Pages

Subscribe:

Wednesday, August 24, 2011

::retrospeksi menjana transformasi::

Sudah 3 hari berada di bumi tercinta Kelantan . Dan jam biologi masih terganggu .

MUHASABAH RAMADHAN

Ramadhan semakin meninggalkan kita semua . Cuba kita tanya pada diri sendiri , adakah kita berpuas hati dengan prestasi kita , ibadah kita , emosi kita sepanjang bulan yang mulia ini ? Adakah Ramadhan kali ini lebih bermakna berbanding tahun – tahun sebelumnya , atau sama sahaja , atau lebih parah ? Sama – sama kita muhasabah apakah natijah yang kita perolehi dari madrasah Ramadhan sesi kali ini . Mumtaz ? Jayyid Jiddan ? Jayyid ? Atau sekadar makbul ?


Seperti tahun sebelumnya , saya menyambut kedatangan Ramadhan di bumi Mesir selama 20 hari , kemudian pulang ke Malaysia pada 10 hari yang terakhir . Ramadhan di bumi anbiya’ lebih terasa rohnya berbanding di Malaysia , berkat para anbiya’ serta auliya’ barangkali .


Masyarakat di sana juga menyambut kedatangan bulan mulia ini melebihi kedatangan Syawal (Aidilfitri) , berbeza berbanding di tanah air . Pada bulan Ramadhan , kehadiran jemaah ke masjid sangat memberansangkan , sehingga ada yang terpaksa menunggu untuk solat kerana ketiadaan tempat . Rakyat Mesir juga seolah ‘berubah’ , mereka jadi kurang pemarah , kurang emosi , dan yang paling saya kagum ialah kesungguhan mereka membimbit mushaf Al Quran ke mana – mana dan membacanya ketika menunggu tremco (van) , duduk dalam pejabat dan sebagainya . Sikap inilah yang harus dicontohi para muslimin dan muslimat sekalian , kita ‘hidup’ dengan Al Quran , membaca serta mengambil ibrah daripadanya . Moga di akhirat kelak , Al Quran menjadi hujah kita , bukan hujah ke atas kita .


Pernah mendengar tazkirah daripada seorang senior , beliau menceritakan bahawa ada pihak yang berpendapat puasa ini mengurangkan produktiviti (tak silap saya , presiden Tunisia yang diguling tempoh hari) sehingga mengharamkan puasa ke atas rakyatnya . Ibadah puasa yang dipersalahkan . Di Mesir , waktu bekerja menjadi semakin pendek , antara 9 pagi sehingga 2 petang sahaja . Khusnuzon sahajalah . Mungkin mereka tidak mahu melepaskan peluang beribadah sebanyaknya pada bulan ini .


Satu analogi yang ingin saya wujudkan di sini : Kita ada kereta Mercedes Benz yang mempunyai sistem keselamatan serta pengawalan yang canggih , kita memandu kereta tersebut , dan akhirnya kita terlanggar sebatang pokok . Persoalan pertama , siapa yang kita salahkan dahulu ? Diri kita ? Kereta ? Atau pokok :P ?


Jawapannya , tentulah diri kita . Boleh jadi kita tiada lesen untuk memandu kereta tersebut , tidak cekap untuk memandu , atau kita lalai . Begitulah juga dengan berpuasa . Jangan salahkan puasa , kita menjadi kurang produktif . Sebaliknya perbetulkanlah diri kita sendiri dahulu . Sahabat – sahabat dahulu menyertai peperangan Badar pada bulan Ramadhan dan perolehi kemenangan , kita bagaimana ?


Moga kita mencapai matlamat taqwa sebagaimana firmanNya ,

Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa (Al Baqarah , 183)



AKRAB DENGAN AL QURAN

Antara program yang saya rindui , terutamanya bila sampai di Malaysia ialah program tadarus Al Quran seusai solat Subuh . Tidak seperti tadarus yang saya sertai sebelum ini , aspek yang ditekankan dalam program ini ialah 3T : Tajwid , Tadabbur , Tazkirah . Ahli – ahli bukan sekadar mengejar untuk menghabiskan 30 juzuk dalam bulan Ramadhan , malah kami dapat memperbetulkan dan mengingat semula hukum – hukum tajwid yang sudah ‘berkarat’ semasa sekolah menengah , mentadabbur isi – isi Al Quran berpandukan kitab tafsir ulama’ – ulama’ yang muktabar serta melatih para ahli untuk lebih ‘presentable’ dalam memberi tazkirah sebagai satu latihan menjadi seorang dai’e .


Saya juga berkesempatan menonton sebuah dokumentari bertajuk Quran by Heart terbitan HBO , tentang beberapa insan yang jauh lebih muda daripada saya namun ayat – ayat Al Quran ringan dialunkan di mulut - mulut mereka . Mereka dan ayat – ayat Al Quran seolah – olah sudah sebati , mereka menghafal 6236 ayat Al Quran sebagaimana anak – anak muda menghafal lirik lagu yang melalaikan . Saya ‘terpukul’ melihat mereka . Subhanallah . Aku masih jauh daripada menjadi “sahabat baik” Al Quran . Dalam usia semuda itu mereka sudah menghadam kalamullah , bagaimana dengan aku ? Bagi sahabat – sahabat yang belum menonton , saya mencadangkan anda tonton , baik anda hafiz / hafizah atau tidak . Buang ego kita , dan belajar daripada kanak – kanak istimewa ini .


Budaya membawa Al Quran ke mana sahaja , sebagaimana yang dilakukan orang Mesir saya kira patut kita amalkan . Bacalah ia , baik semasa menunggu bas , mengisi kekosongan waktu atau sebagainya . Malah bila kita bawa Al Quran , kita secara tidak langsung membuatkan kita malu melakukan perkara – perkara yang dilarang .


Namun , baru – baru saya sedikit kecewa melihat gelagat sepasang anak muda semasa dalam penerbangan ke Malaysia . Tanpa sedikit malu , mereka berpegangan tangan berlainan jantina , bergurau – gurau senda seperti pasangan suami isteri . Saya cuba berhusnuzon , mungkin mereka betul – betul pasangan suami isteri . Pada masa yang sama , sebuah mushaf Al Quran dan terjemahan berada di poket simpanan barangan hadapan mereka , jadi saya kira tidak mungkin mereka akan melakukan perkara – perkara yang dilarang di hadapan kitab suci tersebut .


Setibanya di KLIA , barulah saya tahu bahawa mereka bukanlah pasangan suami isteri . Sedih . Ramai yang membaca Al Quran namun tidak mengambil ibrah serta mengamalkannya dalam kehidupan . Lagi sedih bila melakukan perkara dilarang di hadapannya . Pendapat saya , apabila kita membaca Al Quran dengan sekadar membaca tanpa memahami , ibarat makan pau tanpa inti . Hanya roti putih kosong sahaja tanpa inti kacang merah , kari daging atau kaya . Rasanya tawar , dan muak . Tetapi jika pau itu berinti , rasanya sangat sedap lebih – lebih lagi apabila panas , dan mengenyangkan . Begitulah juga kita dalam pembacaan Al Quran , jika kita sekadar baca tanpa ada usaha untuk mengambil ibrah kita cepat jemu , berlainan jika kita baca , ambil ibrah dan amalkannya , diri kita lebih terisi dan tidak jemu .


Sekadar itu sahaja penulisan saya kali ini , semoga bermanfaat untuk semua . Gunakan Ramadhan yang masih berbaki dengan sebaiknya , jangan fikir nak raya je :P Wallahualam .


ADAKAH ADA LAGI RAMADHAN UNTUK KITA PADA TAHUN HADAPAN ?

0 orang tak puas hati:

Post a Comment