Pages

Subscribe:

Friday, April 30, 2010

::adolescence::




Kadang – kadang aku terfikir soal umur aku sekarang . Umur aku sekarang 18 tahun 9 bulan . Tak lama lagi aku bakal memasuki zon 19 tahun , bermakna tinggal setahun sahaja lagi untuk aku memasuki dekad yang kedua . Orang kata aku masih muda lagi . Tapi tidak . Aku rasa aku dah tua . Dah hampir memasuki zon dewasa . Mungkin ada yang tak suka bila umurnya meningkat . Dan akulah salah seorangnya .

Aku rasa selama 18 tahun aku menghirup nafas di bumi Allah SWT , hampir kebanyakan masanya aku habiskan dengan perkara sia –sia . Perkara batil . Aku pun tak pasti mengapa aku mengatakan demikian . Ya , memang betul aku ada ke sekolah , belajar itu ini , jumpa dengan pelbagai jenis orang , lepas itu buat aktiviti – aktiviti sampingan di rumah , tetapi bila fikir balik , kalau dihisab perkara hak dengan perkara batil , aku rasa perkara batil aku lebih banyak . Dulu aku pernah meniru dalam ujian Pendidikan Islam semasa Tingkatan 1 , aku letakkan buku di tepi kerusi . Entah ke mana letaknya akal fikiran aku ketika itu . Buku teks Pendidikan Islam , jelas terisi ayat – ayat suci Al – Quran , boleh aku letakkan di tempat yang tidak sepatutnya ? Kalaulah “jelmaan diri” aku ketika itu muncul di hadapan aku sekarang , sudah pasti aku betul – betul menyesal dengannya . Itukah aku ?

Dan ada juga saat aku menyesal kerana aku tidak ke sekolah agama . Semasa itu , aku fikir , kalaulah aku ke sekolah agama , sudah pasti sekarang aku paling kurang pun menghafal hadis 40 . Tetapi aku salah . Sebab sekolah agama sekalipun tidak menjanjikan keimanan yang sempurna sekiranya individu itu lebih suka dengan perkara kebatilan berbanding perkara yang hak . Sekolah tidak menjamin apa – apa . Yang penting individu itu sendiri . Saat itu juga aku tahu mengapa nabi melarang kita menggunakan perkataan “kalaulah” . Maaf , bukan niat aku untuk menghina pelajar sekolah agama , kerana kadang – kadang aku juga malu kerana bersekolah di institusi sekular , tetapi ada juga rakan – rakanku yang bersekolah di sekolah agama , tetapi tidak mengamalkan apa lebihan ilmu yang mereka dapat berbanding kami di sekolah biasa . Dan , ada juga rakan – rakanku di sekolah biasa , di mana ilmu agamanya sangat mantap .

Namun aku masih bersyukur sebab aku berkesempatan untuk belajar di MRSM . Kehidupan MRSM banyak membuka fikiran aku yang sempit . Aku tak pernah pun terbabit dengan usrah sehinggalah aku masuk MRSM . Aku belajar hidup berdikari . Aku mendapat pengalaman menguruskan amanah dan tanggungjawab melalui berpersatuan . Dan aku berjaya untuk hidup dalam suasana yang mana hitamnya lebih banyak dari yang putih . Paling penting , aku berjaya berubah , walaupun aku gagal mendapat keputusan 10 A1 . Namun , bagi aku , pengalaman yang aku dapat itu lebih berharga dari itu .

Sesekali aku tatapi sirah nabi dan sahabat . Rasulullah SAW sewaktu kecilnya menyara kehidupan dengan mengembala kambing . Saidina Ali pula menggantikan nabi di katil semasa peristiwa hijrah , dan tidak silap aku , umurnya pada ketika itu dalam lingkungan 8 hingga 10 tahun . Sultan Muhammad Al Fateh menawan Constatinople pada saat umurnya 20 tahun . Tetapi bagaimana dengan aku ? Aku sewaktu berumur 5 tahun masih berhingus , asyik dengan konsol Sega Megadrive , menonton Power Rangers dan lain – lain . Dan pada saat umurku sekarang aku masih lagi disara ibubapa . Aku pernah mendengar , Rasulullah bersabda bahawa seseorang remaja itu haruslah menyara hidupnya sendiri pada umur 21 tahun . Dan , jangka itu sudah tidak lama bagi aku . Ya , tahniah bagi aku kerana aku baru sahaja mendapat tahu yang hidup aku selama ini lebih banyak kebatilan dari yang hak .

Fatrah imtihaan ini sedikit sebanyak menyedarkan aku dari sudut keduniaan dan akhirat . Ya , semakin banyak masa yang aku luangkan untuk menelaah pelajaran , dan aku perlu sedar juga aku perlu luangkan masa aku untuk Tuhanku juga . Setiap perkara ada haknya . Ramai orang di sekeliling aku yang sanggup tidak tidur malam sebelum peperiksaan . Betapa pentingnya peperiksaan ini bagi kami semua . Pernah aku terdetik , mungkin inilah hikmahnya Allah SWT menjadikan saat ajal itu satu rahsia . Yalah , kalau sudah ditetapkan si A mati pada esoknya , tentu pada malamnya dia akan bersungguh – sungguh bertaubat , bermunajat kepada Tuhannya . Cuba tanya apa – apa soalan kepada mana – mana pelajar sewaktu musim peperiksaan . Keberangkalian mereka untuk menjawab dengan betul lebih tinggi berbanding waktu biasa . Begitu juga dengan seseorang yang diturunkan ujian ke atasnya . Seseorang yang bersin kerana selsema lebih banyak memuji Allah berbanding seseorang yang leka dengan kehidupan dunianya .

Berbalik kepada peningkatan umur , aku rasa tanggungjawab aku semakin hari semakin banyak . Tanggungjawab kepada Allah . Kepada ibubapa . Keluarga . Islam . Dan saudara – saudara aku yang ditindas oleh kekejaman kafir dan yahudi . Dan aku rasa lebih baik aku berikan keutamaan kepada benda lain dahulu berbanding keutamaan kepada aku sendiri . Aku rasa aku tidak perlu kisah lagi tentang soal yang selalu menjadi dilema remaja zaman sekarang : Kahwin . Secara jujurnya aku rasa aku perlu mengetepikan soal itu dahulu . Sebab aku bimbang perkara itu akan membantutkan usaha aku ke arah menyelesaikan tanggungjawab yang aku tak selesaikan lagi . Banyak juga cerita yang aku dengar mengenai orang yang kuat mentarbiyah sana – sini , namun selepas kahwin senyap begitu sahaja . Dan aku tak nafikan ada juga yang masih meneruskan perjuangan dengan bantuan sayap kiri . Tetapi , begitulah . Aku hanya serahkan soal ini kepada Allah . Kalau dah sampai waktunya , InsyaAllah akan terjadi juga . Yang penting , aku perlu bina fardhu muslim aku sebaiknya dahulu , sebelum tiba waktu aku mendirikan baitul muslim .

Baba dan mama ,
Sesungguhnya walaupun ada yang hitam di sebalik yang putih ketika kamu berdua membesarkanku ,
Namun dengan cara itulah aku menjadi diri aku yang sekarang.
Tidak dapatku membalas jasa kalian , hanya Allah sahaja yang mampu .
Dan , aku harap aku juga akan mewarisi kedewasaan kalian . InsyaAllah.



Ya . Aku telah membazirkan masa aku untuk menulis entri ini . Jom buat benda lebih berfaedah .

0 orang tak puas hati:

Post a Comment