Pages

Subscribe:

Friday, December 28, 2012

::nota-nota II::

Edisi bulan Disember. 
Koleksi penulisan di Facebook.



Mendengar.

"Tak dengar tazkirah selama tiga hari, hati akan mati."

Sekarang semuanya serba canggih, video/audio kuliah agama mudah didapati di laman sesawang, hanya di hujung jari kata orang. Bagi saya, ini merupakan satu gejala yang sihat dan sudah tidak ada sebab lagi untuk seseorang itu tidak mendapat pengisian agama kecuali dirinya sendiri yang lalai.

Tetapi sekali-sekala cubalah untuk keluar dari zon selesa. Keindahan berada di majlis ilmu itu jauh sangat kalau dibandingkan dengan duduk seorang-seorang depan komputer. Berdampingan dengan orang-orang soleh, bukankah salah satu ubat hati? Sayap-sayap malaikat mengelilingi, mana nak cari?

Unit-unit dakwah dalam persatuan berbincang berjam-jam untuk buat sesuatu program ilmiah bukan nak curi masa ahli, tetapi demi kebaikan ahli juga.


--------------------------------------------------------------------------------------------------

Rotan.

Benda yang biasa 'singgah' di telapak tangan sewaktu zaman persekolahan dahulu. Tak siap kerja sekolah, ada masalah disiplin dan sebagainya. Mungkin generasi sekarang tak sempat merasa.

Tak sangka rotan, kau kembali dalam hidupku.

"Aku bagi kamu masa selama 7 hari, kenapa kamu hanya boleh hafal satu dari tiga surah? (An-Naba, An-Naziat, 'Abasa)?" kata sang guru.

Lantas mulut masing-masing terkumat-kamit menghafal, dan aku sendiri tak sangka dalam tempoh yang singkat itu aku mampu melakukannya.

Proses pembelajaran dan pentarbiyahan yang efektif akan berjaya dicapai apabila kita berjaya membuang sifat MANJA dari dalam diri kita.

"Bersabar dalam proses pembelajaran sebagaimana kisah Nabi Musa dan Khidir," ayat yang bermain-main dalam minda sewaktu kuliah ENT selama 2 jam tadi.


------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Mampu.

"Allah beri kita kemampuan yang mana kita hanya guna 30% sahaja daripadanya."

Kalam daripada Syeikh Ali semasa pengajian bahasa Arab minggu lepas buat aku tersentak. Kita selalunya terlalu merendah diri sehingga kita rasa banyak benda yang kita tak mampu buat. Potensi yang ada dalam diri itu tidak dimanfaatkan sepenuhnya.

Mungkin selama ini kerja kita dalam persatuan hanya jadi AJK makanan yang menyediakan makanan dalam program-program, atau AJK teknikal yang mengendalikan 'P.A system', atau kerja-kerja belakang tabir yang lain, tetapi siapa tahu kebolehan kita sebenarnya lebih mantap daripada mereka yang selalu berada di hadapan.

Kesimpulannya? Dapatkan borang pencalonan AJKT PERUBATAN Cawangan Mansurah/ MTP PERUBATAN anda pada hari ini, esok dan lusa. :)

#tolongkempenuntukJPC


------------------------------------------------------------------------------------------------------------


Bimbingan.

Mad'u (sasaran dakwah) yang paling sukar untuk dibimbing ialah diri kita sendiri. Selagi ego masih tinggi seperti KLCC, selagi itulah sebarang nasihat takkan mampu mempengaruhi diri ini.

Kalau diminta untuk membimbing tidak bermakna diri ini tidak perlu dibimbing.


------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Kelemahan.

Menilai dan membandingkan antara iPad mini dan Note 10.1 lepas solat Asar tadi. Mengenali iOS dan Android secara terperinci. Namun yang aku perasan, dari awal sehingga akhir hanya KELEMAHAN setiap peranti yang dititikberatkan.

Begitulah juga dengan benda lain yang kita nampak, tidak hanya terhad kepada gadjet canggih. Kita rasa orang ini sesuai pegang jawatan ini dan itu, atau mungkin sekali pasangan hidup kita, tetapi bila kita terlalu fokus kepada titik kelemahannya (weak point) terus kita tolak bulat-bulat.

Setiap perkara punya kelemahan dan kekuatan masing-masing, maka pilihlah mana yang paling sedikit kelemahannya. Yang tidak lemah itu hanya Allah SWT.

Tapi rasa iOS lagi best :P


------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Ikhlas.

Apabila dipuji, dia tidak melebihkan.
Apabila dicela, dia tidak mengurangkan.


------------------------------------------------------------------------------------------------------------


Alamat.

Kata ulama', di antara alamat orang yang tenggelam dalam dosa ialah tidak terbuka hatinya untuk qiamulail dan puasa pada siang hari.

- Syeikh Muhd Zainul Asri.


------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Muhasabah.

Tawadhuk bukan bererti lemah,
Tegas bukan bererti kasar.

Beralah bukan bererti kalah,
Kalah bukan bererti salah
Menang bukan bererti benar.


------------------------------------------------------------------------------------------------------------


Istiqamah.

Dari Abdullah bin 'Amr bin al-'Ash radhiallahu 'anhuma, katanya: Rasulullah s.a.w. pernah bersabda kepadaku: "Hai Abdullah, janganlah engkau seperti si Fulan itu. Dulu ia suka bangun bershalat malam, kemudian ia meninggalkan bangun malam itu." (Muttafaq 'alaih)

- Hadith 154, Bab Memelihara Kelangsungan Amalan-Amalan, Kitab Riyadhus Solihin oleh Imam Nawawi

Istiqamah itu lebih baik daripada seribu karamah.


------------------------------------------------------------------------------------------------------------


Pahit dan manis.

Sesiapa yang tidak pernah merasai kepahitan tidak akan mengenal kemanisan.


------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Rasa.

Pernah tengok orang yang hidupnya tenggelam dalam cinta Allah dan Rasulnya, sibuk dengan amal ibadat dan teguh berjalan di atas jalan dakwah yang penuh berduri? Apa agaknya yang mereka rasa?

Orang yang tidak pernah merasai tidak akan mengetahui (memahami). Maka bagaimana mereka boleh meletakkan ketentuan dan penilaian terhadap (perkara yang dilalui) para Siddiqin?

- Dipetik daripada Kitab Sawanih Qalbiyyah, Ahmad Fathulluh Jamiy, Dar al-Ghazali, cetakan kedua, 2002


------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Kematian.

Cara kita mati adalah berdasarkan bagaimana kita hidup, sebab kita sendiri tidak tahu bila kita akan menemui ajal. Boleh jadi setengah jam lagi, sepuluh minit lagi atau mungkin sesaat lagi. Maka jika detik-detik itu kita penuhkan dengan amal ibadah, atau kita sendiri sudah melazimi kehidupan yang mengikut syariat Islam InsyaAllah kita akan mati ketika melakukan perkara yang terpuji. Alangkah sedihnya jika kita mati dalam keadaan bermaksiat kepada Allah, maka jauhkan diri dari melakukan perkara-perkara sedemikian dan lazimi taubat.

Itulah cara membentuk seni kematian.


------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Harapan.
Kita tidak boleh mengharapkan kelemahan musuh untuk mencapai kemenangan.
Kita tidak boleh mengharapkan orang lain untuk kerja terus berjalan.
Kita tidak boleh mengharapkan soalan peperiksaan bocor untuk mendapat kejayaan.
Kita tidak boleh mengharapkan keadaan yang selesa untuk mengerjakan amalan.

Andai diri tiada usaha dan tawakkal, kesemuanya hanya menjadi khayalan.

Dan, khas sempena pilihanraya esok,
Kita tidak boleh mengharapkan perubahan andai kita tidak melaksanakan kewajipan.


------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Jumaat.

Kita tak sedar hari Jumaat ini ada haknya.

Imam Ja’far Ash-Shadiq (sa) berkata:
“Malam Jumaat dan hari Jumaat mempunyai hak, maka janganlah sia-siakan kemuliaannya, jangan mengurangi ibadah, dekatkan diri kepada Allah dengan amal-amal sholeh, tinggalkan semua yang haram. Kerana di dalamnya Allah SWT melipatgandakan kebaikan, menghapus kejelekan, dan mengangkat derajat. Hari Jumaat sama dengan malamnya. Jika kamu mampu, hidupkan malam dan siangnya dengan doa dan solat. Kerana di dalamnya Allah mengutus para Malaikat ke langit dunia untuk melipatgandakan kebaikan dan menghapus keburukan, sesungguhnya Allah Maha Luas ampunan-Nya dan Maha Mulia.”

Jumaat minggu ini sudah berlalu. Bagaimana agaknya penilaian Jumaatku kali ini di sisi Allah?


------------------------------------------------------------------------------------------------------------


Tangisan.

Kenapa kita menangis? Rindukan ayah dan bonda di kampung halaman? Putus cinta dengan kekasih? Atau mungkin pada saat ini kita sedang memotong bawang?

Petang tadi sempat meluangkan masa mendengar ceramah Syeikh Zainul Asri, beliau menceritakan bagaimana seseorang itu boleh menangis, terutamanya apabila berada di dalam majlis ilmu. Seperti yang kita tahu, majlis ilmu merupakan satu tempat di mana para malaikat menghamparkan sayap-sayap mereka untuk turut sama duduk mendengar kalimah-kalimah yang mengingatkan kita kepada Allah. Kita mampu menangis kerana pada saat itu sayap-sayap malaikat sedang berada di samping kita sehingga menjadikan hati kita lembut. Subhanallah.

Pesan beliau lagi, apabila menangis kerana takutkan Allah, jangan lap air mata itu, tetapi sapulah ia di muka dan anggota badan yang mampu dicapai. Semasa peristiwa Isra' Mikraj dahulu, Rasulullah SAW diperlihatkan dengan neraka yang mana apinya terpadam apabila Jibril melemparkan setitis air ke atasnya. Kata Jibril, "setitis air tersebut merupakan air mata ummatmu (Muhammad) yang menangis kerana takutkan Allah."

Sabda Rasulullah SAW, "Andai kalian mengetahui apa yang aku ketahui, nescaya kalian akan sedikit tertawa dan banyak menangis." (Bukhari dan Muslim)


------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Tidak lengkap.

Semasa sesi soal jawab dalam kelas, profesor memberitahu kami supaya menghuraikan soalan yang ingin ditanya dengan lengkap bagi mengelakkan salah faham.

"Dalam Al Quran, andai kita hanya membaca 'La taqrabu solah' (Janganlah kamu menghampiri solat) sahaja tanpa membaca penuh ayat tersebut maka ia akan mengubah maksud. Maka bacalah dengan lengkap ayat tersebut (Merujuk kepada ayat 43 surah An-Nisa').

Perkara yang sering berlaku pada zaman sekarang, menyunting dan mengambil hanya separuh dari ucapan mana-mana tokoh dan menyebarkannya kepada khalayak ramai lalu menyebabkan kekeliruan dan salah faham.

Berwaspadalah.


------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Nasihat.

Tidak kira siapa pun kita, samada punya ilmu yang tinggi atau tidak, hendaklah ada orang yang sering menasihati kita.

Ada masanya nasihat yang kita beri kepada orang lain itu tidak efektif pada diri sendiri. Entah mengapa.

Maka, nasihati aku, teman. :)


------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Semangat.

Rasulullah SAW bersabda,
"Setiap amal perbuatan ada masa semangatnya, dan setiap semangat ada masa lemahnya. Barang siapa yang masa lemahnya menuju pada sunnahku, maka sungguh dia telah mendapatkan petunjuk.
Namun barang siapa yang masa lemahnya menuju pada yang lainnya, maka sungguh dia telah binasa."
(HR. Ahmad).

Masa lemah, jangan tak buat terus, buat juga walaupun sedikit. Contoh seperti amalan sunat, paling kurang dua rakaat sebelum subuh jangan tinggal.

Cara untuk mendapatkan semangat dalam melakukan sesuatu amal ialah kita terus beramal dengannya walaupun sedikit. Untuk berterusan dalam kerja dakwah, hendaklah kita terus melakukan kerja-kerja dakwah walaupun sekecil mana tugasan tersebut.


------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Tulis.
Kadang-kadang rasa rugi apabila kita mendengar satu pengisian, ceramah atau kuliah yang bagus tetapi kita sekadar mendengar. Banyak poin-poin penting yang kita lupa atau malas nak catat. Kemudian tiba satu masa kita dikehendaki untuk menyampaikan, kita tidak mampu untuk menerangkan poin-poin yang hendak disampaikan dengan sepenuhnya. Akan timbul pernyataan seperti:

"Tak ingat hadis ke kata-kata ulama', tapi macam ni lah bunyi dia lebih kurang..."

Dua hari ini aku mengantuk dalam kelas, sebab aku hanya mendengar tanpa cuba menggerak-gerakkan tangan untuk menulis sesuatu. Ternyata mendengar itu lebih penat daripada bercakap. Haih.

“Ilmu itu ibarat binatang liar, dan hanya tulisan yang dapat mengikatnya."


------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Hati.

Dalam sehari, lintasan kata dalam hati berlaku hingga beribu-ribu kali. Ianya berkait rapat dengan akhlak dan perbuatan kita, maka hendaklah kita bijak dalam mengendalikannya.

Menurut Habib Ali Al Jufri, terdapat tiga pertimbangan dalam mengendalikan lintasan kata dalam hati:

1.Kata hati yang baik dan jahat dibezakan dengan syariat Islamiah. Pertimbangan ini paling utama antara ketiga-tiganya. Perkara makruh hendaklah dijauhkan kerana ia mudah membawa kepada perkara yang haram, perkara sunat janganlah diperlekehkan kerana yang sunat itulah yang dapat menampung kekurangan perkara yang wajib.

2.Jika tidak pasti mengenai hukum sesuatu perkara, bawa bentuk kata hati itu kepada kisah-kisah yang kamu ingat tentang perjalanan orang soleh terdahulu. Cuba periksa samada adakah perkara yang terlintas itu dilakukan oleh mereka atau tidak.

3.Jika tidak mampu dengan dua pertimbangan yang pertama, maka cuba tujukan lintasan kata hati tersebut kepada diri sendiri. Jika kita merasa mudah untuk melakukan perkara yang terlintas itu, maka ianya sesuatu yang tidak baik, jika kita merasa susah maka ianya sesuatu yang baik. Kenapa? Kerana perkara yang baik itu tidak disukai oleh nafsu. Contoh, terlintas dalam hati kita untuk pergi ke program-program ilmiah, tetapi pada masa yang sama kita memikirkan jauhnya tempat, jangka masa yang lama serta diri yang kepenatan baru habis kuliah. Padahal kalau kita duduk di rumah cergas je melayari internet. :P

Apabila hati kita baik, insyaAllah lintasan kata dalam hati juga baik.
Sama-sama muhasabah.


------------------------------------------------------------------------------------------------------------

0 orang tak puas hati:

Post a Comment