Pages

Subscribe:

Tuesday, November 20, 2012

::tahun empat, dah terlewat?::



Kebanyakan ilham yang muncul di benak fikiran diterbitkan di Facebook selepas entri saya yang terakhir kerana kekurangan masa untuk mengemaskini blog. Sebolehnya saya mahu apa yang saya tulis dalam blog berbentuk artikel, bukan dua tiga perenggan sahaja. Sedihnya, sampai sekarang saya masih tidak mampu berdisiplin dalam mengemaskini blog dan juga pelbagai jenis rutin harian lain.

"Untuk membentuk tabiat, sesuatu amalan itu hendaklah dilakukan secara istiqamah sekurang-kurangnya 40 hari, dan untuk membentuk sikap, ia memakan masa sekurang-kurangnya satu tahun."

Kalam yang pernah saya dengar sewaktu menonton Tanyalah Ustaz cuti musim panas lepas. Cemburu dengan sahabat-sahabat lain yang sentiasa istiqamah dalam menjadikan penulisan sebagai satu wadah dalam menyampaikan dakwah Islamiyah dan pelbagai maklumat bermanfaat lain, sedang diri ini hanya membisu sambil membiarkan ilham-ilham yang datang hilang begitu sahaja.

PROFESIONAL DAI'E.

Menyentuh sedikit mengenai isu peribadi. Alhamdulillah, sedar tak sedar saya sudah masuk ke tahun empat pengajian perubatan, bermakna bermulalah pembelajaran secara klinikal di hospital universiti. Saat ini saya sudah selesai round yang pertama di Ophthalmology Center Mansoura University Hospital. Untuk makluman, subjek Ophthalmology secara umumnya berkaitan dengan organ mata dari segi anatomi, fisiologi, patologi dan kaedah pengubatannya.

Adakalanya, bila dah 'tua' sikit ni, saya terkenangkan masa lalu. Saat mula-mula menjejakkan kaki di bumi Mesir. Dengan azam yang penuh membara untuk menuntut ilmu perubatan, dalam masa yang sama mencari seberapa banyak permata yang tersembunyi di bumi barakah ini. Satu matlamat, iaitu Profesional Dai'e.

Bukan saya seorang, malah ramai lagi yang mempunyai niat sedemikian. Namun...

Azam sahaja tidak mencukupi, usaha ke arahnya disertai dengan disiplin yang kukuh sangat penting dalam memastikan matlamat itu tercapai. Pelbagai halangan dan cabaran yang menanti di hadapan, seolah-olah ilmu itu 'memilih' tuannya yang benar-benar layak menghadamnya untuk diamalkan dan disampaikan.

Ukuran "Profesional Dai'e" itu bukan semata-mata lulusan Mesir, Jordan atau negara-negara umat Islam yang lain. Label tidak mencerminkan peribadi. Boleh jadi dia belajar di negara umat Islam sekian-sekian, tetapi apa yang dibuat di sana hanyalah bersenang-lenang, menonton filem dan drama bersiri secara berlebihan, tidur dan sebagainya. Bila dah bekerja nanti, dia tidak tahu etika perubatan mengikut syariat Islam dan menyebabkan orang lain keliru kerana lulusan negara umat Islam ini biasanya dijadikan contoh.

Pada masa yang sama, akademik tidak boleh diabaikan. Adalah menjadi satu fitnah bagi seorang yang mengikut tarbiyah, melakukan kerja-kerja dakwah tetapi dia culas dalam hal-hal akademik, seperti tidak hadir ke kuliah, tidak bersungguh-sungguh dalam pembelajaran dan sebagainya. Benar, Allah akan membantu orang yang membantu agamanya (Surah Muhammad, ayat 7), namun bukanlah bermaksud kita tidak perlu berusaha dan hanya menanti nusrah Allah tiba. Orang yang betul-betul memahami dan menghayati dakwah, dia akan tahu bahawa kejayaan dalam akademik itu antara strategi dakwah yang penting dalam menarik hati mad'u.

Maka, secara ringkasnya seseorang Profesional Dai'e ini adalah seorang yang hebat dari sudut tarbiyahnya, dan juga hebat dari sudut akademiknya.

Bagaimana untuk memastikan keseimbangan antara kedua-duanya? Seorang senior pernah berpesan, masa seorang mahasiswa/wi ini terbahagi kepada tiga, iaitu masa belajar, masa berhibur dan masa berpersatuan/ tarbiyah. Maka apa yang patut kita kurangkan ialah masa berhibur, bukannya dua masa yang lain itu.

Semoga saya masih belum terlewat.

PALESTINA TERCINTA.



Seperti yang kita semua maklum, semasa umat Islam menyambut kedatangan tahun baru 1434H, saudara-saudara kita di Gaza diserang oleh Zionis laknatullah yang menyebabkan syahidnya Ketua Briged Izzuddin al Qassam HAMAS, Ahmad Jabari. Kejadian ini mengingatkan kita pada dua tokoh HAMAS terdahulu yang syahid iaitu Dr Abd Aziz Rantisi dan Syeikh Ahmad Yassin. Saat ini isu Palestin yang sering bermusim hangat diperkatakan di media-media sosial dan blog. Biarlah bermusim daripada tidak ada langsung, kata seorang senior. Kita yang tidak berada di samping saudara-saudara kita di sana sewajarnya melakukan apa yang termampu demi menolong mereka.


Dari Abu Hamzah, Anas bin Malik r.a, pembantu Rasulullah S.A.W dari Rasulullah S.A.W,beliau bersabda: Tidak beriman salah seorang diantara kamu hingga dia mencintaisaudaranya sebagaimana dia mencintai dirinya sendiri.(Riwayat Bukhori dan Muslim)

p.s: Sebenarnya banyak lagi yang mahu dicoretkan, tetapi masa tidak mencukupi. Ada imtihan Khamis ini. Doakan.

0 orang tak puas hati:

Post a Comment