Pages

Subscribe:

Saturday, May 15, 2010

::gila - gila remaja ::



Ini bukan post mengenai filem yang ada lagu memburu impian tu .
Sila baca jika ingin tahu , sila tekan Alt + F4 jika tidak ingin tahu .

WANITA IDAMAN

“Man , apa ciri – ciri wanita idaman kau ? “ tanya Din sambil membelek buku Biochemistry Tahun Satu . Dan sepertinya dia kelihatan tidak fokus terhadap pembacaannya .

Teh lemon panas disisip perlahan . Minuman kegemaranku sejak berada di bumi Anbiya’ ini . Lebih enak lagi jika dimakan bersama ish fino serta jam strawberi . Aku memalingkan pandangan aku yang sedang asyik menghayati suasana petang di balkoni . Wajah Din sepertinya dahagakan jawapan dariku .

“Apa kena ni Din , tiba – tiba tanya soalan macam ini pulak , sedarlah , imtihaan dah dekat , kita pulak baru tahun satu , fikiran belum matang lagi , “ aku menjawab dengan nada yang sinis .

Aku sebenarnya sudah lali dengan pertanyaan sebegitu . Perkara ini sering disoalkan dalam website atau blog Islamik oleh para remaja sebayaku . Kenapa tak tanya , apa langkah yang boleh diambil untuk menentang kezaliman Yahudi di Palestin ? Apa sumbangan nak diberi kepada saudara seagama yang sedang bermandi darah mempertahankan kesucian Islam sebagai Ad-Deen ? Atau , paling kurang , apa khabar imanmu , wahai saudaraku ? Namun aku sedar . Islam itu asalnya asing dan akan kembali asing . Aku sendiri pun kurang bertanya mengenai persoalan – persoalan tersebut dek kelemahan imanku . Aku masih belum layak digelar Ghurabaa’ seperti dalam hadith nabi .

“Alah , sekali-sekala Man , lagipun otak aku dah blur dah ni , tak larat dah nak hafal structural formula vitamin semua . Tolonglah jawab Man , aku nak tahu sangat ni ,” Din merayu kepadaku .

Nampaknya aku terpaksa beralah . Kalau aku tidak jawab sekarang , esok lusa , atau paling cepat malam ini pun dia akan bertanyakan perkara yang sama . Dan aku berasa tidak senang sekiranya ia berlaku . Din juga mungkin akan tidak tenteram , dan ia akan menjejaskan fokusnya terhadap pelajaran .

“Baiklah , aku akan jawab sekali sahaja , kalau kau tak dengar nasib kau lah , aku tak akan ulang balik . Ada banyak lagi tanggungjawab dan hak yang kita kena fikir .Hak kita kepada Allah SWT , Rasulullah , agama , ibubapa dan negara . Ingatlah , dalam kehidupan ini kita kena sentiasa lebihkan orang lain dari kita sendiri . Jadilah seorang manusia yang bermanfaat . “

“ Wanita idaman aku sudah tentunya seorang wanita yang solehah , yang saling melengkapi hidup sebagai sayap kiriku , yang dapat memahami diriku , yang sentiasa bersamaku tatkala susah atau senang , yang menjadi teman tahajjudku , yang menjaga kehormatan dirinya di hadapan yang bukan mahram , taat dan takut pada suruhan Allah , mengamalkan sunnah Rasulullah , cantiknya pada pandangan mataku…”

“Kau nak yang berpurdah ke tak ? “ Din mencelah .

“ Haish , apalah kau ni Din , menyampuk tak bagi salam . Bagi aku , dia hendaklah menutup auratnya dengan lengkap dahulu kerana itu adalah perkara yang wajib . Berpurdah itu umpama satu bonus untuknya . Dan hendaklah dia berpurdah itu semata – mata mengabdikan dirinya kepada Allah SWT , bukan untuk menunjuk – nunjuk dan sebagainya .

Din mengangguk . Buku Biochemistry diletakkan di tepi . Nampaknya dia tidak jadi untuk mengulangkaji pada petang tersebut . Aku memang mengkhususkan masa pada waktu petang untuk berehat . Waktu begini tak banyak yang mampu diserap oleh otak . Selalunya pada masa sebegini aku akan melayari internet , tetapi oleh sebab hawa panas pada petang tersebut , aku memutuskan untuk minum sambil bersantai sahaja .

WUJUDKAH LAGI WANITA SOLEHAH ?

“ Tapi kan , kau rasa wujud lagi tak wanita yang ada sifat – sifat yang kau sebut tadi ? Yalah , sekarang ini boleh kata semua orang ada Facebook , sibuk tayang muka mereka di internet , tak cukup dengan itu , video pun ada . Lepas itu bergaul dengan lelaki secara tak syari’e . Lelaki pulak , sibuk “save” gambar mereka untuk kegunaan peribadi. Apa pendapat kau ? kata Din .

Aku menghabiskan tegukan terakhir minumanku . “ Aku percaya , jika ada orang jahat , sudah tentu ada orang baik . Allah sudah berfirman , lelaki baik untuk perempuan baik , lelaki jahat untuk perempuan jahat . Jadi , untuk mendapatkan wanita yang solehah , aku kena didik diri aku untuk menjadi soleh , bina fardhu muslim dahulu , baru bina baitul muslim .”

“ Facebook itu tiada salahnya selagi kita gunakan untuk tujuan yang baik , tetapi sekarang ini nampaknya ada lebih banyak keburukan berbanding kebaikan . Sama seperti arak , ia dapat memanaskan badan manusia , tetapi sedikit arak pun boleh memabukkan manusia , ia diharamkan . Namun aku tak berani nak menyatakan bahawa Facebook itu haram , kerana aku bukanlah ulama’ . Ulama’ sendiri pun bimbang jika ditanyakan persoalan yang susah untuk dijawab kerana jawapan mereka itu boleh jadi perkara yang mendekatkan diri mereka pada syurga , ataupun selangkah ke neraka . Pada pendapat aku , selagi benda itu digunakan untuk tujuan yang baik dan menyingkirkan segala elemen yang boleh membawa kepada maksiat seperti bergaul bebas , kita boleh gunakan . Tetapi sekiranya kita rasa tak boleh nak kawal diri kita , eloklah kita tinggalkan . Aku bukan menuding jari kepada pihak perempuan sahaja , lelaki pun lebih kurang sama juga . “

BAGAIMANA ?

Aku menuju ke dapur , meletakkan gelas ke dalam sinki lalu dibasuh . Din masih duduk di ruang tamu , meneguk susu yang sudah suam . “ Man , cepatlah , banyak lagi benda yang aku nak tanya ni , “ dia memanggilku .

“ Aduh , apa lagi kau nak tanya ni , tak puas lagi ke ? “ aku merungut .

“ Contohnya , kalau kau nak cari wanita idaman itu , bagaimana caranya ?” Dia menjawab .

“ Begini ,” aku duduk di atas sofa lama di ruang tamu tersebut . “ Kan kita sudah sedia maklum , yang kita telah ditetapkan dengan 3 perkara sejak kita berada dalam rahim ibu lagi , iaitu rezeki , ajal maut dan juga jodoh . Perkara itu dah tetap dan tak akan berubah . Jadi , buat apa kita nak bimbang tentang apa yang Allah janjikan untuk kita ? Sesungguhnya Allah tidak mengingkari janjiNya . Lebih baik kita bimbang tentang apa yang kita belum pasti dapat lagi , iaitu keredhaanNya dan syurgaNya . Lain pula dengan dunia sekarang . Ramai orang mengejar yang sudah pasti berbanding yang belum pasti . Ramai orang kejar keduniaan berbanding akhirat . Ramai yang meluangkan masa untuk bekerja keras dalam pekerjaan mereka mahupun mengulang kaji , tetapi mereka lupa untuk meluangkan masa untuk bertahajjud kepada Allah di malam hari . Janganlah kita menjadi seorang yang bekerja keras pada pagi hari seperti himar , dan tidur mati seperti bangkai pada malam hari dengan tidak bertahajjud . Memanglah tak salah untuk berusaha , tapi pandai – pandailah bahagikan masa . Allah juga menuntut kita untuk berusaha , kerana kalau tidak berusaha , kita tak sampai kepada rezekiNya .”

“ Merujuk kepada soalan kau , aku rasa tak usahlah kita bimbang sangat pasal soal mencari jodoh . Islam telah menetapkan cara –caranya untuk meminang dan sebagainya , jadi lebih baik kau tanyakan kepada yang lebih pakar . Tak perlulah risau kerana setiap orang sudah ditetapkan jodohnya . Macam aku cakap tadi , buat apa nak risau dengan benda yang sudah pasti kita dapat ? Tak perlulah dengan couple sebelum nikah , mengorat , “stalk” dan sebagainya . “ aku menjawab .

“ Kenapa kau rasa couple sebelum nikah itu salah ? Bukankah itu salah satu jenis usaha jugak ke ?” tanya Din , wajahnya menampakkan kemusykilan .

Aku tidak hairan . Soalan sebegitu sudah selalu diperkatakan .

“ Tiada yang menghalalkan hubungan bukan mahram kecuali dengan perkahwinan , Din . Couple sebelum nikah itu dapat mendekatkan diri kita dengan perkara maksiat . Walaupun hanya ber YM mahupun SMS , masih lagi ada zina hati . Cuba kau fikir Din , kau suka tak kalau saudara perempuan kau berzina ? Tentu kau marah kan ? Aku faham , aku sendiri pun ada nafsu terhadap wanita , aku bukanlah malaikat . Tetapi aku percaya , setiap benda yang Allah larang ada hikmahnya . Jalan menuju ke syurga penuh dengan dugaan , jalan ke neraka penuh dengan hawa nafsu . Bagi aku juga , couple ini membuatkan kita hipokrit dengan “pasangan” kita , kita akan selalu menampakkan sifat yang terbaik kepada dirinya , walhal kita bukanlah sebegitu . Cuba mengaku alim lah . Beriman lah . Fikirkanlah , orang yang alim mahupun beriman tidak mengaku dirinya sebegitu , malah tidak terlibat dengan hubungan haram sebegini . Jangan lawan nafsu dengan nafsu , sebaliknya lawanlah nafsu dengan agama . Kalau dah mampu , berkahwinlah . Kalau belum mampu , berpuasa sebagaimana yang dianjurkan oleh nabi .”

BILA LAGI ?

“ Man , aku puas hati dengan jawapan yang kau bagi , tetapi aku nak tanya satu soalan akhir : bila kau nak kahwin ? “ Dia bertanya sambil tersenyum .

“ Din , perkahwinan itu bukan perkara main – main . Perkahwinan ibarat satu bahtera , dan kau lah nakhodanya . Tanggungjawab kau untuk melayarkan bahtera itu menuju destinasi . Memanglah , perkahwinan itu dapat menjauhkan kau dari zina , namun selepas perkahwinan pelbagai tanggungjawab yang kau dapat . Kau nak fikir itu , ini . Sejujurnya , aku tak tahu bila masanya untuk aku upgrade status aku dari Single kepada Married . Masih banyak lagi perkara yang aku harus lakukan dan fikirkan . Seperti sekarang ,aku sedang belajar . Aku sedang menunaikan hak aku kepada ibubapa , agama dan negara . Aku nak jadi seorang yang banyak menyumbang . Namun , jika ditakdirkan jodoh aku sampai semasa aku masih belajar , aku redha . Buat masa sekarang , aku cuma perlu bersabar , dan istiqamah menjauhkan diri aku dari perkara maksiat . Aku ingin mencontohi sikap Yusuf yang berjaya menahan godaan Zulaikha , dan untuk mencapai perkara tersebut , aku kena tingkatkan hubungan aku dengan Allah SWT . Wallahualam . “

Din mengangguk . Sepertinya dia puas hati dengan jawapanku .

“ Wah , mantaplah jawapan kau ni Man , aku rasa kau patut ambil pengkhususan dalam bidang macam ini lah . Jadi Dr. Cinta . Haha . “ kata Din sambil ketawa .

“ Din , sebelum tapak kaki aku memanjat ke muka kau , lebih baik kau pergi masuk tandas , ambil wuduk . Dah nak dekat maghrib ni . Cepat . Nanti lewat ke masjid .”

::kurenai-san::
ad – daqahliyyah , mesir

P/S : Selamat Hari Guru kepada tenaga pengajar di SK Islah , SIC dan MRSMPC . Jasa kalian tak dapat ku balas . Doakan kejayaanku .

1 comment:

  1. sgt suka post ni...ade butang like cam kat FB x? :DD

    ReplyDelete