terhadap ibadah yang dilakukan .

• Orang yang benar – benar beriman hanyalah apabila disebut nama Allah , gementar hatinya . Adakah kita tergolong dalam golongan ini ? Jika tidak , neraka lebih layak bagi kita . Nauzubillah .


• Ramai manusia yang melakukan banyak amalan , tetapi tidak ramai yang menjaga kualiti amalan tersebut . Ini disebabkan amalan yang dibuat hanya kerana nafsu semata , bukan kerana Allah . Sepatutnya kita mementingkan kualiti daripada kuantiti . Orang yang tidak bertahajud namun menyesal kerana tidak dapat bertahajud lebih baik daripada orang yang bertahajud tetapi melakukannya hanya untuk berbangga di hadapan manusia .

• Antara tanda kita membuat amalan secara ikhlas ialah dengan tidak mengingat kembali amalan yang telah dibuat . Sekarang ramai di antara kita yang berbangga dengan pencapaian (anugerah) atau jawatan yang pernah disandarkan kepada kita pada sebelumnya , sehingga menyenaraikannya satu persatu di dalam laman web , Facebook mahupun blog . Dan , sekiranya ingin melakukan sesuatu amalan sebaik – baiknya disembunyikan . Kita sibuk menunjukkan amalan yang baik di hadapan orang ramai , tetapi malu untuk menunjukkan amalan yang tidak baik .


• Lebih baik kita berkawan dengan orang yang jahil namun tidak redha dengan diri sendiri , berbanding orang alim yang redha dengan diri sendiri . Maksudnya , lebih baik kita mempunyai kawan yang mengingatkan kita tentang betapa hinanya kita di sisi Allah walaupun dia tidak berilmu berbanding berkawan dengan orang yang punya ilmu tetapi buat kita semakin sombong dengan Allah .

• Adapun perkara – perkara yang merosakkan amalan : sifat tamak , hawa nafsu dituruti dan kagum dengan diri sendiri .


• “Tidak masuk syurga sesiapa yang hatinya mempunyai kesombongan walau sebesar biji sawi”

• Hendaklah kamu makan seperti hamba , duduk seperti hamba , kerana sesungguhnya kamu
adalah hamba .

• Syurga adalah balasan kepada orang yang berjaya membersihkan hatinya .

• Tidak semua amalan kita diterima Allah , lebih – lebih lagi amalan yang beserta ujub .

• Kalau seseorang melakukan syirik , solatnya tidak diterima selama 40 hari .

• Tanda syirik – mempercayai ada makhluk selain Allah yang memberi manfaat dan mudarat . Contoh , jika kita mendapat sesuatu kejayaan , dan kita percayai bahawa itu adalah hasil usaha keras kita dan tawakal kepada Allah , itu adalah syirik kerana kita menyamakan taraf usaha kita dengan bantuan Allah kepada kita . Sepatutnya , kita patut percaya bahawa segala kejayaan itu datang dari Allah , dan usaha keras kita itu adalah sebagai suatu tuntutan Allah ke atas hambaNya .

• Contoh – contoh ujub dalam kehidupan seharian kita :

1)Pelajar yang merasakan dirinya hebat , sentiasa meraih kejayaan tertinggi berbanding orang lain dan berasa tidak senang jika ada yang melebihi dirinya .

2)Wanita yang pandai memasak , dahagakan pujian apabila masakannya dijamukan kepada orang ramai .

3)Guru yang pandai bercakap , mengagumi kehebatan bicaranya .

• Hakikat ujub , kata Ibnu Mubarak : Kamu lihat diri kamu ada sesuatu yang tidak ada pada orang lain .

• Orang yang berasa aman daripada azab Allah adalah orang yang rugi .

• Antara sebab – sebab diri berasa megah dan wujudnya patung ujub dalam diri :

1)Kita tidak kenal Allah
2)Kita tidak kenal diri sendiri
3)Mengabaikan pembersihan diri (Tazkiyatun Nafs)
4)Banyak kejayaan yang diperolehi

• Sepatutnya bila kita ada banyak ilmu , kita jadi semakin tawaduk , bukan semakin sombong .

• Kata Hasan Al Basri : Kalau kata – kata manusia itu semua betul , pastilah dia akan jadi gila .

• Berwaspadalah dengan kata – kata kamu sekarang , jika lidah kamu sekarang banyak dibasahkan dengan carutan dan kata – kata yang keji , maka semasa kamu nazak , saat kamu hendak menghembuskan nafas yang terakhir , kata – kata inilah yang kamu akan sebut , bukannya kalimah syahadah . Oleh itu , basahkan lidahmu dengan zikrullah mulai sekarang .

• Bila dilanda musibah , jangan anggap bahawa Allah membenci kita , dan apabila dilanda nikmat jangan menganggap bahawa Allah sayangkan kita .

Ini serba – sedikit ilmu yang dapat saya kongsi . Sebenarnya ada lagi , cuma saya tak berani nak tulis sebab tak pasti dengan perkataan arab . Saya tak pandai membaca arab pun , hanya mendengar penerangan daripada ustaz je banyak . Insha Allah , moga kita dapat amalkan apa yang kita belajar .

Ramadhan Kareem .

0 orang tak puas hati:

Post a Comment