Pages

Subscribe:

Wednesday, September 21, 2011

::medan teori vs medan aplikasi::

(Gambar hiasan) Masjid Jubli Perak , atau dikenali juga sebagai Masjid Beijing oleh penduduk setempat di Rantau Panjang , Kelantan . Islam itu untuk semua . MasyaAllah !

Seminggu lebih sahaja tinggal untuk kembali ke bumi barakah .

Mungkin orang kata cuti saya agak sekejap , namun saya kira cukuplah . Awal tahun ini pun sudah pulang sempena evakuasi .

Lagipun jiwa saya seakan – akan rindu kepada keberkatan bumi Mesir . Rindu roh Islaminya , walaupun dari segi pandangan mata kasar kurang indah sikit berbanding tanah air .

Namun saya percaya di sebalik debu – debu ini terdapatnya mutiara berharga , hanya orang – orang yang berusaha mendapatkannya sahaja berhak memilikinya . Dan saya berharap saya termasuk dalam golongan tersebut .

Terbaca status FB junior saya tadi , kita tak tercampak ke bumi Mesir secara kebetulan .

Ya , benar , setiap aturan Allah terhadap hamba – hambaNya begitu indah cuma kadang – kadang kita sendiri yang tidak menggunakan segala peluang sebaik mungkin , terutamanya untuk mendekatkan diri kepadaNya .

Bukan sahaja di Mesir , malah di mana – mana tempat sekalipun , segalanya bukan kebetulan . Pasti ada hikmah di sebalik kejadian tersebut .

Teringat sebuah ceramah yang disampaikan oleh graduan Universiti Kaherah semasa sambutan Maulidur Rasul tahun 1 dahulu , semuanya bergantung kepada niat kita . Sekiranya kita datang ke Mesir untuk benar – benar menjadi doktor Muslim yang mahir dalam ilmu perubatan dan ilmu agama , insyaAllah itulah yang kita akan dapat . Yang penting , usaha dan tawakal kena ada .


MEDAN TEORI , MEDAN PRAKTIKAL


Sebenarnya saya berhajat untuk menulis mengenai apa yang saya baca sepanjang cuti di Malaysia untuk dikongsikan bersama , namun saya rasa benda itu agak berat dan saya masih kurang ilmu mengenai perkara tersebut . Kebanyakan bahan bacaan serta pengisian yang saya dapat adalah mengenai siasah syar’iyyah (politik mengikut syariat Islam ) , sebesar tajuknya , saya rasa ilmu saya masih belum cukup untuk memberikan komentar . Di samping itu ilmu mengenai siasah semasa juga diperlukan seperti perlembagaan , undang – undang konvensional di Malaysia dan lain – lain supaya kita sedar mengenai keadaan sekarang dan bijak mengatur langkah untuk mewujudkan usaha memartabatkan undang – undang Islam dalam negara . Kalau sekarang kita masih tidak mampu menjalankan kesemuanya , lakukan setakat mana yang mampu , jangan tinggal kesemuanya sebagaimana yang dipelajari dalam usul fiqh .


Mesir sebagai medan teori , Malaysia sebagai medan praktikal . Itu yang sering disebut oleh senior – senior saya di bumi Mansurah . Peringatan yang bagus , terutama buat saya yang masih mentah . Apa yang dimaksudkan sebagai medan teori bukan setakat silibus perubatan yang perlu dihabiskan dalam masa enam tahun itu . Ia lebih kepada pembinaan , atau pentarbiyahan seseorang mahasiswa untuk menghadapi realiti kehidupannya di Malaysia kelak . Sering juga disebut semasa di MRSM dahulu , kehidupan sebenar adalah selepas berakhirnya SPM . Kalau di zaman asrama hidup kita mendapat pengawasan daripada pihak warden , pembelajaran juga dititik beratkan oleh pihak pengajar dan pembentukan akhlak dan peribadi oleh suasana sekeliling yang kondusif , kini segala – galanya kita sendiri yang tentukan . Hala tuju kita ke mana ? Matlamat kita apa ? Dan apakah langkah yang kita ambil bagi mencapai cita – cita tersebut ?


Saya berpuas hati , dan sayang akan medan teori saya di Mansurah terutamanya dari aspek pembentukan seorang dai’e yang akan berjuang di tanah air kelak . Pelbagai program yang dianjurkan oleh persatuan PERUBATAN Cawangan Mansurah (PCM) mahupun Dewan Perwakilan Mahasiswa Mansurah (DPMM) merupakan sesuatu yang agak baru bagi saya dari sudut pelaksanaannya . Soal ikhtilat dapat ditangani dengan baik oleh pihak persatuan , ahli – ahli memberikan sokongan dari sudut tenaga kerja dan kewangan , serta bijak dalam rundingan dengan pelbagai pihak seperti pihak universiti dan masyarakat awam Mesir . Tahniah !


Sesuatu yang menjadi kebimbangan terhadap saya ialah kepulangan ke medan praktikal iaitu Malaysia pada cuti musim panas . Ada kemungkinan orang yang aktif di Mesir menjadi kurang aktif di tanah air sendiri disebabkan beberapa faktor . Bukanlah saya bertujuan untuk menunding kepada mana – mana ahli , tetapi benda ini seolah – olah menjadi masalah yang biasa terjadi kepada mana – mana ahli . Sehinggakan wujud rasa berkira – kira hendak pulang atau tidak .


Mentor atau naqib saya dalam liqa’ pernah mengemukan persoalan ,


“Kalau kita diminta untuk menghadiri program usrah atau sewaktu dengannya , dalam keadaan mana kita lebih mudah untuk pergi : Keadaan senang atau susah?”

Rata – rata kami menjawab dalam keadaan senang . Namun , beliau berpendapat sebaliknya , kerana :


“ Ana lebih berpendapat kita lebih mudah untuk hadir sesuatu program usrah , atau apa – apa program tarbiyah adalah semasa waktu susah , macam kita berada di Mesir sekarang ini . Walaupun kita sibuk dengan urusan study , namun kita masih ada masa untuk ke kelas tafaqquh , untuk menjenguk mentee (mad’u) di rumah mereka dan membuat usrah . Sedangkan apabila kita berada dalam keadaan senang , contohnya berada bersama keluarga di Malaysia , baru tamat exam dan sebagainya , kita susah untuk menghadirkan diri dan sering mengemukakan pelbagai alasan .”


Pesanan itu sentiasa lekat di hati , lebih – lebih lagi bila berada di Malaysia . Benarlah , penyakit futur itu benar – benar dapat membunuh . Oleh itu , janganlah kita membiarkan keselesaan itu membataskan pergerakan kita . Hayatilah kisah – kisah pejuang – pejuang Islam terdahulu , tidak kira era moden atau zaman Rasulullah , mereka dapat mengecapi kejayaan luar biasa walaupun hidup dalam kesusahan .


Faktor suasana yang berbeza juga menjadi cabaran . Kalau di Mesir , pergerakan kita selalunya tidak terbatas dan ‘semangat’ untuk berprogram itu ada , namun berlainan halnya di tanah air sendiri . Lebih – lebih lagi apabila kita keseorangan , ia lebih melumpuhkan pergerakan kita . Kalau bertemu rakan pun , sekadar jumpa di mall , pergi bercuti , pergi makan dan minum tetapi untuk berprogram tidak . Sesetengahnya juga mendapat halangan daripada keluarga untuk menghadiri program – program kerana bimbang akan keterlibatan mereka dalam politik kepartian . Dan , alasan paling tidak boleh diterima : MALAS . Secara ringkasnya , ramai yang menghadapi kesukaran dalam mengadaptasikan medan teori ke dalam medan aplikasi .


KESIMPULAN


Seharusnya sebagai seorang mahasiswa , lebih – lebih lagi bakal graduan daripada Mesir ambil cakna tentang hal ini . Kita tak mahu hanya mantap dalam teori namun gagal mengaplikasi . Sebenarnya , ia sangat bergantung kepada diri kita , kalau kita betul – betul mahu insyaAllah akan dipermudahkan . Kesilapan kita adalah kita terlalu memandang berat halangan – halangan yang bakal menimpa yang akhirnya buat kita kecundang .


Sepertimana kita menyertai attachment untuk memantapkan kemahiran dalam perubatan , begitulah juga yang kita buat dalam urusan sebagai seorang dai’e . Cubalah berkunjung ke sekolah lama anda dan anjurkan program kepada adik – adik sebagai satu langkah bagi mempersiapkan diri menghadapi masyarakat kelak . Hubungi juga senior – senior yang berada di Malaysia untuk membimbing diri anda , dan yang paling penting , bimbinglah diri anda:D


Fastabiqul khairat , ayuh !


P/S : Entri ini ditaip untuk membaiki diri ini juga , perjalananku masih jauh . Sekadar berkongsi pengalaman yang ada . Jangan sia – siakan kudrat yang masih ada , orang muda !

2 comments:

  1. mantop!

    moga Allah suluhkan ke arah yg terang lg bersuluh.
    kefahaman mesti dicari dan dipraktik.
    hakikat kepada erti hidup ditarbiyah dan mentarbiyah.
    alhamdulillah entri yg menyedarkan diri. rasanya ramai dh mengalami hal mcm ni. moga bermanfaat utk semua.

    baca entri menarik doktor ummah
    http://doktorummah.blogspot.com/2011/09/biah-solehah-yang-akan-aku-rindui.html

    ReplyDelete