Pages

Subscribe:

Sunday, July 31, 2011

::salam ramadhan 1432H::


Bersungguhnya mereka terhadap Ramadhan . Sehinggakan jemaah Subuh menyamai jemaah solat Jumaat . Kalam - kalam cinta dari Tuhan dibaca dan ditatap di mana jua . Sedekah jariah dilipat ganda . Teguhnya syiar Islam dalam diri mereka .

Mendengar ceramah sempena pelancaran Ihya' Ramadhan 1432H , disebutkan bahawa para salafus soleh membuat persediaan untuk Ramadhan sejak beberapa bulan sebelumnya lagi , dan apabila berakhirnya bulan mulia tersebut , mereka memohon agar amalan - amalan yang dibuat diterima . Kata Syeikh Usamah (Ulama' Al Azhar) pula , apabila kita mengenali betul - betul bulan Ramadhan , kita akan bersungguh - sungguh untuknya .

Retrospeksi Menjana Transformasi Ramadhan . Itulah tema yang dipilih bagi program IHRAM (Ihya' Ramadhan) anjuran Unit Pembangunan Insan PERUBATAN Cawangan Mansurah . Retrospeksi , atau bahasa mudahnya muhasabah adalah satu perkara penting dalam merubah ke arah yang lebih baik . Muhasabah untuk Ramadhan bukan sahaja kita merenung kembali Ramadhan yang lepas , bahkan kita mengambil teladan dari sirah Rasulullah serta para salafus soleh . Lihatlah kesungguhan mereka dalam mengambil peluang yang diberi Allah setahun sekali itu .

Bagi kita , bulan Ramadhan adalah bulan kurang produktif , kita lebih cenderung untuk banyak tidur (khususnya di bumi Mesir , musim sejuk atau panas tidur adalah nikmat yang tak terhingga :P) , waktu kerja dikurangkan (kalau kes di Mesir , masuk kerja pukul 9 pagi , balik pukul 2 petang) dan banyak makan pada waktu berbuka . Seharusnya pemikiran ini diperbetulkan , orang - orang terdahulu sebelum kita sedikit pun tidak memikirkan penat lelah pada bulan Ramadhan , sebaliknya memikirkan fadhilat yang berganda pada bulan itu .

Perkara penting yang perlu diamalkan sewaktu Ramadhan :

1)Al Quran . Orang yang mencintai Al Quran akan merasa senang dan tidak bosan untuk membacanya .

2)Doa . Allah menyediakan waktu - waktu terpilih di mana waktu tersebut adalah waktu mustajab untuk berdoa . Saidina Umar pernah berkata , " Aku tidak bimbang sekiranya doa aku tidak makbul , yang aku bimbang adalah apabila kedua tanganku berhenti berdoa."

3)Mengekang hawa nafsu . Puasa bukan sahaja menahan diri dari lapar dan dahaga . Malah mendidik jiwa agar terhindar daripada perkara - perkara maksiat .

4)Menghidupkan sunnah Rasulullah , dengan bersedekah dsb

Moga Ramadhan kali ini penuh makna buat kita , dan moga kita masih diberikan kesempatan untuk bertemu Ramadhan seterusnya InsyaAllah .

P.S : Alhamdulillah Ramadhan ini diberikan nikmat dan peluang untuk menggandakan ganjaran , moga istiqamah dalam mengerjakannya . Akan menjadi sedikit sibuk pada masa sekarang . Idea banyak , cuma kadang - kadang malas nak update blog dan tiada masa .

0 orang tak puas hati:

Post a Comment