Pages

Subscribe:

Thursday, January 9, 2014

Tulis.


Dunia semakin canggih. Laman-laman sosial semakin bertambah bilangannya bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Tidak cukup dengan Facebook, ada yang memilih untuk membuka akaun Blogger, Twitter, Instagram dan bermacam-macam lagi sebagai medium untuk berinteraksi dengan kawan-kawan yang jauh mahupun yang dekat.


Perkembangan tersebut secara tidak langsung menjadikan penulisan salah satu medium yang popular dalam segenap lapisan masyarakat, tidak kira dalam kalangan mereka yang berpendidikan tinggi mahupun remaja belasan tahun. Tulisan-tulisan mereka bukan sekadar hanya menjadi cakap kosong di laman sosial, malah ada tulisan-tulisan yang dikumpulkan menjadi sebuah buku yang bermanfaat.

Sebagai seorang pengguna aktif laman sosial khususnya Facebook dan Blogger, saya sendiri tidak ketinggalan untuk sentiasa menghasilkan tulisan-tulisan bagi memastikan idea-idea yang berlegar di minda tidak dibazirkan begitu sahaja. Seorang penulis yang saya kagumi pernah berkata, seorang penulis perlu sentiasa berimaginasi kerana dari imaginasi tersebut lahirnya idea yang perlu diolahkan dan pemikiran akan terus berkembang dari semasa ke semasa. Selaku seorang muslim saya juga percaya bahawa penulisan yang bermanfaat akan memberikan ganjaran kepada sang penulis walaupun penulisnya sudah meninggal dunia.

PENGGUNAAN BAHASA YANG TEPAT


Terdapat beberapa perkara yang ingin saya kongsikan berkenaan cara-cara untuk menjadi penulis yang aktif di laman sosial. Perkara pertama yang perlu anda cakna ialah dari segi penggunaan bahasa yang tepat. Meskipun kita bukanlah pelajar sastera, tetapi menjaga tatabahasa dalam penulisan dan menulis dengan bahasa penuh adalah sangat penting dalam menghasilkan tulisan yang baik. Perkara ini umpama menjaga adab ketika berkomunikasi dengan orang lain. Sayang sekali sekiranya anda mempunyai idea yang bagus untuk disampaikan tetapi penggunaan bahasa yang kurang tepat mencacatkan tulisan anda.

BAGAIMANA MAHU MULA MENULIS?


Di laman sosial anda bebas untuk mencoretkan apa sahaja selagi mana ia tidak bercanggah dengan undang-undang dan melampaui batasan agama. Tepuk dada, tanya iman. Bagi menghasilkan sesuatu karya yang baik, maka idea-idea yang baik amatlah diperlukan. Membaca adalah salah satu cara yang penting dalam mendapatkan idea. Bagi saya, seorang penulis yang baik harus mempunyai sudut pandangan yang pelbagai dalam sesuatu perkara. Katakan anda mahu menulis dengan aktif, sekurang-kurangnya satu ‘status’ yang anda mahu kemaskini dalam laman Facebook anda setiap hari. Antara cara yang mudah bagi mencapai matlamat tersebut adalah dengan menulis tentang perkara yang paling bermakna anda saksikan pada hari tersebut, dan selepas itu berikan pandangan yang pelbagai mengenainya. Sebagai contoh, perkara yang paling bermakna anda saksikan pada hari ini ialah seorang pakcik tua yang tempang cuba melintas jalan untuk menuju ke masjid. Huraikan dan berikan pandangan dari sudut agama dan sosial mengenainya. Pada awalnya anda mungkin terasa segan untuk menulis tentang kehidupan anda sendiri, tetapi percayalah selagi mana apa yang kita tulis tidak mengaibkan diri kita sendiri dan mampu memberi manfaat kepada orang lain, tiada apa yang perlu dirisaukan.

LIKES SEBAGAI CULAAN


Mendapat ‘likes’ yang banyak dengan tulisan kita bukan objektif utama kita menulis. Tajdidkan niat selalu agar setiap tulisan kita hanya kerana Allah. Fungsi ‘likes’ yang boleh kita manfaatkan ialah sebagai culaan terhadap para pembaca. Kita mempunyai teman yang ramai di Facebook dan masing-masing mempunyai pemikiran yang berbeza. Dalam menyampaikan dakwah, kita perlu memahami bagaimana pemikiran target dakwah kita supaya kita mampu menghasilkan tulisan yang mampu menyentuh hati mereka dan selesa dibaca. Orang tak makan budu, kita beri makan nasi kerabu. Hakikatnya budu itu tetap ada dalam nasi kerabu.

Semoga tulisan yang ringkas ini bermanfaat kepada semua. Sekadar berkongsi apa yang ada.

(Ini dia taklifan yang dituntut sebab datang lewat meeting)


Siap dalam masa sejam sepuluh minit kut dalam keadaan penat.

14 November 2013.

0 orang tak puas hati:

Post a Comment