Pages

Subscribe:

Wednesday, February 2, 2011

::katak dalam balang::


Masa lapang jika tidak diisi dengan perkara yang hak akan diisi dengan perkara yang batil .

Itu mungkin pengajaran yang sesuai buat saya , selepas seminggu perkara ini berlarutan .

Perkara apa ?

Revolusi koshari , yang dinamakan sempena nama makanan kelas pertengahan penduduk Mesir bukannya semakin surut dari hari ke hari , malah menjadi semakin teruk .

Bermula daripada rusuhan kecil – kecilan ketika hari cuti umum , semakin banyak perkara yang berlaku yang menyulitkan lagi kami selaku warga asing di sini dalam menuntut ilmu .

Website Facebook , YM dan Blogger tidak dapat diakses .

Kemudian , semua perkhidmatan Internet dibekukan . Khidmat SMS turut mengalami nasib yang sama .

Bertambah berat lagi apabila program – program ilmiah semasa cuti musim sejuk ini terpaksa dibatalkan atas dasar keselamatan .

Dan , dalam masa terdekat ini , kemungkinan talian telefon juga akan dipotong .

Saya dan rakan seperjuangan lain turut diuji dengan arahan perintah berkurung yang bermula dari senja hingga ke pagi esoknya .

Pada malam pertama perintah ini dijalankan juga , kami seolah – olah kembali ke zaman komunis , berkurung dalam keadaan gelap , menyelimutkan diri sendiri daripada membuat sebarang bunyi kerana pasukan tentera berlegar di kawasan rumah kami .

Sungguh , cuti ini sangat membunuh . Membunuh rohani dan jasmani kami .

Waktu perintah berkurung membantutkan pergerakan kami untuk ke luar dan mendapat perkembangan semasa . Usahkan makanan akal , makanan hati lagi susah untuk dicari . Kelas – kelas pengajian tidak dapat dijalankan . Makanan hati tidak sama dengan makanan perut dan akal . Makanan akal , dengan membaca buku – buku secara individu pun sudah cukup . Makanan perut , boleh disediakan dengan mudah . Namun , makanan hati tidak cukup hanya dengan sekadar pembacaan kitab dan artikel . Tidak cukup dengan menonton ceramah dari external hard disk . Tidak cukup dengan solat berjemaah dan amalan ibadah lain .

Dan , kalau cukup pun untuk sekadar melakukan perkara – perkara yang disebut di atas , mungkin susah untuk memulakannya . Iman bertarung dengan nafsu . Nafsu yang sentiasa dahagakan perkara – perkara yang batil , dan iman yang dahagakan perkara – perkara yang hak .

“ Wah , banyak lagi drama bersiri yang belum habiskan . Masa – masa macam nil ah boleh khatam 2 , 3 siri ! “

“ Alah , ceramah masa – masa lain boleh dengar . Movie – movie , masa ini je lah boleh tengok !”

“ Haish , malasnya nak study . Sekarang kan cuti , cuti lah betul – betul .”

Saya bimbang perkara ini semakin berlanjutan .

Masa yang lapang sekiranya tidak dipenuhkan dengan perkara hak , akan dipenuhkan dengan perkara batil .

Saya rindu nasihat para senior serta ustaz - ustaz dirasat .

Rindu untuk berpersatuan .

Rindu untuk ke kelas pengajian agama dan akademik .

Mohon didoakan keselamatan kami semua di sini , walaupun mungkin entri ini tidak dipos atas sebab ketiadaan perkhidmatan internet .

Jika perkara ini berlarutan , kami akan dibawa pulang ke Malaysia .

1 Februari 2011 , Syari’ Samanoudy , Mansurah .

Kenapa katak dalam balang , bukan bawah tempurung ?

Sebabnya pandangan kami tidak terhalang , kami nampak , tapi kami tak mampu buat apa – apa L

0 orang tak puas hati:

Post a Comment