Pages

Subscribe:

Friday, March 5, 2010

::akhawat::


Perempuan.An-Nisa.Female.Onna . Semua membawa maksud yang sama . Allah jadikan kita manusia terdiri daripada lelaki dan perempuan . Lelaki memerlukan perempuan dalam hidup mereka dan begitulah sebaliknya . Bukan saya suka – suki untuk menulis entri mengenai sang hawa , bukan untuk memburukkan namun untuk berkongsi pendapat , pengalaman dan apa-apa sahaja dari sudut perspektif seorang musafir . Musafir yang asalnya bertopi namun sejak kebelakangan ini jarang bertopi entah mengapa jangan tanya , kerana ia tiada kaitan dengan entri yang biasa ini .

46 , XX

"Wahai seluruh manusia, sesungguhnya Kami telah menciptakan

kamu (terdiri) dan lelaki dan perempuan, dan Kami jadikan

kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar kamu saling

mengenal. Sesungguhnya yang paling mulia di antara kamu

adalah yang paling bertakwa." – Al Hujurat , Ayat 13

Secara terus terang , walaupun saya dilahirkan sebagai anak lelaki tunggal dalam adik-beradik , namun tidaklah bermaksud saya seorang yang memahami perempuan . Juga bukanlah bermaksud saya rapat atau mesra dengan mereka . Secara jujurnya , di laman FB juga , dalam ramai-ramai perempuan yang menjadi kenalan di sana , kebanyakannya saya tidak pernah tegur pun di dunia sebenar . Hanya menjadi teman alam maya semata .

Saya lebih senang membahasakan perempuan dengan “akhawat” (saudara perempuan) . Dahulu , saya senang bergaul dengan akhawat , sering berSMS , berYM , dan study group bersama . Pendek kata , hampir semua urusan terutama di sekolah menengah atas dahulu (yelah , sebelum ini sekolah menengah rendah di all boys school) , saya lebih suka mengamanahkannya kepada pihak akhawat . Kenapa ? Sebab sedia maklum , akhawat , bila dia dapat kerja / amanah , dia akan jalankan betul-betul , dan hasilnya selalunya tidak mengecewakan . Bukanlah saya bias kepada kaum saya sendiri , namun ini ternyata benar . Tapi setiap benda tak sempurna , bukan ? Walaupun sedemikian , saya dapati akhawat ini sedikit emo , jika ada perkara yang boleh menggugat emosi mereka , kerja pun mengikut emosi merekalah . Lalu proses pujuk – memujuk pun berlaku .

Tetapi saya khilaf selama ini . Selama saya selesa bergaul dengan akhawat , ada satu perkara yang saya tak ambil berat : IKHTILAT . Berdua – duaan dengan akhawat di bilik mesyuarat persatuan , kononnya masing – masing buat kerja sendiri , perkara yang tak sepatutnya saya buat dahulu . Atau mungkin juga lepak – lepak dekat café bercampur lelaki perempuan , kononnya buat study group . Teringat pulak kata – kata saudara Izzat Kamal seniorku ,

“Pergaulan bebas ni sesuatu yang bila orang pandang , dia tak sedap tengok ,”


Maksudnya , boleh membawa ke arah fitnah . Maaf , tetapi ingin dinyatakan bahawa akhawat ini fitnah paling besar buat ikhwah (saudara lelaki) . Jadi sebenarnya bukan perempuan sahaja yang harus mengelakkan mereka dari menjadi fitnah , lelaki pun perlu juga . Tidak adil jika satu pihak sahaja dipersalahkan . Suka saya gambarkan situasi ini seperti jongkang – jongket . Jika salah satu pihak yang membuat kesalahan (mengajak ke arah kemungkaran contohnya) dan ajakannya itu lebih berat dari pihak yang satu lagi (yang cuba mengelak dari kemungkaran) , maka yang salah yang akan memberati jongkang – jongket tersebut . Atau , lebih senang lagi dengan pernyataan ini :

“Kita mungkin boleh jaga diri kita dari ikhtilat , tetapi orang lain bagaimana ?”

Apa yang membuatkan saya berubah dari seorang yang senang bergaul dengan akhawat kepada seorang yang kurang berurusan dengan mereka ialah kerana saya dapati saya ini seorang yang mudah jatuh hati . Saya tidak kisah jika anda ketawa berdekah – dekah membaca pernyataan ini . Sebab ia perkara yang sah . Dahlah , mungkin tidak perlu anda tahu lebih lanjut , setakat tahu sebab sudah la ye .


AN NISA FII MASR

Advencer saya di bumi Mesir lebih mencabar , dengan kehidupan kampus yang bercampur lelaki dan perempuan tidak seperti di University Al Azhar . Dan , akhawat di sini juga berbeza berbanding di Malaysia . Anda boleh saksikan akhawat yang menutup penuh tubuh mereka dengan pakaian serba hitam , yang dinamakan “Tudung Ninja” oleh kelompok pelajar Malaysia yang nakal , dan anda juga boleh tengok akhawat memakai baju tights di dalam dengan skirt di luar , dengan tudung yang saya panggil “Tudung Firaun” di kepala . Mereka bebas bergaul sesama mereka , tidak kisah dengan rupa masing – masing yang berbeza . Secara peribadi , saya amat hormati para akhawat yang mengenakan niqab dan menutup aurat dengan sempurna – dengan syarat mereka mengenakannya hanya kerana takutkan Allah yang Maha Esa , bukan memakai mereka hanya kerana keluarga mahupun hal – hal lain . Ya , saya pernah mendengar cerita dari seseorang , tidak tahulah betul atau tidak , bahawa ada akhawat Arab yang mengenakan niqab tidak pandai solat , dan dia mengenakannya hanya atas suruhan keluarga . Mengenai akhawat Arab lagi , saya sendiri pelik kenapa mereka suka make – up berlebih – lebihan . Pada pendapat saya , wajah mereka lebih nampak “suci” jika tidak bermake – up . Dan , saya juga sering bimbang jika berselisih Arab yang berniqab , kerana pandangan mata mereka yang mampu mencairkan hati mana – mana ikhwah yang lemah iman . Astaghfirullah .


DARI IKHWAH KEPADA AKHAWAT

Setiap makhluk dijadikan berpasang – pasangan oleh Allah SWT , dan setiap orang inginkan yang terbaik buat pasangan hidup mereka . Sejahat mana seseorang itu pun , mesti dia akan cari pasangan hidup yang baik jugak . Jadi , setiap harus menjadi terbaik , menjadi skema . Skema Allah SWT . Kerana ikhwah yang baik hanya untuk akhawat yang baik dan begitulah sebaliknya. Tidak perlu malu . Islam itu perlu dihayati sepenuhnya , bukan diambil separuh – separuh kerana ia tidak akan sempurna . Biarlah tidak mempunyai rupa seperti ustazah , akhawat seharusnya memelihara dan menjaga perhiasan yang wujud di tubuh mereka dengan menutup aurat . Sejujurnya ramai ikhwah yang terseksa dek melihat pakaian – pakaian akhawat sekarang yang mencungkil bola mata mereka . Nasib baik tak keluar je . Kalau tidak mampu bertudung labuh , pakailah tudung yang mencukupi syarat yang dikenakan Islam iaitu menutup dada . Dan pakailah pakaian yang tidak menampakkan bentuk tubuh .

Katakanlah kepada wanita yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain kudung ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya, kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau ayah suami mereka, atau putera-putera mereka, atau putera-putera suami mereka, atau saudara-saudara mereka, atau putera-putera saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita Islam, atau budak-budak yang mereka miliki, atau pelayan-pelayan laki-laki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita. Dan janganlah mereka memukulkan kaki mereka agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan. Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, hai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung.
QS. an-Nur (24) : 31

Satu lagi quote dari saudara Izzat Kamal (haha…kalaulah dia baca blog ni) :

“Lelaki ni , bila dia nak pilih pasangan , dia tengok yang pakai tudung tutup dada dan pakai stoking “

Itu dari segi pakaian . Akhlak pun penting juga . Jagalah perangai di hadapan lelaki , lelaki pun kena jaga juga perangai di depan akhawat . Yelah , kalau setakat pakai niqab tapi ketawa mengalahkan ikhwah , tak boleh juga . Dan , jagalah maruah diri supaya tidak dicalari oleh kami yang lemah iman ini . Ikhwah juga , kenalah jaga diri jugak . Jangan asyik menyalahkan orang lain . Salahkan diri sendiri dahulu .

Supaya saya tidak terpesong dengan lebih jauh lagi , eloklah jika saya hentikan entri ini setakat di sini sahaja . Jadi minta maaf sekiranya ada silap dan salah dalam penulisan kali ini terutamanya kepada akhawat . Sesungguhnya setiap lelaki inginkan wanita yang baik untuk menjadi ibu yang baik kepada anak – anak mereka .

Ibu adalah akhawat yang seharusnya kita paling sayang .Rindu mama =)

(P/S : Sedang bingung siapakah Sang Musafir Berjilbab ?)

0 orang tak puas hati:

Post a Comment