Pages

Subscribe:

Thursday, May 10, 2012

::mendengar::




Hidup kita dan mendengar.

Menjadi pendengar yang baik merupakan salah satu cara dalam meningkatkan komunikasi kita dengan orang lain. Namun, ia bukanlah sesuatu perkara yang mudah kerana terdapat pelbagai faktor yang mempengaruhi kita untuk terus mendengar.

Menjadi pendengar yang baik, memerlukan kita untuk sabar. Tidak kira anda sedang mendengar ceramah atau mendengar pendapat kawan - kawan anda, kesabaran amatlah penting. Kadang – kadang orang yang mendengar itu lebih penat daripada orang yang bercakap kerana dia perlu fokus dan menghadam segala apa yang didengarinya.

Di samping itu, untuk menjadi pendengar yang baik, seseorang haruslah berusaha menurunkan egonya. Ya, kadang – kadang dalam sesuatu perbincangan tidak semua orang yang sekepala dengan kita. Mahu tidak mahu, kita kenalah menghormati segala pendapatnya dengan terus mendengar. Lebih – lebih lagi bagi seorang naqib usrah, cukup tarbiyahnya, mesti sentiasa bersabar mendengar kata – kata mad’u yang mungkin kurang pemahamannya. Ada masanya pendapat mereka boleh kita terima, dan ada masanya tidak. Umpama kita berada dalam sebuah kereta, kita tak nampak kotoran – kotoran yang melekat di luar kereta, merekalah yang menegurnya. Tetapi kalau mereka mempersoalkan tentang enjin kereta  anda iaitu sebuah Proton Saga sedangkan mereka hanya arif dalam bab Perodua Kancil, maka pandai – pandailah anda menapis segala yang anda dengar. Ada pendapat yang kita kena terima, ada yang perlu sekadar dengar sahaja.

Ambil masa untuk mendengar sekurang – kurangnya satu siri ceramah penuh (durasi satu jam dan ke atas), bukan ceramah pendek – pendek (tetapi ceramah pendek pun kena dengar juga kalau tidak sempat). Pilihlah mana – mana penceramah yang anda gemari, Ustaz Azhar Idrus, Tuan Guru Nik Abdul Aziz, Syeikh Hamza Yusuf dan sebagainya. Kalau bukan ceramah agama pun tidak mengapa asalkan bermanfaat. Sebelum mendengar, sediakan pen dan kertas untuk membuat catatan. Ikat segala isi yang anda dengar, bukan masuk telinga kanan keluar telinga kiri. Dari sini anda dapat melatih diri untuk fokus untuk mendengar dalam satu jangka masa yang lama. Bukan mudah, tetapi tidak mustahil.

Iman dan nafsu kita sering berlawanan antara satu sama lain. Nafsu kita, membuatkan kita lebih minat untuk mendengar perkara – perkara yang lagha dan maksiat. Kalau dengar gosip satu jam pun belum tentu cukup. Dengar lagu nak yang jenis – jenis jiwang dan melalaikan je. Paling menyedihkan kita lebih minat untuk dengar tentang keaiban orang lain seakan – akan kita tidak punya cacat cela. Cuba muhasabah kembali. Kenapa diri kita tidak minat untuk mendengar bacaan Al Quran daripada qari – qari ternama? Kenapa kita tidak minat dengar kuliah? Kenapa kita lebih memilih untuk mendengar lagu – lagu lagha berbanding lagu – lagu yang membangkitkan semangat?

Seruan jihad telah lama memanggil . Adakah kita termasuk dalam kalangan orang yang DENGAR dan SEDAR?

Ingatlah bahawa Dia juga Maha Mendengar.

“Ketahuilah, perkataan yang didengari itu umpama makanan, ada yang memberi manfaat dan ada yang memberi penyakit. Ada juga yang berfungsi sebagai penawar, dan ada juga berfungsi sebagai racun.”Kitab Penawar Bagi Hati , Fasal 2 : Telinga

Sebagai penutup saya sertakan link yang menarik : http://www.wikihow.com/Be-a-Good-Listener

0 orang tak puas hati:

Post a Comment